Keindahan Taman Tao Dan yang menghijau menjadi tarikan utama buat pengunjung untuk lari seketika daripada hiruk-pikuk kota yang sesak dan merimaskan.

Namun, di sebalik keindahan dan kedamaian yang terbentang di taman tersebut, tersimpan satu kisah misteri yang bermain di mulut warga tempatan bahawa Taman Tao Dan dikatakan mempunyai penunggu.

Bahkan, buku rujukan pelancongan, Rough Guide telah menyenaraikan Taman Tao Dan sebagai salah satu daripada 27 destinasi paling berhantu di dunia yang wajib dikunjungi.

Roh pemuda

Menurut cerita warga tempatan, taman tersebut dikatakan mempunyai penunggu iaitu roh seorang pemuda yang mati akibat dibunuh dalam satu serangan yang berlaku di situ suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun, pihak pengurusan taman itu yang terletak di Jalan Truong Dinh menafikan tentang kisah mistik tersebut, malah mengatakan tiada sebarang kejadian pembunuhan berlaku di situ.

Pihak pengurusan Taman Tao Dan mendakwa, kisah hantu pemuda itu adalah palsu dan direka-reka oleh masyarakat tempatan.

“Tao Dan adalah sebuah taman yang paling selamat di Ho Chi Minh,” tegas wakil pengurusan taman.

Ceritanya lagi, taman itu menjadi tumpuan warga kota untuk beriadah dari pagi hingga ke malam untuk melakukan pelbagai aktiviti dan kawasan itu dipantau oleh anggota keselamatan pada setiap masa.

Namun, mengikut laporan pihak polis, pernah berlaku satu kejadian pembunuhan di Taman Tao Dan kira-kira 30 tahun lalu membabitkan kematian seorang lelaki yang dibunuh oleh tiga orang perompak.

Menurut laporan, kejadian pembunuhan itu berlaku pada bulan Julai 1989 membabitkan seorang mangsa lelaki yang dikenali sebagai Thet.

Semasa kejadian, Thet dikatakan telah meminta seorang kenalan­nya bernama Hung untuk mencari pembeli yang ingin membeli motosikal jenis Yamaha miliknya.

Hung kemudiannya telah mene­mui seorang rakannya bernama Thien dan mencadangkan lelaki itu untuk membeli motosikal tersebut.

Bagaimanapun, Thien telah memberi cadangan kepada Hung untuk membunuh Thet dan mengambil motosikal itu sebagai ganti.

Setelah dihasut dan termakan pujukan Thien, Hung akhirnya bersetuju untuk melakukan pembunuhan tersebut sebelum meminta Thet untuk datang ke Taman Tao Dan untuk urusan jual beli motosikal tersebut.

Pada masa sama, Thien turut meminta bantuan seorang lagi rakannya bernama Vinh untuk membantunya melakukan pembunuhan ke atas Thet.

Terbongkar

Seperti yang dirancang, keempat-empat pemuda itu akhirnya bertemu di Taman Tao Dan untuk urusan jual beli motosikal, sebelum Hung dan Vint mengajak Thet untuk bersiar-siar seketika dengan menaiki motosikal itu.

Setibanya di suatu lokasi terpencil di taman tersebut, Thet telah dipukul dengan teruk oleh Hung serta Vint sebelum pemuda itu akhirnya dicekik sehingga mati.

Menyedari jasad pemuda itu sudah tidak lagi bernyawa, Hung dan Vint kemudiannya telah mengambil dompet milik mangsa dan membawa lari motosikal milik Thet meninggalkan lokasi pembunuhan.

Mayat Thet akhirnya dibuang di tempat longgokan sampah di taman tersebut dan ditemui oleh seorang lelaki pada keesokan harinya.

Kisah pembunuhan Thet akhir­nya terbongkar selepas adiknya ternampak Hung sedang membawa motosikal milik abangnya sekali gus polis berjaya menangkap dalang di sebalik pembunuhan itu.

Sejak peristiwa itu, tersebar berita tentang penemuan hantu yang didakwa Thet merayau-rayau di taman tersebut dalam keadaan compang-camping dan menangis teresak-esak.

Salah seorang pengunjung yang dikenali sebagai Tran mendakwa, dia pernah melihat seorang pemuda sedang duduk di sebuah bangku sambil menangis dan apabila di tegur, pemuda itu ketawa sambil menunjukkan sisi wajahnya yang pucat dan menyeramkan.

Kisah misteri yang menghantui Taman Tao Dan kemudiannya turut dikaitkan dengan beberapa kes bunuh diri yang pernah dilaporkan berlaku di sebatang pokok besar yang sering menjadi pilihan mang­sa untuk menggantung diri di situ.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, pokok besar tersebut masih kekal di Taman Tao Dan dan menjadi salah satu lokasi pilihan oleh pengunjung untuk bergambar.

Kisah pembunuhan seorang pemuda di Taman Tao Dan hampir 30 tahun lalu menghantui taman awam yang terletak di Vietnam sehingga disenaraikan sebagai salah satu lokasi paling berhantu di dunia.