Menurut kertas Kajian Jejak Karbon di Kuala Lumpur yang diterbitkan pada 2017 menerusi Jurnal Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia, dianggarkan sebanyak 1.4 juta tan gas rumah hijau dilepaskan setiap tahun oleh kenderaan, kawasan perindustrian serta pernafasan kira-kira 1.67 juta penduduk di ibu negara.

Kajian tersebut juga menjelaskan, pokok-pokok yang berada di sekitar Lembah Klang pada ketika ini pula hanya mampu menyerap sebanyak 484,362.62 tan karbon dioksida serta gas-gas rumah hijau yang lain bagi tempoh selama setahun.

Ia sekali gus menggambarkan terdapat lebihan kira-kira sejuta tan gas rumah hijau yang tidak dapat diserap oleh pokok-pokok di seluruh Kuala Lumpur yang bersempadan dengan Pahang.

Mesej yang didedahkan melalui kajian itu jelas menunjukkan pokok-pokok serta taman-taman dan hutan-hutan simpan di Lembah Klang terutama Kuala Lumpur sudah tidak mampu menampung penyerapan gas rumah hijau yang dibebaskan oleh penduduk di ibu kota.

Jika diambil tempoh dari setahun ke setahun seterusnya serta mencongak pertambahan bilangan kenderaan pada setiap bulan, kadar lebihan sejuta tan gas karbon tersebut mampu meningkat berkali ganda secara eksponen untuk jangka waktu yang lebih lama.

Sejak Lembah Klang mengalami pembangunan pesat, hutan semula jadi di sempadan Pahang-Selangor memainkan peranan penting sebagai penyelamat untuk meneruskan fungsi mengimbangi lebihan karbon dioksida yang gagal diserap hutan bandar di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, fungsi sebagai penyelamat tersebut semakin terjejas apabila gejala pembalakan rakus mula menjangkiti hutan-hutan semula jadi di Lipis, Bentong, Raub dan Temerloh yang tidak jauh dari Lembah Klang.

Aktivis alam sekitar yang juga Presiden Perikatan Pencinta Alam Malaysia (Alam), Khaidir Ahmad menyifatkan gejala pembalakan haram melibatkan penggondolan hutan-hutan simpan di Pahang sejak beberapa tahun lalu telah memasuki tahap membimbangkan.

Rakus

“Penerokaan hutan secara tidak terkawal tidak akan membantu kita mengawal pelepasan gas rumah hijau. Hutan di Lembah Klang sudah tidak mampu menyerap lebihan karbon dioksida dan ia boleh tersebar ke Pahang kerana seperti kita maklum, udara bergerak bebas.

“Tapi masalah yang kita hadapi sekarang ialah hutan-hutan di Pahang yang diharapkan menjadi ‘penyelamat keadaan’ pun semakin terancam dengan pembalakan sejak beberapa tahun lalu,” ujar anak jati Temerloh itu ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau mengakui kecewa selepas menyaksikan kegiatan penerokaan hutan seperti di Hutan Lentang, Bentong dan Lembah Tembeling, Jerantut menyumbang kepada kegagalan mengawal pelepasan gas karbon dalam kuantiti ekstrem melebihi sejuta tan.

“Jika ditambah beberapa hutan lain di Pahang yang digondolkan, jelas sekali kita akan hadapi masalah untuk mengawal pelepasan gas karbon yang semakin bertambah berkali ganda pada masa hadapan,” tambahnya.

Sebagai rekod, Hutan Simpan Merapoh dan Hutan Simpan Kuala Terenggun, Lipis serta Hutan Simpan Hulu Teranum, Raub dan Hutan Simpan Remen Chereh, Kuantan merupakan antara beberapa hutan dara di Pahang yang ‘diperkosa’ pembalakan rakus sejak beberapa tahun lalu.

“Pembalakan harus segera dihentikan oleh kerajaan kerana seperti diketahui, lebihan sejuta tan pelepasan karbon dioksida yang tidak mampu diserap oleh pokok-pokok di Kuala Lumpur bukannya jumlah sedikit.

“Jika agresif menanam semula pokok-pokok yang ditebang selepas semua pembalakan dihentikan, kita perlu menunggu 30 tahun supaya ia dapat kembali menjalankan fungsi penyerapan gas rumah hijau dengan berkesan.

“Dari semasa ke semasa, bilangan kenderaan yang membebaskan karbon monoksida juga semakin bertambah di setiap bandar. Ia bukan hanya melibatkan Lembah Klang dan sudah tentu ia perlu diselesaikan di peringkat nasional dengan sangat serius,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar pula berkata, masalah kekurangan kawasan hijau semula jadi boleh mewujudkan ‘pulau haba’ terutama di bandar-bandar sibuk.

Menurut beliau, haba yang dibebaskan matahari serta kenderaan lazimnya diserap oleh tumbuhan serta zon hijau semula jadi, namun fungsi itu semakin terhakis disebabkan pembangunan tidak seimbang.

“Kesannya, haba tersebut diserap bangunan-bangunan konkrit serta permukaan-permukaan buatan seperti jalan raya atau sebagainya buat sementara. Lama-kelamaan haba tersebut dibebaskan semula oleh struktur buatan tersebut dan persekitaran menjadi lebih panas.

“Kekurangan tumbuhan semula jadi bukan sahaja boleh meningkatkan suhu di kawasan bandar dan memberi risiko kepada kesihatan kita (strok haba).

“Ia turut menyumbang kepada kejadian banjir kilat kerana kekurangan permukaan semula jadi yang mampu menyerap limpahan air ketika hujan lebat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menambah, kerajaan wajar memperkenalkan dasar alam sekitar yang lebih berkesan dan bijak dalam memastikan setiap langkah pemuliharaan dapat menyelesaikan beberapa isu sekali gus.

Kawasan hijau

“Sudah tiba masanya untuk kita menambah lebih banyak bilangan pokok dan kawasan berumput di sekitar bandar dengan menggalakkan penanaman sayur atau buah-buahan yang boleh dimakan.

“Cadangan seperti ini mungkin boleh membantu menyelesaikan masalah kekurangan tumbuhan hijau di kawasan bandar. Sekali gus membantu masalah keluarga miskin di bandar yang kekurangan makanan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Nor Akhirrudin Mahmud baru-baru ini berkata,sebanyak RM140 juta diperuntukkan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi tujuan memulihkan kawasan hijau semula jadi di seluruh negara.

Menurut beliau, ia termasuk RM100 juta diperuntukkan khas bagi menjalankan program pemulihan semula serta tebus guna di Janda Baik, Bentong serta Hutan Simpan Terla, Cameron Highlands dan Lembangan Sungai Kelantan.

“Program pemulihan semula di Hutan Simpan Terla seluas 500 hektar membabitkan penanaman 312,500 anak pokok daripada pelbagai spesies. Tahun lalu, sebanyak 93,750 anak pokok ditanam di kawasan seluas 150 hektar membabitkan hutan simpan kekal.

“Ia merupakan sebahagian usaha JPSM untuk menghijaukan semula kawasan yang diceroboh,” katanya ketika menghadiri Program Restorasi Kawasan Hutan Terosok di Hutan Simpan Terla, Cameron Highlands, Pahang pada Oktober lalu.

Beliau berkata, JPSM akan terus komited dalam usaha memulihkan kembali kawasan hutan semula jadi secara berperingkat bagi mengelak risiko kemusnahan serta bencana seperti tanah runtuh pada masa hadapan.

“Kita juga memberi perhatian serius terhadap aktiviti memulihkan kawasan hutan simpan kekal di Cameron Highlands bagi mengelak hakisan cerun,” katanya.

Nor Akhirrudin menambah, penyelenggaraan akan turut dilaksanakan di kawasan tanaman semula sebagai langkah susulan bagi memastikan ia berjaya seperti dirancang.

Gejala pembalakan haram melibatkan penggondolan hutan-hutan simpan 
di Pahang sejak beberapa tahun lalu telah memasuki tahap membimbangkan.

AKTIVITI pembalakan yang tidak terkawal menjejaskan hutan-hutan di negara ini.