KOSMO! AHAD: Boleh Datuk Seri jelaskan serba sedikit fungsi dan peranan penubuhan PPKKM?

DATUK SERI MUSTAPA ALI: PPKKM yang ditubuhkan pada tahun 1979 pada hari ini mempunyai 800 ahli yang terdiri daripada syarikat keselamatan berdaftar dan dilesenkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan di bawah Akta Agensi Persendirian 1971. Pemilik syarikat keselamatan yang dilesenkan di bawah akta ini atau yang layak memohon lesen mestilah terdiri daripada bekas polis sekurang-kurangnya berpangkat Asisten Komisioner, bekas anggota tentera berpangkat Kolonel atau pegawai-pegawai awam yang terlibat di dalam sektor keselamatan seperti imigresen, kastam dan pegawai penjara dengan gred 54 dan ke atas. KDN menetapkan hanya maksimum 800 buah syarikat keselamatan sahaja yang dibenarkan untuk ditubuhkan dan hanya meluluskan syarikat baharu untuk berdaftar jika terdapat kekosongan. Pada awalnya, tujuan penubuhan PPKKM ini ialah untuk membantu pesara polis dan tentera meneruskan sumbangan dalam industri keselamatan terutamanya sektor perlindungan menjaga keamanan negara. Dari masa ke masa seiring perkembangan industri negara yang kian berkembang, permintaan terhadap pengawal keselamatan semakin meningkat sehingga negara memerlukan khidmat daripada warga asing.

Apakah faktor yang menyebabkan individu atau syarikat keselamatan tidak berlesen mengambil pengawal keselamatan haram?

Sebab utama sudah tentu untuk mendapatkan keuntungan yang lebih. Gejala individu atau syarikat keselamatan tidak berlesen (fly-by-night companies) wujud secara merata. Dalam konteks ini, terdapat syarikat keselamatan yang berlesen memajak lesennya kepada pihak lain kerana tidak mampu menjalankan perniagaan secara bersendirian. Melalui cara tersebut, syarikat fly-by-night ini tidak perlu membayar levi, cukai perkhidmatan, caruman wang simpanan pekerja dan tidak perlu menjaga kebajikan pekerja seperti mana yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Syarikat keselamatan tidak berlesen yang menggaji pekerja haram juga tidak perlu membuat pemeriksaan kesihatan dan saringan air kencing. Bahkan, majikan juga boleh membayar gaji sesuka hati kepada pekerja mereka. Anggaran kos seorang pengawal keselamatan warga asing yang sah adalah lebih kurang RM6,500 yang perlu ditanggung oleh syarikat keselamatan berlesen. Selain itu, pernah dikesan syarikat kawalan keselamatan berlesen yang sengaja tidak memperbaharui pas lawatan kerja sementara pengawal keselamatan warga asing yang bekerja dengan mereka kerana membabitkan kos.

Apakah punca dan faktor kegagalan kemasukan pengawal keselamatan dari Nepal ke Malaysia?

Sejak Mei 2018, Nepal di bawah pemerintahan kerajaan baharu telah membekukan kemasukan pekerja warganegara mereka bukan sahaja di dalam perkhidmatan pengawal keselamatan, bahkan sektor-sektor lain. Hal tersebut menyebabkan syarikat keselamatan tidak dapat membawa masuk pengawal keselamatan dari Nepal ke negara ini walaupun telah membayar levi dan mendapat kelulusan visa. Untuk makluman, hanya sumber tenaga kerja bagi sektor keselamatan dari Nepal sahaja yang diluluskan di Malaysia untuk berkhidmat sebagai pengawal keselamatan. Kerajaan baharu Nepal mengambil pendekatan membekukan kemasukan pekerja warganegaranya ke Malaysia disebabkan terdapat beberapa proses kemasukan ke negara ini menyebabkan bebanan bayaran berlebihan ke atas pekerjanya. Hal tersebut menyebabkan pihak ejen dari Nepal yang hendak membawa masuk pekerja mengambil kesempatan mengeksploitasi bakal pekerja ke Malaysia yang kemudiannya membuat aduan kepada kerajaan. Pihak pemerintah Nepal sendiri telah menerima banyak aduan daripada rakyat mereka bahawa sesiapa yang hendak bekerja di luar negara termasuk Malaysia terpaksa membuat pembayaran yang agak besar sehingga perlu menjual tanah dan harta benda mereka.

Mengapakah hanya pengawal keselamatan warganegara Nepal sahaja yang dibenarkan untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di Malaysia?

Pada tahun 1997 dalam penyerahan Hong Kong kepada China yang ketika itu di bawah pemerintahan kerajaan British mempunyai kira-kira 100,000 orang askar upahan dari Nepal yang dikenali sebagai Gurkha dan akan dihantar pulang semula ke negara mereka. British kemudiannya telah membuat tawaran kepada negara-negara Komanwel yang berminat untuk menggaji tentera Gurkha ini berkhidmat dalam sektor keselamatan sebagai pengawal. Malaysia sebagai salah satu negara Komanwel telah terpanggil dengan tawaran tersebut. Kerajaan Malaysia dalam persidangan di Parlimen sekitar lewat 1980-an bersetuju untuk mengambil hanya warganegara Nepal ke Malaysia untuk berkhidmat sebagai pengawal keselamatan dan kemasukan pertama dibuat pada tahun 1997. Askar-askar Gurkha ini walaupun bertubuh kecil, tetapi fizikal mereka sasa serta memiliki sifat berani, berdisiplin, handal berperang dan mempunyai kesetiaan yang tinggi. Sehingga ke hari ini, kita masih mengekalkan pengambilan warganegara Nepal sebagai pengawal keselamatan walaupun mereka bukanlah seorang bekas tentera.

Sehingga kini berapakah jumlah pengawal keselamatan warganegara Nepal yang berdaftar dengan syarikat-syarikat kawalan keselamatan?

Sehingga kini, terdapat lebih kurang 31,000 warganegara Nepal yang berada di Malaysia dan didaftarkan untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan. Baru-baru ini, kita telah berbincang dengan pihak KDN untuk mencadangkan pengambilan pengawal keselamatan daripada negara lain yang telah dikenal pasti sesuai untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Adakah warganegara Nepal ini hanya dibenarkan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sektor-sektor tertentu sahaja?

Pengawal keselamatan warga asing ini tidak dibenarkan untuk mengawal di premis-premis kerajaan dan bank-bank. Mereka hanya dibenarkan bekerja di premis-premis swasta sahaja seperti di kilang-kilang, resort ataupun di hotel. Mereka juga tidak dibenarkan untuk menggunakan senjata api dan syarat perkhidmatannya adalah maksimum 5 tahun. Pengawal keselamatan Nepal yang diambil bekerja mesti berumur 45 tahun ke bawah, sihat tubuh badan dan lulus dalam ujian kesihatan. Kemasukan mereka akan dikenakan levi oleh kerajaan Malaysia pada setiap tahun dan wajib dihantar berkursus oleh majikan mereka selama dua hari untuk memahami tugas dan tanggungjawab sebagai pengawal keselamatan, adat resam, budaya dan undang-undang di negara ini.

Jika seseorang pengawal keselamatan itu bukan daripada warganegara Nepal, adakah secara automatiknya mereka adalah pengawal keselamatan haram?

Kita boleh kenal status warganegara seseorang pengawal keselamatan itu di mana-mana sahaja berdasarkan rupa dan cara pertuturan mereka sama ada dari Indonesia, Pakistan, Myanmar atau Bangladesh. Kebanyakan daripada mereka ini sebenarnya tidak berdaftar di bawah mana-mana syarikat keselamatan. Kita boleh tahu berdasarkan uniform mereka yang sepatutnya tertera nama sesebuah syarikat kawalan keselamatan. Namun begitu, mereka tetap menggunakan logo PPKKM dan ia merupakan satu kesalahan serius yang boleh diambil tindakan. Banyak tempat seperti di kilang-kilang, kondominium dan pasar raya menggajikan pengawal keselamatan haram. Pengawal keselamatan selain daripada warganegara Nepal secara automatiknya adalah pengawal keselamatan haram kerana hanya Nepal satu-satunya negara yang diluluskan boleh bekerja sebagai pengawal keselamatan di Malaysia.

Apakah saluran yang boleh digunakan oleh orang awam untuk membuat sebarang aduan membabitkan isu pengawal keselamatan haram ini?

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui mana-mana agensi yang menggaji pengawal keselamatan haram iaitu pekerja yang bukan warganegara Nepal boleh menghubungi Unit Agensi Persendirian, Bahagian Keselamatan, KDN di talian 03-8886 8571/8321 atau e-mel [email protected] Maklumat juga boleh disalurkan kepada PPKKM di talian 03-7804 7359 dan 03-7804 1733 atau e-mel di [email protected]