Jarak antara rumah dan pejabat yang jauh pula akan menambahkan masa perjalanan, menjadikan pengguna jalan raya mudah letih serta tertekan setiap kali terpaksa memandu untuk satu jangka masa yang panjang.

Menyedari hakikat itu, seorang jurujual dari Chongqing, China mengambil langkah mudah untuk menuju ke tempat kerjanya.

Liu Fucao, 29 mengambil langkah berani dengan menggunakan papan dayung ke pejabat.

“Setiap hari, saya terpaksa memandu antara 30 minit hingga satu jam dari rumah ke tempat kerja.

“Saya terpaksa meredah sungai Yangtze yang juga merupakan antara sungai terpanjang di dunia,” jelasnya.

Sekiranya dia mengambil bas pula, perjalanannya akan menjadi lebih daripada satu jam, sekali gus menjadikan Fucao berasa amat penat.

Dengan populasi 30.17 juta penduduk, bandar Chongqing sememangnya sentiasa sesak dan semua medium pengangkutan penuh dengan penduduk yang mahu keluar atas pelbagai urusan harian.

Beli papan dayung

Tambahnya, ketika waktu puncak, trafik akan bergerak perlahan iaitu satu kilometer sejam.

Fucao kemudian mula memikirkan jalan alternatif lain bagi memudahkan perjalanan hariannya.

Jurujual insurans itu kemudiannya memilih pengangkutan air dan membeli sebuah papan dayung bagi mempercepatkan perjalanannya.

Daripada satu jam, Liu kini berjaya memendekkan perjalanannya menjadi enam minit sahaja setiap hari.

Pengurangan jumlah waktu yang banyak itu menjadikan lelaki itu cukup gembira.

“Sekiranya saya berada di atas jalan, saya terpaksa memandu mengikut jalan yang jauh serta perlu berpusing beberapa kali sebelum tiba ke pejabat.

“Dengan mendayung, perjalanan ke pejabat lebih cepat dan tenang,” tuturnya seperti yang dipetik portal berita www.globaltimes.cn.

Setiap hari, dia akan membawa papan dayungnya ke tebing sungai Yangtzen lalu menyarung sepasang jaket keselamatan.

Selamat

Kasut dan begnya pula dibalut dengan plastik bagi mengelakkan ia basah.

Sebaik selesai mengambil semua langkah keselamatan yang diperlukan, Fucao akan memulakan dayungannya sehingga ke pejabat.

Biarpun menerima kritikan daripada beberapa individu, lelaki itu sedikit pun tidak kisah menggunakan papan dayung sebagai pengangkutan utamanya kerana ia menjimatkan masa.

Dia akan mendayung papan dayung pada setiap hari bekerja dan kadangkala akan menggunakan medium pengangkutan sama untuk berjalan-jalan di sekitar bandar.

Dia hanya akan memandu sekiranya cuaca hujan.

Sejak mula berdayung lebih dua tahun lalu, dia mengakui belum berdepan dengan apa-apa perkara yang tidak diingini.

Begitu pun, Fucao berpesan kepada individu lain di luar sana yang mahu mencuba caranya itu supaya mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya bagi mengelak sebarang insiden yang di luar jangkaan.

Liu Fucao yang tertekan kerana terpaksa memandu hingga satu jam untuk sampai ke pejabat kini hanya mengambil masa selama enam minit untuk tiba ke destinasi sama dengan mendayung papan dayung.