Berbeza dengan keluarga belah suami yang memiliki 13 orang adik-beradik, sebagai anak ke empat, Azam (bukan nama sebenar), 27, masih mempunyai lapan orang adik di bawahnya, malah enam daripada mereka masih lagi belajar di bangku sekolah.

Bagi Sya, kehidupannya sebagai anak tunggal di dalam keluarga tidaklah terlalu sunyi seperti yang digambarkan oleh orang lain.

Dia berasa beruntung dan bersyukur kerana menjadi anak tunggal kerana sudah tentu dia sangat disayangi kedua-dua ibu bapanya, malah apa sahaja yang diminta pasti akan dapat ditunaikan.

Tidak selesa

Bagaimanapun, selepas menjadi sebahagian dalam keluarga Azam, Sya seakan mendapat kejutan budaya dan berasa kurang selesa dengan kehidupan adik-beradik yang ramai.

“Saya bukan tidak sukakan budak-budak, tetapi kalau jenis yang suka menangis dan terjerit-jerit akan membuatkan saya berasa rimas,” ujar wanita berkulit cerah itu.

Menurut Sya, dia sudah sedia maklum sejak awal tentang jumlah adik-beradik suaminya yang ramai, dan cuba untuk menyesuaikan diri bergaul dengan adik-beradik iparnya.

Selepas berkahwin, Sya pernah tinggal selama lebih kurang seminggu di rumah keluarga mertuanya, namun berasa cukup rimas apabila mendapati terlalu ramai penghuni di rumah tersebut.

Walaupun kediaman keluarga belah suaminya itu boleh dikatakan agak besar, Sya tetap berasa tidak selesa kerana jumlah adik-beradik suaminya yang ramai.

“Hanya kakak sulung dan suami (Azam) yang telah berkahwin, manakala yang lain masih bujang selain masih belajar di bangku sekolah,” ujarnya.

Dakwa Sya, dia masih berasa janggal dan menganggap ipar-iparnya itu sebagai orang asing, meskipun perkahwinannya hampir mencecah setahun lamanya.

Selepas berkahwin, Sya dan suaminya telah berpindah ke rumah lain yang terletak tidak berapa jauh dengan rumah keluarga mertuanya.

Oleh sebab itu, rumahnya sering dikunjungi adik-beradik keluarga suaminya tidak kira masa dan boleh dikatakan pada setiap minggu.

Paling merimaskan apabila adik lelaki suaminya yang berusia 10 dan lapan tahun datang kerana kedua-dua mereka sungguh nakal dan selalu menimbulkan masalah.

“Pernah suatu hari mereka berdua memecahkan pasu bunga di laman kerana bermain bola dan benar-benar membuatkan saya sakit hati,” katanya.

Boleh dikatakan, Azam sangat rapat dengan adik-beradiknya yang lain dan dianggap sebagai seorang abang yang sangat baik kerana selalu melayan kerenah dan kehendak mereka.

“Suami sebenarnya tahu saya kurang senang dengan adik-beradiknya kerana setiap kali jika mereka datang, saya akan senyap dan berkurung di dalam bilik,” ujar Sya.

Jaga hati

Suami pernah menegur perkara tersebut, tetapi saya tidak mengaku tentang masalah itu kerana ingin menjaga hati suami.

Sya menjelaskan, dia sebenarnya tidak mempunyai masalah dengan ibu dan bapa mertua, serta adik-beradik Azam yang telah dewasa, cuma berasa rimas dengan adik-adik iparnya yang masih kanak-kanak kerana tidak biasa dengan budak-budak.

Demi menjaga hati suami, Sya tidak boleh terlalu ikutkan perasaan dan harus belajar untuk menerima kehadiran keluarga besar suami dalam hidupnya.

“Mungkin pada orang lain masalah saya ini kecil dan nampak remeh, tetapi ia memberi kesan pada emosi saya sekali gus boleh menjejaskan hubungan suami isteri.

“Mungkin silapnya kerana saya dilahirkan sebagai anak tunggal dalam sebuah keluarga kecil yang kurang diberi pendedahan bergaul dengan saudara-mara,” ujar Sya menutup bicara.