Hal ini kerana, gaya hidup yang serba aktif membuatkan golongan itu perlu membuat pelbagai tugas pada satu-satu masa.

Ia diakui oleh ibu kepada dua orang anak, Shahnurhazlim Mastas, 33. Dia perlu menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dengan memastikan keselamatan anak sambil bekerja secara serentak.

“Pagi kena hantar anak ke tadika. Apabila tamat waktu persekolahan anak pada waktu tengah hari, kita kena ambil mereka.

“Sebagai seorang kakitangan awam, waktu rehat tengah hari yang terhad menyebabkan saya terpaksa berkejar-kejar untuk ambil anak.

“Kemudian, saya perlu menghantar ke pusat asuhan dulu sebelum masuk semula ke pejabat. Apatah lagi jika perlu ambil anak pulang di dua atau tiga tempat berbeza,” katanya yang mesra disapa Lin.

Lin berharap, pihak kerajaan lebih prihatin akan isu tersebut dan mencari solusi holistik demi kesejahteraan generasi masa hadapan.

Lapor Kosmo! baru-baru ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) menjadikan sebanyak 27 Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) sebagai projek perintis tabika transit mulai 15 Januari ini.

Perintis

Ia dikatakan bagi memberi kemudahan kepada ibu bapa untuk menempatkan anak-anak semasa waktu mereka bekerja.

Projek perintis itu akan dilaksanakan di tabika Kemas kawasan bandar dan pinggir bandar di seluruh negara.

Antaranya ialah Presint 5, Putrajaya; Pengerang, Segamat, Tangkak (Johor); Kubang Kerian (Kelantan); Gombak (Selangor); Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

Pakar Psikologi dan Pengarah Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor menyambut baik cadangan tersebut.

Beliau menyifatkannya sebagai satu inisiatif berkesan meringankan beban golongan ibu bapa khususnya mereka yang bekerjaya.

Bahkan katanya, ia berupaya meningkatkan produktiviti kerja ibu bapa disebabkan mereka dapat bekerja tanpa dihimpit kebimbangan berkaitan anak-anak di pusat asuhan itu.

Begitupun, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian khususnya bagi pihak Kemas sendiri.

Katanya, perkara utama yang perlu dititikberatkan ialah dari segi keselamatan kanak-kanak di tabika tersebut.

Jelasnya, Kemas perlu memastikan persekitaran tabika itu kondusif, selesa, bebas daripada peralatan tajam termasuk perkara-perkara yang berkemungkinan boleh mengakibatkan kecelakaan.

“Kanak-kanak ini masih belum dapat membezakan perkara yang baik mahupun buruk.

“Oleh yang demikian, pengasuh perlu menjalani kursus yang ditetapkan oleh pihak kementerian bagi memastikan risiko kecederaan tidak berlaku kepada kanak-kanak,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tabika yang menjadi transit itu akan menempatkan kanak-kanak dalam pusat itu untuk satu jangka masa panjang sebelum diambil oleh para penjaga.

Seronok

Justeru, guru perlu memastikan masa yang diluangkan itu perlu diisi dengan aktiviti menyeronokkan dan bukannya dipenuhi dengan kelas pembelajaran.

Hal ini kerana menurut Mariani, dunia kanak-kanak itu adalah untuk bermain.

Oleh itu, anak-anak itu perlu ada waktu khusus untuk bermain, berehat dan tidur yang secukupnya.

Sekiranya waktu terluang itu diisi dengan pembelajaran dari waktu pagi hingga petang, ia dikhuatiri akan memberikan tekanan terhadap kanak-kanak.

Selain itu, faktor pemakanan kanak-kanak di tabika itu juga perlu diberi perhatian.

Tabika transit itu bukan sahaja menempatkan anak-anak semata-mata tetapi sebagai satu pusat penjagaan.

Oleh yang demikian, pemantauan secara berkala oleh pihak kementerian seharusnya dilakukan bagi memastikan projek rintis itu berjaya dilaksanakan.