Beliau yang merupakan pesara tentera laut Australia adalah adik kepada Sarjan Eric Mileham Litchfield yang terkorban pada 25 Mac 1945 semasa pertempuran udara di Borneo.

Mengimbas peristiwa itu, Litchfield mengakui dirinya dan keluarga sangat terkejut serta bersedih tatkala menerima perkhabaran buruk tersebut, apatah lagi dia mempunyai hubungan rapat dengan abangnya itu berikutan jarak usia antara kedua-duanya cuma dua tahun.

Namun begitu, Litchfield tetap mengungkapkan rasa bangga dengan pengorbanan yang dilakukan oleh mendiang abangnya itu.

“Biarpun perasaan sedih dan sayu asyik menjelma setiap kali terkenangkan mendiang abang, saya tetap berasa bangga memandangkan dia terkorban sebagai seorang pejuang yang berkhidmat untuk negara.

“Mendiang sering menceritakan kepada saya tentang kegembiraannya menjadi pegawai tentera. Bagi saya, dia adalah seorang hero,” katanya ketika ditemui di pusara abangnya di taman Memorial Peringatan Perang Dunia Kedua di Labuan baru-baru ini.

Taman memorial yang menjadi tumpuan sesiapa sahaja yang berkunjung ke Labuan itu merupakan tempat pengebumian 3,908 askar Tentera Bersekutu dan unit-unit pertahanan tempatan yang terkorban semasa pertempuran di sekitar Borneo menentang Jepun.

Taman yang terletak kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar Labuan itu menyimpan jasad-jasad anggota tentera dari negara-negara Komanwel seperti Australia, Britain, India dan New Zealand serta warga tempatan.

Kedatangan Litchfield buat kali pertama ke Malaysia khususnya ke pusara abangnya itu telah ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Australia bersempena sambutan ulang tahun ke-100 Hari Peringatan yang berlangsung di taman memorial tersebut baru-baru ini.

Tradisi

Mustahak untuk difahami, Hari Peringatan sebenarnya adalah satu hari yang disambut oleh setiap negara anggota Komanwel bagi memperingati anggota tentera yang terkorban semasa Perang Dunia Pertama (1914-1918).

Menyorot sejarah, Hari tersebut pada mulanya diusulkan oleh King George V pada 1919 dan seterusnya menjadi upacara tahunan yang diadakan setiap 11 November bersempena tarikh pengisytiharan tamat Perang Dunia Pertama pada 11 November 1918.

Tradisi Hari Peringatan itu akhirnya terus berkembang sehingga diraikan oleh negara-negara bukan Komanwel serta diadakan juga bagi memperingati mereka yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua.

Di Malaysia, sambutan Hari Peringatan mula diadakan kali pertama di Labuan pada tahun 1993 dan hari tersebut telah disenaraikan sebagai acara tahunan yang dihoskan oleh Perbadanan Labuan.

Rutinnya, setiap kali Hari Peringatan disambut, segala perancangan termasuklah urusan pengendalian waris yang hadir melawat akan dikelola oleh gabungan pasukan keselamatan negara.

Ia merangkumi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan Labuan serta Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Tabik

Setiap kali sambutan berlangsung, seawal pukul 9 pagi, keluarga dan wakil jemputan dari negara-negara terlibat akan berkumpul di pekarangan taman memorial itu.

Di situ, mereka menyaksikan upacara penuh istiadat oleh 21 anggota ATM dan PDRM yang berarak masuk dan memberikan tabik hormat kepada para tetamu yang hadir.

Seterusnya tabik hormat turut diberikan di hadapan tugu yang terdapat di taman memorial berkenaan sebagai simbolik penghormatan kepada mereka yang terkorban.

Memandangkan anggota yang terkorban terdiri daripada penganut-penganut agama yang berbeza, majlis kemudian akan mengarahkan tetamu untuk bergerak ke khemah-khemah berlainan untuk upacara bacaan doa mengikut ajaran masing-masing.

Usai bacaan doa, kesemua tetamu akan berkumpul semula bagi meletakkan jambangan bunga mengelilingi tugu tersebut.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-100 tamatnya Perang Dunia Pertama yang berakhir pada 1918. Antara kelainan yang ditampilkan pada tahun ini ialah lintas hormat udara oleh sebuah helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia dan upacara menandatangani plak kenang-kenangan.

Menurut Pengarah Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Perbadanan Labuan, Mahathir Abd. Hamid, acara berkenaan dianjurkan bagi membakar semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda yang menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.

KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Azhar Ahmad menandatangani
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Azhar Ahmad menandatangani plak kenang-kenangan sempena 100 tahun sambutan Hari Peringatan di Labuan baru-baru ini.

Pertumpahan darah

Katanya, upacara itu juga menjadi wadah bagi pihaknya menunjukkan kepada semua bahawa peperangan bukanlah jalan penyelesaian terbaik bagi setiap konflik yang berlaku.

“Hal ini dapat dilihat melalui pengorbanan yang dilakukan oleh lebih 3,000 askar yang disemadikan di taman memorial ini. Ia juga sebagai satu simbolik agar setiap orang berusaha memelihara keamanan negara.

“Kita perlu sedar bahawa kemerdekaan dan keamanan yang dimiliki pada hari ini bukan diperoleh melalui kata-kata semata-mata tetapi adalah hasil pertumpahan darah yang akan terus kekal dalam lipatan sejarah,” katanya selaku ketua urusetia majlis tersebut.

Tambah Mahathir, kehadiran wakil-wakil dari negara yang terlibat turut menunjukkan hubungan erat Malaysia dengan negara-negara tersebut.

“Melalui acara seperti ini, kita tahu bahawa hubungan yang erat telah terjalin antara kita semua,” katanya.

Selain daripada taman memorial tersebut, Labuan turut menyimpan memori sejarah dunia apabila menjadi antara lokasi terakhir pihak tentera Jepun menyerah kalah semasa Perang Dunia Kedua.

Pada 10 September 1945, Komander Angkatan Darat ke-37 Jepun, Leftenan Jeneral Masao Baba menyerah kalah secara rasmi kepada pegawai pemerintah Division ke-9 Australia, Mejar Jeneral George Wootten.

Tapak sebenar peristiwa penyerahan kuasa tersebut kini menjadi saksi pembinaan sebuah Tugu Penyerahan Jepun.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nurul Asmidar Abu Bakar, 25, berkata, setiap warga Malaysia harus mensyukuri nikmat keamanan yang dinikmati pada masa kini.

Kakitangan swasta itu masih ingat ketika kecil, dia dan adik-beradiknya sering mendengar kisah keperitan hidup yang dilalui terutamanya semasa zaman penjajahan Jepun.

Setiap kali datuk dan nenek bercerita, pasti mereka akan mengalirkan air mata apabila membayangkan penderitaan yang dialami.

“Membayangkannya sahaja sudah cukup menghibakan, apatah lagi bagi mereka yang melaluinya.

“Disebabkan itu masyarakat khususnya rakyat negara ini perlu berusaha menjaga suasana harmoni yang sedang dikecapi,” ujarnya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Tahun ini genap ulang tahun ke-100 Hari Peringatan yang disambut pada setiap 11 November bagi memperingati jasa wira-wira terkorban dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua.

SEORANG wakil tetamu membawa jambangan bunga untuk diletakkan
SEORANG wakil tetamu membawa jambangan bunga untuk diletakkan pada tugu di taman memorial tersebut.