Bagaimanapun, keadaan sekeliling yang seakan-akan menekan pengurusan kewangan individu itu mendorong mereka untuk mencari solusi bagi mengatasi masalah tersebut.

Jalan paling mudah ialah dengan berhutang. Walaupun hutang itu tidak salah dari sudut agama, tabiat tersebut lama-kelamaan mampu menjadi barah dalam masyarakat.

Bahkan, tabiat berhutang itu semakin berleluasa hingga lahir masyarakat yang tidak segan silu meminjam wang daripada orang sekeliling pada setiap hari.

Lebih malang lagi, terdapat segelintir individu yang nekad meminjam wang daripada ceti haram atau ah long sebagai jalan pintas menyelesaikan masalah tersebut.

Menurut Penganalisis Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Meor Roslan Meor Mohd. Jaafar, penyebab utama kepada tabiat meminjam wang daripada ah long ialah desakan hidup khususnya masalah kewangan yang dialami oleh individu itu.

“Individu yang terdesak itu sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan wang untuk kegunaan mereka. Oleh sebab itu, mereka sanggup mengabaikan implikasi yang bakal dihadapi kelak.

“Bahkan, sikap tamak dalam diri manusia juga sedikit sebanyak menjadi punca utama individu itu meminjam daripada ceti haram,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Meor Roslan, tindakan meminjam duit daripada ceti haram itu hanya akan membawa mudarat terhadap diri sendiri.

Hal ini kerana pinjaman tersebut akan dikenakan bunga lebih 100 peratus sehingga menyebabkan pemiutang terbeban dengan peningkatan hutang mereka.

Hutang pokok

“Disebabkan itu, pemiutang hanya melangsaikan ‘bunga’ hutang pada setiap minggu tetapi hutang pokok tidak pun disentuh.

“Jika gagal membayar hutang berkenaan, kegiatan jenayah seperti culik, ugutan serta bunuh mudah berlaku,” jelasnya.

Katanya, impak daripada tabiat berhutang itu sangat besar kerana ia boleh menggugat keharmonian sosial akibat ketakutan yang dibangkitkan menerusi siri jenayah yang dilaporkan media.

Akhbar Kosmo! melaporkan baru-baru ini, sepasang suami isteri termasuk dua orang cucu lelaki yang mati dalam kebakaran sebuah rumah mereka di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor dipercayai dibunuh sebelum kediaman itu dibakar.

Siasatan awal mendapati, perbuatan khianat dengan membakar rumah mangsa itu berlaku akibat masalah kewangan seperti hutang.

Polis kemudian berjaya menahan seorang lelaki bisu dan pekak berusia 38 tahun yang mengaku terlibat dalam kes pembunuhan tersebut.

Suspek ditahan setelah mendapat perintah tahanan reman daripada Mahkamah Majistret Telok Datuk, Banting, Selangor.

Sementara itu, Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhamad Yusuf Azmi berkata, jenayah yang berlaku akibat masalah hutang bukan suatu perkara baharu.

Malah, pinjaman ah long itu semakin berleluasa disebabkan wujud permintaan dalam masyarakat.

Justeru, semua pihak khususnya pucuk pimpinan perlu memainkan peranan masing-masing menerusi pendekatan yang lebih jelas bersandarkan al-Quran dan as-Sunnah.

“Apabila berbicara mengenai hutang, secara umumnya kita tahu ia berkait rapat dengan masalah kewangan.

“Bagi mengatasi masalah itu, institusi seperti masjid atau surau di seluruh negara disarankan untuk mewujudkan tempat pengumpulan sumbangan barangan keperluan asas bagi orang yang memerlukan.

“Bagaimanapun, masyarakat tidak seharusnya dididik untuk meminta-minta sedangkan mereka mempunyai saluran yang betul sekiranya seluruh organisasi itu amanah dalam menjalankan tanggungjawab,” jelasnya.

Muhamad Yusuf menambah, bantuan itu bukanlah untuk kaum-kaum tertentu tetapi bagi dinikmati oleh seluruh masyarakat di negara ini.

Hal ini kerana sikap saling tolong-menolong dalam masyarakat berbilang kaum itu akhirnya akan melahirkan sosial yang harmoni.

TINDAKAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel baru-baru ini menerima tentangan hebat daripada umat Islam seluruh dunia termasuklah negara-negara bukan Islam.

Masing-masing khuatir dengan kesan pengiktirafan tersebut yang bakal mencetuskan pertumpahan darah baharu di Asia Barat serta dunia secara amnya.

Kosmo! pada 8 Disember lalu melaporkan, keputusan Trump mengakhiri kekaburan AS selama tujuh dekad mengenai status kota suci itu yang dituntut dengan lantang oleh kedua-dua belah pihak iaitu Israel dan Palestin.

Menurut Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Muhammad Fuad Othman, pengiktirafan tersebut akan mencetuskan keganasan yang sukar dibendung dan suasana tegang di Asia Barat.

“Kemarahan dan gelombang kebangkitan atau intifada ketiga bakal mencetus pertumpahan darah serta suasana dunia yang sangat tegang.

“Perkara ini memburukkan lagi konflik yang dihadapi di sana apatah lagi isu Syria masih belum menampakkan jalan penyelesaian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, rentetan peristiwa ini, serangan keganasan akan bermula kembali dan tidak hairan jika AS menjadi sasaran ekoran rasa kebencian yang tinggi terhadap negara itu.

Ujar Muhammad Fuad, pemilihan Trump sebagai Presiden sejak awal lagi sudah mencetuskan kebimbangan dunia dan kini ia menjadi nyata.

“Pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel merupakan salah satu manifesto kempen pilihan raya Trump yang dilaksanakannya.

“Trump tidak mengikut diplomasi presiden-presiden AS sebelum ini yang cuba mengelak untuk menyentuh isu Baitulmuqaddis walaupun pada hakikatnya mereka penyokong kuat Israel.

“Kemungkinan kekurangan pengalaman Trump dalam hal ehwal antarabangsa dan mempunyai penasihat yang kurang tepat menyebabkan dia berbuat demikian,” terangnya.

Boikot

Dalam menghadapi perkara tersebut, Muhammad Fuad berkata, tekanan daripada semua pihak termasuklah negara-negara bukan Islam sangat penting agar keputusan tersebut ditarik balik.

“Tidak dinafikan masyarakat dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut menentang keputusan itu, tetapi ia hanya bantahan semata-mata dan tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan keputusan tersebut.

“Salah satu cara yang boleh kita laksanakan pada masa ini ialah memboikot barangan yang memberi sumbangan kepada keganasan Israel,” katanya.

Sementara itu, Konsultan Syariah Telaga Biru, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, perkara berkenaan merupakan isu sejagat d