Kru Panorama yang tiba di sana seawal pukul 8 pagi melihat suasana di pasar pagi tersebut sedikit lengang mungkin disebabkan ramai warga kota mengambil peluang pulang ke kampung halaman bersempena cuti perayaan Krismas.

Walaupun begitu, para peniaga pasar pagi tetap berniaga seperti biasa dan melayan pelanggan yang kebanyakannya datang untuk membeli sarapan pagi.

Beberapa pelanggan yang berkunjung ke pasar pagi itu dilihat menjinjing beberapa bungkus plastik mengandungi pelbagai jenis kuih tradisional serta makanan seperti laksam, nasi kerabu dan nasi berlauk.

Begitulah suasana pasar pagi yang dibuka pada setiap hari Ahad itu yang menjadi tumpuan orang ramai di sekitar Kuala Lumpur khususnya pelanggan yang berasal dari negeri Kelantan.

Rata-rata orang ramai yang berkunjung ke pasar pagi di Pantai Dalam itu merupakan pelanggan yang berasal dari negeri Che Siti Wan Kembang dan telah berhijrah bukan sahaja ke Kuala Lumpur, bahkan di kawasan sekitarnya.

Kerinduan

Menurut Zamri Dollah, 42, dia akan berkunjung ke pasar pagi Pantai Dalam pada setiap minggu untuk mencari makanan khas Kelantan.

“Sebagai anak jati Kelantan, sudah tentu saya akan berasa gembira bila wujudnya pasar pagi seperti ini yang menyajikan pelbagai jenis produk,” ujar anak kelahiran Tanah Merah itu.

Walaupun menetap di Shah Alam, Zamri tidak keberatan untuk berkunjung ke pasar pagi di Pantai Dalam dengan jarak kira-kira sejauh 21.8 kilometer (km) kerana di situlah dia boleh mendapatkan pelbagai produk makanan khusus dari negeri kelahirannya.

Kata peminat tegar kuih akok itu lagi, kewujudan pasar pagi seperti di Pantai Dalam itu sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan terhadap kampung halaman.

Ternyata, daripada pemerhatian kru Panorama sendiri terhadap pasar pagi Pantai Dalam, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pasar pagi tersebut ibarat syurga makanan khas dari negeri Pantai Timur itu.

Bahkan, rata-rata 80 peratus pengunjung dan peniaga yang ada di sana pada hari tersebut terdiri daripada warga Kelantan, sekali gus menjadikan kawasan tersebut ala-ala Pasar Siti Khadijah yang menjadi salah satu ikon popular di Kelantan.

Seorang lagi pelanggan, Mohd. Muhaizam Ramli, 33, yang menetap di Subang memberitahu, harga barangan yang dijual di pasar pagi tersebut tidak terlalu ketara dengan harga yang dijual di Kelantan.

“Di sini (pasar pagi Pantai Dalam) menjadi satu-satunya tempat yang saya tahu menjadi tumpuan warga Kelantan berkumpul pada setiap hujung minggu untuk mencari aneka juadah yang sangat dirindui.

“Kalau bernasib baik atau ketika musim, terdapat peniaga yang menjual etok salai yang sangat popular dijadikan snek,” ujar pemuda yang berasal dari Pasir Puteh itu.

Berulang-alik

Perbualan individu di kiri dan kanan tidak kira sama ada pelanggan mahupun peniaga yang bertutur dalam dialek Kelantan cukup membawa kru Panorama merasakan seperti bukan berada di Kuala Lumpur, sebaliknya di sebuah pasar pagi yang terletak di negeri Pantai Timur itu.

Di ruang kaki lima yang terletak bersebelah jalan raya, seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an tidak menang tangan melayan pelanggan yang hendak membeli juadah sarapan di situ.

Sambil bersila, di hadapan peniaga itu terhampar pelbagai aneka makanan tradisional dan produk yang dibawa khas dari Kelantan untuk dijual di pasar berkenaan.

Peniaga tersebut yang dikenali sebagai Nur Asma, 25, biarpun kelihatan sedikit letih, namun bibirnya tidak lekang dengan senyuman tatkala sibuk melayan pelanggan.

Menurutnya, sudah menjadi rutinnya setiap minggu, sejak tiga tahun lalu berulang-alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki dengan berniaga di pasar pagi Pantai Dalam.

Katanya lagi, dia bersama beberapa lagi orang saudaranya akan bertolak ke Kuala Lumpur pada hari Sabtu kebiasaannya selepas waktu Zuhur dengan menaiki lori bersama dengan barang jualan yang dibawa khusus dari Kelantan dan akan pulang selepas dua hari berada di Kuala Lumpur.

“Saya sebenarnya mengambil alih tugas arwah mak sejak tiga tahun lalu.

“Arwah mak sebelum ini yang akan berulang-alik selama 16 tahun dari Kota Bharu ke pasar pagi di sini untuk berniaga,” tutur Asma yang akan menjual sarapan berupa kuih-muih seperti pulut dakap, pulut pisang, tapai, pulut lepor (panggang), selain beberapa produk lain seperti beras siam, budu dan ikan kering.

Rezeki

Bagi individu lain, menempuh perjalanan sejauh beratus-ratus kilometer dengan memakan waktu berjam-jam lamanya dengan berulang-alik untuk berniaga adalah sesuatu perkara yang penat untuk dilakukan.

Namun, bagi Asma, rasa penat yang dilalui seakan berbaloi dengan usaha yang dia lakukan. Tambahan pula, dia memang meminati dunia perniagaan dan menjadikan semangat arwah ibunya sebagai pendorong agar tidak cepat berputus asa.

Seorang lagi peniaga, Mohd. Khairul Nuar, 33, juga akan berulang-alik setiap minggu dari Kelantan bersama barang dagangannya untuk mencari sesuap nasi di Kuala Lumpur.

Menurut Mohd. Khairul, sudah lebih 15 tahun dia bersama keluarganya berulang-alik dari Bachok ke Kuala Lumpur untuk berniaga pada setiap hujung minggu di pasar pagi Pantai Dalam.

Perjalanan sejauh hampir 500km dengan waktu tempuh selama lebih 10 jam sudah menjadi lumrah baginya mengemudi lori dengan membawa barangan yang hendak dijual di pasar pagi.

“Saya menjual produk-produk dari Kelantan seperti budu, ikan kering dan buah-buahan seperti buah bidara,” ujarnya dalam loghat Kelantan yang cukup pekat.

Sewaktu ditanya tentang kos yang dikeluarkan untuk berulang-alik dari Bachok ke Kuala Lumpur, Mohd. Khairul mendakwa perbelanjaannya jauh berbeza berbanding dahulu dengan sekarang.

“Kalau dahulu, kos berulang-alik dari Bachok ke Kuala Lumpur cuma RM200 hingga RM300 sahaja termasuk makan dan minum.

“Namun sekarang, kos perjalanan sahaja telah mencecah RM500,” ujarnya yang turut menambah sambutan pelanggan sekarang tidak lagi ramai seperti dahulu.