Hal ini kerana mencari sesuap nasi dalam kalangan wanita etnik minoriti berfahaman Syiah di restoran itu sering menjadi sasaran ekstremis.

Nama restoran itu diambil sempena nama etnik Hazara yang merupakan sebahagian daripada minoriti Syiah di Pakistan.

Penganut fahaman Syiah di Pakistan dianggarkan hanya 20 peratus daripada 207 juta populasi Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi majoriti di sana.

Restoran yang menyajikan hidangan Asia Barat seperti nasi beriani dan nihara itu terletak di bandar Hazara. Komuniti di kejiranan itu dijaga oleh pusat pemeriksaan bersenjata.

Meskipun begitu, insiden serangan kerap berlaku di bandar miskin wilayah Balochistan itu kerana ia menempatkan ibu pejabat taliban Afghanistan.

Justeru, perlindungan untuk rakyat kira-kira 500,000 daripada 2.3 juta populasi di bandar itu yang kini dianggap sebagai kawasan di bawah pengepungan adalah sangat mustahak.

Stigma

Insiden terbaharu serangan di bandar Hazara direkodkan pada Oktober lalu. Tiga penjual sayur-sayuran yang meneroka di luar kawasan itu ditembak pada jarak dekat.

Malah, insiden kejam dua serangan pada Januari dan Februari 2013 yang mengorbankan lebih 200 individu masih segar dalam ingatan sebilangan rakyat Hazara. Menurut seorang penduduk tempatan dan pemilik restoran Hazara, Hameeda Ali Hazara, insiden tersebut meninggalkan luka yang dalam pada dirinya.

“Ketika kejadian, saya terpaksa memujuk diri sendiri untuk membantu mangsa serangan itu,” ujar Hameeda sambil memberitahu bahawa rumahnya terletak bersebelahan tapak serangan tersebut.

Sebagai usaha untuk memberi bantuan terhadap keluarga dan mangsa wanita serangan di kawasan itu, Hameeda membuka restoran Hazara kira-kira dua bulan lalu.

Hameeda merupakan majikan kepada tiga pekerja yang kesemuanya merupakan mangsa serangan termasuk seorang janda kematian suami akibat serangan bom.

Golongan wanita di Hazara menghadapi kesukaran untuk bekerja disebabkan stigma konservatif kelompok tersebut.

Menurut statistik Jabatan Buruh Kebangsaan, tenaga kerja dalam kalangan wanita hanya 25 peratus sahaja.

Malah, pengambilan kerja dalam sektor awam di Balochistan turut menurun sehingga dua peratus.

Sumber pendapatan majoriti golongan wanita di Hazara pula datangnya daripada perkhidmatan menjahit pakaian secara kecil-kecilan.

“Peluang untuk memulakan perniagaan di sini sangat sukar.

“Inisiatif restoran ini adalah untuk mendidik golongan wanita merebut peluang pekerjaan yang ada selain bekerja di rumah bersama jarum dan benang,” jelasnya.

Yuran pengajian

Tukang masak yang juga pelayan restoran yang hanya ingin dikenali sebagai Masooma berkata, keputusan untuk bekerja di restoran Hazara merupakan pilihan tepat.

“Saya bekerja di sini bagi menyara keluarga dan membiayai yuran pengajian saya.

“Seluruh keluarga menyokong penuh keputusan saya untuk bekerja di restoran ini,” jelasnya.

Bagi memastikan keselamatan restoran yang menggunakan tenaga kerja golongan wanita, Hameeda menampal poster larangan supaya dapat mengelakkan kelakuan tidak senonoh pelanggan lelaki semasa bekerja. Malah, kamera televisyen litar tertutup (CCTV) juga dipasang bagi mencegah gangguan tersebut.

Sementara itu, seorang pelanggan yang juga merupakan pegawai bank tempatan, Pervaiz Ahmad mengagumi suasana damai restoran itu dan menyifatkannya sebagai destinasi tepat untuk berehat bersama keluarga.

Ia merupakan idea yang bagus untuk menyokong golongan wanita dalam perniagaan. Namun, tidak semua orang berkongsi pendapat sama sepertinya.

Tambah Hameeda lagi, inisiatif pembukaan restoran Hazara turut menerima ancaman dan ugutan kerana ia dianggap sebagai memalukan.

“Sejujurnya, saya turut menerima pelbagai ancaman di media sosial dan panggilan telefon yang mengugut untuk menutup restoran ini namun, ia sedikit pun tidak akan mematahkan semangat saya.

“Saya merupakan anak jati komuniti Hazara dan Balochistan. Ini perjuangan saya,” tegasnya. – AFP