Anak kelahiran Kampung Pengkalan Langgar itu akan memotong akar pokok bakau tersebut dan dalam tempoh singkat, dia sudah berjaya mendapatkan sebekas penuh tiram dan membawanya pulang untuk dinikmati bersama keluarga.

Meningkat usia 20-an, Mohamad Ridzwan atau dikenali sebagai Pak Su yang menyara hidup dengan melakukan pelbagai pekerjaan seperti nelayan, pemandu lori dan bertukang mendapati, tiram-tiram yang dahulunya melimpah-ruah hampir tidak kelihatan lagi.

Namun, sekitar tahun 2008, dia dan beberapa rakan dipelawa Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (Cemacs), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Aileen Tan Shau Hwai untuk memulakan projek penternakan tiram.

“Sebenarnya di sini terdapat Kelab Pendidikan dan Kebajikan Lembah Bujang (Kelab Puncak) yang diasaskan sekitar tahun 1996 oleh Penolong Pendaftar USM ketika itu, Romli Bakar. Kelab tersebut antaranya menyediakan kelas tuisyen percuma kepada anak-anak yang kurang berkemampuan.

“Menerusi beliau, kami kenal dengan Prof. Aileen serta belajar daripada pihak Cemacs mengenai teknik penternakan tiram,” ujarnya kepada K2 di ladang tiramnya yang terletak di tepi Kampung Sungai Batu Besi, Lembah Bujang, Kedah.

Perjalanan ke ladang tiram itu mengambil masa kira-kira 15 minit dengan bot dari Jeti Semeling, Sungai Petani. Sungai Merbok perlu direntasi untuk tiba ke ladang itu.

Pada awalnya, Pak Su diberi 30,000 ekor anak benih tiram dan kini dia telah memiliki enam sangkar tiram dengan setiap satunya mempunyai 42,000 ekor tiram.

Secara purata, ladang tiramnya mampu mengeluarkan 1,000 biji tiram sebulan. Ia tidak dijual secara timbang, namun setiap satu dijual pada harga RM5, RM7 dan RM10 mengikut saiz.

Menarik ikan

Pada pemerhatiannya, banyak ikan kecil serta anak-anak ikan gemar bermain-main di bawah sangkar tiram. Ia mungkin menjadikannya sebagai tempat perlindungan dan berasa selamat di situ.

Keadaan itu juga menarik kedatangan ikan dewasa seperti loban, jenahak, kerapu dan siakap merah yang memburu ikan kecil tersebut sekali gus meningkatkan populasi ikan di kawasan tersebut.

Katanya, cabaran utama penternakan tiram ialah ancaman pencemaran. Jika air kotor sama ada akibat aktiviti pembuangan sampah di dalam sungai dari kawasan perumahan atau sisa perkilangan, tiram akan mati.

Katanya, kawasan penternakan tiram yang terletak antara hulu dan kuala sungai berkadar kemasinan sekitar 20 hingga 25 bahagian perseribu (ppt).

“Tiram juga akan mati jika hujan terlalu lebat sehingga membuatkan air sungai menjadi tawar. Pernah lebih 50,000 ekor tiram mati serentak kerana banjir,” jelasnya yang aktif menganjurkan aktiviti menanam pokok bakau bersama pelancong dan sukarelawan di Sungai Merbok.

Dalam pada itu, seorang sukarelawan, Syadzwan Nasruddin, 34, bercerita, dia turut belajar daripada Jabatan Perikanan untuk melakukan sendiri pembenihan tiram untuk menggantikan tiram yang telah mati.

Katanya, induk tiram tropika spesies Crassostrea iredalei dan Crassostrea belcheri itu akan dibawa ke makmal tangki di Pulau Sayak di Kuala Muda, Kedah lalu dimasukkan ke dalam air suam dan sejuk untuk membuatkannya terangsang lantas melepaskan benih berbentuk seperti larva.

Kedua-dua jenis tiram tersebut dipelihara untuk dagingnya, berbeza dengan tiram mutiara antaranya jenis Silver lip yang giat diternak di Sabah.

Tiram Crassostrea iredalei dikenali dengan bentuk panjang, manakala Crassostrea belcheri tampak agak bulat dan lebih besar.

Ia akan dijaga sehingga mencapai saiz 9 sentimeter (sm) hingga 10 sm atau sekitar lapan hingga 12 bulan. Jika ia berusia lebih daripada dua tahun, ia akan disimpan untuk dijadikan induk atau dilepaskan ke sungai kerana dagingnya liat.

Jelasnya, proses pembenihan yang mengambil masa sehari boleh menghasilkan 100,000 ekor larva, namun hanya tiga peratus daripadanya yang dijangka dapat bertahan sehingga dewasa.

“Larva ini akan diletakkan di atas para berjaring khas untuk mengelakkannya dimakan pemangsa seperti ketam dan dihubungkan dengan sebuah pam yang akan mengalirkan air sungai pada setiap masa. Pam ini akan menyalurkan makanan ikan seperti plankton dan mengalir semula ke sungai.

“Setelah ia berusia lima bulan atau mencapai saiz sebesar syiling 20 sen, ia akan dipindahkan ke dalam sangkar di dalam sungai. Setiap hari penggredan akan dibuat untuk mengasingkan tiram-tiram ini mengikut umur dan saiz,” katanya yang terlibat dengan kerja sukarelawan tersebut sejak 2015.

Petugas

Katanya, dua pekerja sudah cukup mengendalikan ladang tiram itu dengan seawal 8 pagi, petugas akan melakukan kerja-kerja pembersihan teritip yang melekat pada kulit tiram satu persatu secara manual selain mencuci jaring sangkar.

Ujarnya, penjaga tiram juga akan memastikan tiram berada dalam keadaan sihat dengan melihat keadaan cengkerangnya. Tiram yang sihat biasanya akan menjadi tumpuan teritip, manakala tiram yang sakit apabila diketuk ia berbunyi seperti bahagian dalamnya kosong dan tidak kukuh.

Sementara itu, isteri kepada Pak Su, Hamidah Abdul Rahman, 49, berkongsi, isi tiram yang berwarna sedikit kekuningan itu enak dimakan mentah bersama perahan lemon.

“Jika dahulu tiram biasanya dimasak gulai atau masak cili serta lemak kunyit, kini ia lebih terasa dan berkhasiat jika tidak dicampur dengan bahan masakan lain.Bagi yang tidak biasa dengan makanan mentah, ia juga boleh distim sekitar dua hingga tiga minit.

“Jangan stim terlalu lama, jika tidak ia akan kecut dan liat. Selepas itu, boleh buat sos pencicahnya yang mengadungi cili padi merah, bawang putih, sedikit air gula dan kacang tumbuk goreng,” ujar ibu kepada enam cahaya mata itu.

Aktiviti penternakan tiram di Sungai Merbok, Kedah dapat memastikan survival kewujudan hidupan tersebut yang pernah dikatakan hampir pupus di kawasan itu.