Tambah menggembirakan apabila kemunculan reptilia itu turut membawa ‘buah tangan’ berupa 92 biji te­lur yang ditemui di dalam sebuah lubang berpasir kira-kira 10 meter dari gigi air di kawasan Pantai Rhu Cikgu bersempadan Rantau Panjang dan Jambu Bongkok oleh seorang pemajak telur penyu.

Walaupun kehadiran penyu belim­bing itu cuma diketahui berdasarkan kesan pendaratan dan telur yang di­­tinggalkan, ia menjadi petanda bahawa spesies terancam itu masih wujud.

Penyu belimbing atau nama saintifiknya Dermochelys coriacea merupakan spesies penyu terbesar daripada tujuh spesies penyu yang wujud di dunia.

Bagaimanapun, hanya empat spe­sies penyu yang mendarat di pantai negara ini iaitu penyu belimbing, penyu karah (Eretmochelys imbricata), penyu lipas (Lepidochelys olivacea) dan penyu agar (Chelonia mydas).

Menurut laporan Kosmo! pada 11 September 2017, penyu belimbing yang sebelum ini dikatakan ‘merajuk’ untuk mendarat dan bertelur di Pantai Rantau Abang telah dikesan kembali semula ke pantai tersebut pada 9 September 2017 iaitu selepas kali terakhir reptilia itu ditemui mendarat di pantai sama pada tahun 2010.

Pegawai Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Ke­tua Cawangan Mamalia Marin (Pasukan Penyelamat Kedamparan Spe­sies Marin Terancam), cawangan Rantau Abang, Mohd. Tamimi Ali Ahmad berkata, pendaratan penyu belimbing betina yang dianggarkan mempunyai berat mencapai 400 kilogram pada September tahun lalu itu memberi sinar baharu kepada pasukan penyelidik tentang peluang untuk melihat kembali penyu belimbing di Pantai Rantau Abang.

Telur rosak

Sejurus dimaklumkan tentang penemuan telur penyu itu, satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk menjalankan kajian bagi mengetahui spesies penyu yang bertelur itu sebelum mendapati ia daripada spesies penyu belimbing.

“Kita telah menganggap bahawa penyu belimbing ini telah mengalami kepupusan selepas kali terakhir ­spesies itu mendarat di Pantai Rantau Abang pada 8 Ogos 2010.

“Pendaratan ibu penyu pada tahun lalu memberi sinar baharu kepada semua pihak terutamanya pasukan penyelidik selepas tujuh tahun spesies tersebut tidak berkunjung ke pantai Rantau Abang,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Tamimi memberitahu, sebanyak 92 biji telur penyu yang ditemui di dalam sarang di Pantai Rhu Kubur pada 9 September dan 32 biji lagi di pantai Kampung Jambu Bongkok pada 20 September tersebut rosak dan tidak boleh disenyawakan.

Menurut Mohd. Tamimi, penyu betina yang mendarat itu dipercayai gagal me­nemui penyu belimbing jantan untuk bersenyawa di laut menyebabkan telur-telur tersebut tidak menetas.

“Jika sudah mencapai tempoh matang, penyu betina akan menghasilkan telur dan perlu mencari pasangannya untuk bersenyawa sebelum naik ke darat bagi melepaskan telur sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh tiga minggu.

“Penyu mengambil masa antara tujuh hingga 12 jam bagi melakukan proses persenyawaan di laut sebelum menuju ke kawasan pesisir pantai yang sama tempat ia menetas atau dilepaskan untuk bertelur apabila tiba musimnya,” ujarnya.

Tambah Mohd. Tamimi, usia matang bagi penyu betina adalah 30 tahun dengan jangka hayatnya mampu mencapai sehingga 150 tahun berbanding spesies lain.

Musim bertelur

Menjelas lebih lanjut, Mohd. Tamimi memberi­tahu, berkemungkinan besar penyu belimbing tersebut akan naik sekali lagi pada tahun ini untuk bertelur selepas ia mendarat pada tahun lepas.

Berdasarkan jadual haiwan itu bertelur, penyu be­tina dikesan akan mula mendarat sekitar bulan April sehingga September, namun ia tidak akan mendarat ketika musim tengkujuh.

Sementara itu, Pengarah FRI Rantau Abang, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir menjelaskan, ramai saintis penyu berpendapat bahawa kekurangan penyu belim­bing jantan menyebabkan peluang penyu betina untuk bersenyawa amat tipis.

Beliau berkata, apabila mencapai tempoh matang, penyu betina akan menghasilkan telur, namun jika tidak berlaku proses perse­nyawaan, embrio telur itu tidak akan berkembang untuk menetaskan anak penyu.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan antara ancaman utama terhadap kepupusan spesies tersebut adalah tahap sensitif penyu terhadap aktiviti yang dijalankan oleh manusia di lokasi-lokasi yang dikenal pasti menjadi pilihan reptilia itu mendarat.

“Apa sahaja pergerakan objek di kawasan pendaratan dianggap sebagai gangguan dan ancaman oleh hidupan laut itu.

“Begitu juga pembangunan di pesisir pantai yang menjejaskan keadaan semula jadi seperti pancaran cahaya dari hotel atau resort kerana penyu betina memerlukan suasana sunyi, bersih dan gelap untuk bertelur,” ujarnya.

Pemburuan penyu oleh manusia turut menjadi faktor spesies tersebut di ambang kepupusan ekoran terdapat segelintir penduduk di Bali, Indonesia yang menjadikan daging penyu sebagai korban sajian ketika menjalankan upacara ritual keagamaan.

“Penyu mengamalkan corak migrasi yang jauh dan berkongsi perairan di Rantau Asia Tenggara bahkan sehingga ke Jepun dan rantau Oceania seperti Fiji, Solomon serta Papua New Guinea.

“Pemburuan yang berlaku di perairan sesebuah negara di rantau tersebut menjejaskan populasi penyu kerana Malaysia berkongsi perairan bagi laluan migrasi penyu belimbing serta spesies penyu yang lain,” ujarnya.

Mengulas lebih lanjut, Syed Abdullah berkata, jika dibandingkan dengan tahun 1980-an dan 1990-an, mentaliti masyarakat masa kini lebih banyak berubah kerana semakin ramai nelayan terlibat dalam usaha menyelamatkan hidupan laut itu.

Katanya, usaha penggunaan Peranti Penyisih Penyu (TED) oleh nelayan pukat tunda musim tengkujuh bagi operasi menangkap udang di kawasan Pantai Timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan serta Johor diharap dapat mengurangkan kadar kematian penyu.

Pemasangan TED bertujuan membebaskan penyu yang terpe­rangkap dalam pukat tunda udang dengan berenang keluar melalui injap peranti tersebut dalam tempoh kira-kira tiga minit.

Dari semasa ke semasa, program berkaitan kesedaran awam untuk melindungi, menyelamat dan memulihara habitat penyu daripada tercemar sentiasa dijalankan oleh FRI Rantau Abang, Pejabat Perikanan Negeri dan Daerah serta Jabatan Perikanan.

Usahasama menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu turut dijalankan oleh syarikat swasta dan badan bukan kerajaan di Malaysia.

Undang-undang

Sementara itu, seorang pengutip telur penyu dari Kampung Rantau Abang, Yusof Harun, 58, berkata, dia percaya penyu belimbing masih belum pupus dan memilih kawasan pantai lain untuk mendarat dan bertelur.

Jelas Yusof yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai pengutip telur penyu, pembangunan setempat dan penggunaan jenis pukat yang dilarang mempengaruhi ketiadaan penyu belimbing di Rantau Abang.

“Saya merindui suasana ceria ibarat pesta di tepi pantai suatu ketika dahulu apabila puluhan ekor penyu belimbing mendarat untuk bertelur,” tuturnya.

Haiwan prasejarah itu dilin­dungi dan diwartakan di bawah Seksyen 27 Akta Perikanan 1985; peraturan-peraturan Perikanan pengawalan spesies ikan marin terancam (pindaan) 2008.

Akta itu memperuntukkan mana-mana individu yang mengganggu, mengambil, menangkap, memiliki, membunuh, memburu dan memperdagangkan sama ada telur atau anggota haiwan tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, penyu belimbing juga dilindungi di bawah Enakmen Penyu Negeri Terengganu (pindaan) 1987.

Penemuan kesan pendaratan beserta 92 biji telur penyu belimbing di Pantai Rantau Abang, Terengganu pada September tahun lalu beri harapan baharu tentang reptilia tersebut yang dianggap telah pupus.