Pertembungan dua ‘sang juara’ itu ibarat aksi ulangan di venue yang sama musim lalu yang menyaksikan Kedah muncul selaku pemenang hasil kemenangan 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Malam ini, kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan sekali lagi tatkala JDT memegang status selaku juara Liga Super dan Piala Malaysia manakala Kedah tampil sebagai juara Piala FA musim lalu.

Biarpun pertemuan JDT dan Kedah itu juga menjadi aksi pembuka tirai Liga Super 2018, aura perlawanan Piala Sumbangsih dikatakan masih tidak dapat menandingi keistimewaan Piala Malaysia, Piala FA mahupun trofi Liga Super dan Liga Premier.

Mengulas senario itu, pengulas sukan tempatan, Rizal Hashim berkata, Piala Sumbangsih yang menemukan dua ‘sang juara’ sepatutnya menjadi perlawanan yang dinanti-nantikan oleh penyokong bola sepak tanah air sebagaimana aksi final Piala Malaysia.

“Piala Sumbangsih merupakan satu perlawanan yang diadakan sebagai simbolik pembukaan liga sebaik musim baharu bermula. Ia bukan sekadar perlawanan biasa kerana Piala Sumbangsih menemukan dua pasukan juara.

“Jadi Piala Sumbangsih ini wajar diangkat sebagai perlawanan yang sentiasa ditunggu-tunggu, bukan sahaja kepada penyokong kedua-dua pasukan yang bersaing, malah seluruh peminat bola sepak tempatan,” katanya ketika dihubungi Rembat Kosmo! baru-baru ini.

Begitupun, Rizal tidak menolak andaian beberapa pihak yang mengatakan perlawanan Piala Sumbangsih kurang berprestij berbanding trofi kejuaraan lain memandangkan ia dilangsungkan sekali dengan saingan liga domestik.

“Pada hemat dan pandangan saya, amat wajar sekali jika perlawanan Piala Sumbangsih ini dirombak kembali formatnya atau dengan kata lain, ia diawalkan terlebih dahulu sebelum bermulanya perlawanan liga. Mungkin satu atau dua minggu lebih awal sebelum liga bermula.

“Perlawanan Piala Sumbangsih juga mungkin kurang mendapat perhatian atas faktor venue kerana ada sesetengah pihak mendakwa venue yang dipilih tidak begitu neutral sehingga mengundang beberapa isu tidak diingini.

“Namun, saya ada mendengar khabar angin bahawa pentadbir Liga M, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) akan meminda dan merombak semula jadual perlawanan Piala Sumbangsih agar ia dijalankan lebih awal sedikit daripada saingan liga,” katanya.

Menurut Rizal lagi, perubahan format tersebut akan dapat mengembalikan semula keyakinan penyokong serta peminat bola sepak negara selain mengangkat prestij perlawanan Piala Sumbangsih setanding trofi kejuaraan lain yang dipertandingkan dalam Liga M.

“Kita sebagai penyokong dan peminat bola sepak Malaysia seharusnya bersikap terbuka dengan setiap perubahan yang dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan FMLLP demi mengangkat imej Liga M pada peringkat lebih tinggi,” jelasnya.

Ketika diminta mengulas pertembungan JDT dan Kedah malam ini, Rizal meramalkan skuad Harimau Selatan mampu merampas Piala Sumbangsih daripada tangan Helang Merah.

Rizal memberitahu, JDT mempunyai kelebihan beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri selain sudah mempunyai momentum selepas perlawanan kompetitif menentang kelab Thailand, Muangthong United dalam aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Bangkok, Thailand minggu lalu.

“Walaupun JDT tewas 2-5 kepada Muangthong United, saya rasakan kekalahan itu akan menjadi pembakar semangat kepada barisan pemain JDT meraih kemenangan seterusnya menghadiahkan trofi sulung buat para penyokong mereka musim ini.

“Bagi Kedah pula, saya lihat mereka masih dalam mood pramusim kerana tidak mengharungi perlawanan kompetitif seperti JDT, jadi ia mungkin memberi sedikit kesukaran buat ketua jurulatihnya, Ramon Marcote mencari barisan terbaik bagi mengharungi perlawanan tersebut,” ujar Rizal.

Sementara itu, bekas pemain dan pengendali Sarawak, Abdul Jalil Rambli berpendapat, perlawanan Piala Sumbangsih yang diperkenalkan lebih 30 tahun lalu mempunyai sejarah dan keistimewaan tersendiri.

“Selain Piala Malaysia, Piala Sumbangsih ada identitinya yang tersendiri. Bagi saya, Piala Sumbangsih tetap menambahkan lagi kehangatan setiap kali musim baharu bermula.

“Tambahan pula, Piala Sumbangsih mempertemukan dua pasukan bergelar juara, jadi ia sudah semestinya menjanjikan satu perlawanan yang cukup hebat,” katanya.

Menyentuh mengenai kewajaran perlawanan Piala Sumbangsih diasingkan daripada saingan liga, Abdul Jalil berkata, perkara tersebut tidak perlu diperdebat.

“Piala Sumbangsih boleh sahaja dilangsungkan serentak dengan perlawanan pertama liga. Apa yang penting, perjalanan keseluruhan liga tersebut perlu dititikberatkan dan diberi perhatian utama agar tidak mendatangkan sebarang isu kelak,” ujarnya.

Mengenai ramalan pasukan manakah yang bakal merangkul kejuaraan kali ini, Abdul Jalil memberi bayangan bahawa JDT sebagai pasukan pilihan.

“Seperti yang semua ketahui, JDT memiliki barisan pemain yang serba lengkap dan berkualiti, tidak kira pemain tempatan mahupun pemain import. Kehadiran dua tonggak import, Jorge Pereryra Diaz dan Luciano Figueroa sudah pasti menambah kembali kekuatan JDT musim ini.

“Kedah juga mempunyai kekuatan mereka tersendiri dan amat bertuah kerana memiliki seorang pemain import baharu di bahagian tengah, Alvaro Silva untuk membentuk gandingan mantap bersama Liridon Krasniqi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya berharap kedua-dua pasukan dapat menunjukkan aksi terbaik dan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang perlawanan berlangsung.

“Kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan dan kelebihan. Dengan persiapan yang telah dilakukan oleh kedua-dua pasukan, saya percaya perlawanan yang menarik akan dipersembahkan nanti.

“Saya jangkakan peluang 50-50 dan kedua-dua pasukan mampu untuk memenangi perlawanan tersebut,” katanya yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan pada tahun 2005 hingga 2007.

Rezal Zambery turut berharap setiap pemain memberikan aksi terbaik bersama pasukan masing-masing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Selain itu, kami mengharapkan para pemain menghormati kontrak yang telah ditandatangani dengan pasukan dengan sikap yang profesional. Kami juga mengharapkan tiada lagi kes tunggakan gaji atau penamatan kontrak secara tidak adil dalam musim baharu 2018.

“Ia bagi memastikan kelangsungan kerjaya pemain bola sepak profesional di Malaysia mengikut lunas-lunas dalam kontrak yang dipersetujui. Kami bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak terutamanya FAM, FMLLP dan pasukan-pasukan yang bertanding untuk memastikan profesionalisme dalam bola sepak Malaysia diangkat ke tahap lebih tinggi,” katanya.