Benang kait berwarna merah disulam kemas sebelum disimpulkan menjadi ikatan dipanggil French knot.

“Jenis jahitan ini sesuai untuk membuat sulaman bercorak bunga, manakala bagi daun pula boleh mengaplikasikan teknik jahitan tulang ikan,” katanya ketika ditemui kru Jurnal di Putrajaya baru-baru ini.

Menariknya, wanita berusia 28 tahun itu menghasilkan sulaman tangan pemandangan menerusi gabungan seni sulaman dengan lukisan cat air.

Dalam penghasilan seni tersebut, Zakiah menyelitkan unsur alam semula jadi seperti pokok, bukit-bukau, sungai dan tasik untuk menjadikan karya tersebut tampil lain daripada yang lain.

Melihat keunikan itu, kru Jurnal berasa kagum kerana kreativiti Zakiah dapat melahirkan hasil sulaman yang kelihatan seakan-akan panorama alam sebenar.

Zakiah mengakui memang tidak mudah untuk mendapatkan ilham bagi menghasilkan sesebuah sulaman tangan.

“Saya banyak bereksperimen dengan teknik dan jenis jahitan. Paling penting adalah permainan warna untuk mendapatkan hasil yang cantik,” ujarnya yang memulakan hobi itu sekitar Ogos tahun lalu.

Hiasan rumah

Sebagai contoh, menurutnya, bagi pemandangan langit matahari terbenam, dia tidak menggunakan satu warna benang sebaliknya mempelbagaikan rona untuk mendapatkan darjah kecerahan warna daripada gelap ke terang.

“Selain jingga dan kuning, saya turut memasukkan warna merah, merah jambu, ungu cair dan gelap agar semuanya kelihatan harmoni bersama. Begitu juga dengan warna pokok, bunga dan air yang memerlukan tiga hingga empat tona warna berbeza,” jelasnya.

Wanita yang berasal dari Jengka, Pahang itu memberitahu, ada juga yang dibuat menggunakan teknik sulaman sepenuhnya, tetapi proses tersebut lebih rumit dan mengambil masa panjang untuk disiapkan.

Katanya, proses menyulam dimulakan dengan membuat lakaran corak terlebih dulu sama ada pada kertas atau kain linen.

“Saya tidak menghadapi masalah membuat lakaran kerana dianugerahkan dengan bakat melukis. Jadi saya boleh terus buat lakaran pada kain untuk menjimatkan masa,” katanya.

Sulaman kemudian dibuat menggunakan benang kait menerusi pelbagai jenis jahitan berbeza antaranya lazy daisy leaf, woven wheel rose dan stem stitch.

Zakiah memberitahu, sulaman tersebut mengambil masa antara sehari hingga seminggu untuk disiapkan bergantung kepada saiz, jenis sulaman, tahap kesukaran serta kelapangan masa.

Kesabaran dan ketelitian Zakiah dapat dilihat pada hasilnya yang cantik dan kemas. Tidak hairanlah, sulaman yang sudah siap sesuai dijadikan sebagai item dekorasi lagi-lagi jika digayakan bersama bingkai vintaj beraneka bentuk seperti bulat, bujur dan oktagon.

“Memang idea asal untuk menjadikannya sebagai hiasan kerana saya gemar melukis catan air. Apabila ternampak seni sulaman berdasar lukisan cat air banyak dibuat di internet, saya cuba dan lama-kelamaan minat itu semakin menebal,” ceritanya.

“Sebagai hiasan, ia cantik digantung pada dinding atau dijadikan hiasan meja. Sulaman ini juga boleh tahan lama dan warna benangnya tidak mudah pudar jika dijaga dengan baik,” katanya.

Kemahiran baharu

Bertitik tolak daripada minat, Zakiah yang meraih populariti di laman perkongsian gambar, Instagram mula berkongsi hobi itu dengan pengikutnya.

Atas permintaan rakan-rakan alam maya yang mahu mempelajari seni itu daripadanya, Zakiah menjual kit permulaan sulaman meliputi bingkai ram berukuran 14 sentimeter (sm), fabrik linen, benang kait, jarum dan pengetip benang pada harga RM42.

Ibu kepada dua orang cahaya mata itu turut menyediakan pralakaran corak atas fabrik dengan bingkai ram vintaj berukuran 14sm pada harga RM58.

Bagi sulaman yang sudah siap, harganya adalah antara RM90 hingga RM250 mengikut rekaan dan saiz.

Tidak terhenti di situ, Zakiah turut menganjurkan kelas sulaman tangan bermula Disember lalu untuk berkongsi kemahirannya dengan mengajar teknik jahitan asas.

“Saya menyediakan panduan bertulis supaya pelajar dapat mengenali jenis jahitan dan ikut satu persatu teknik yang diajar,” ujarnya.

Selain mengisi masa lapang dan berkongsi ilmu dengan masyarakat luar, Zakiah mengakui dia memperoleh faedah lain yang bermanfaat kepada dirinya.

“Sebagai suri rumah sepenuh masa, saya jarang dapat bergaul seperti wanita bekerjaya lain. Oleh itu, menerusi kelas ini, saya dapat meningkatkan keyakinan diri, mengenali kawan baharu dan menjana pendapatan sendiri.

“Kelas ini juga bermanfaat kepada orang ramai kerana dapat mempelajari kemahiran baharu,” katanya.

Perkara itu diakui oleh salah seorang pelajar yang juga penjaga Rumah Solehah, Fathiiah Hamzah yang memanfaatkan ilmu sulaman tangan itu untuk diajar kepada kanak-kanak dan remaja HIV di rumah perlindungan berkenaan sebagai aktiviti masa lapang.

“Aktiviti berkaitan latihan kemahiran sebegini sekurang-kurangnya membolehkan mereka mengisi masa lapang dengan perkara yang lebih berfaedah. Selain itu, aktiviti ini juga secara tidak langsung memberi kemahiran kepada mereka untuk menonjolkan potensi diri,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Nur Aini Mohamed Taib berkata, sebagai pengusaha kraf beg tangan buatan sendiri menerusi jenama @handmadebyain, dia amat meminati teknik sulaman tangan itu dan berpendapat ia boleh ditambah baik kepada rekaan beg sedia ada yang dihasilkannya.

“Bagi anak-anak pula, aktiviti sebegini bagus supaya mereka tidak leka dengan hanya bermain gajet.

“Ia juga dapat merangsang minat terhadap aktiviti berkaitan kraf tangan yang menggunakan daya kreativiti,” katanya.