Selain kisah kanak-kanak yang terperangkap itu, turut mencuri tumpuan dalam laman sosial adalah kisah beberapa individu yang turut sama-sama menyumbang masa dan tenaga untuk membantu operasi menyelamat tersebut.

Antara individu yang menjadi sebutan pengguna laman sosial sehingga ke hari ini ialah seorang pemilik dobi bernama Rawinmart Luelert.

Sepanjang lebih seminggu operasi berlangsung, Luelert dengan sukarela telah mengutip dan membasuh kesemua pakaian penyelam di dobi miliknya sebelum menghantarnya semula ke lokasi menyelamat.

Selain Luelert, seorang tukang masak wanita beragama Islam yang dikenali sebagai Doonnia Kakakhen turut disebut-sebut oleh netizen.

Difahamkan, wanita itu menawarkan diri memasak makanan halal untuk diberikan kepada pasukan penyelamat terutamanya yang beragama Islam.

Seorang lelaki yang dikenali sebagai Sitthisak Sawanrak pula sanggup membawa sesiapa sahaja yang ingin ke lokasi menyelamat menggunakan motosikal miliknya secara percuma.

Walaupun ketiga-tiganya diumpamakan seperti wira yang tidak didendang, namun pengguna laman sosial beranggapan bahawa mereka wajar diberi penghargaan setimpal.