Malangnya, sudu besi itu tersangkut dalam saluran makanan esofagus lelaki tersebut yang dikenali sebagai Zhang.

Lelaki berusia 26 tahun itu bagaimanapun tidak mendapatkan bantuan perubatan untuk mengeluarkan sudu berkenaan memandangkan dia dapat makan dan minum seperti biasa.

Pada bulan lalu, Zhang bagaimanapun mula berasa sakit pada dada selepas bahagian itu ditumbuk.

Pemuda berasal dari wilayah Xinjiang itu memberitahu doktor bahawa dia menelan sudu besi berkenaan dalam satu pertaruhan ketika mengambil minuman keras.

Telan sudu

Zhang memberitahu rakannya bahawa dia boleh menelan sudu besi dan dapat mengeluarkannya semula dengan cara menariknya menggunakan tali yang diikat pada pemegang sudu itu.

Rancangannya itu bagaimanapun tidak berjalan lancar apabila sudu besi itu tersangkut dalam saluran makanannya.

Begitupun, lelaki itu tidak bergegas ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebaliknya mahu melihat terlebih dahulu sama ada sudu besi berkenaan menghalangnya daripada makan dan minum seperti biasa.

Apabila melihat dirinya boleh makan dan minum seperti biasa, Zhang mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja sudi besi itu tersangkut di dalam esofagusnya selama setahun.

Sudu berkenaan kemungkinan berada lebih lama di dalam badannya jika Zhang tidak ditumbuk pada bahagian dada bulan lalu.

Akibat tumbukan itu, Zhang bukan sahaja berasa sakit pada bahagian dada, malah turut mengalami kesukaran untuk bernafas.

Dijangkiti kuman

Zhang akhirnya pergi ke Hospital Xinjiang Meikuang untuk mendapatkan bantuan dan memberitahu doktor bahawa dia telah hidup dengan sudu besi di dalam saluran makanannya selama kira-kira setahun.

“Saya amat terkejut. Saya tidak pernah menjumpai kes sebegini,” jelas Dr. Yu Xiwu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hospital berkenaan.

Menurut Yu Xiwu, ketika Zhang dimasukkan ke hospital, keadaan esofagusnya telah dijangkiti kuman.

Doktor seterusnya membuat keputusan bahawa cara yang paling selamat untuk mengeluarkan sudu berkenaan adalah menerusi laluan sudu berkenaan masuk iaitu melalui mulutnya.

Zhang kemudiannya dibius dan doktor mengeluarkan sudu berkenaan dengan berhati-hati menggunakan peralatan endoskopi dalam satu prosedur yang mengambil masa selama dua jam.

Pihak hospital menjelaskan, Zhang beransur sembuh selepas sudu berkenaan berjaya dikeluarkan sebelum dibenarkan keluar dari hospital beberapa hari selepas itu.

Insiden luar biasa seperti yang dialami Zhang bukanlah sesuatu yang baharu di China.

Pada bulan September 2015, pakar bedah berjaya mengeluarkan sudu sepanjang kira-kira 15 sentimeter selepas seorang wanita secara tidak sengaja tertelan sudu berkenaan semasa memakan mi dengan cepat.

Seorang pelajar pula tertelan sudu aiskrim sepanjang 12 sentimeter selepas secara tidak sengaja dilanggar oleh seseorang pada Jun 2015.