Menyedari hakikat tersebut, seorang pereka peranti dari Austria, Klemens Schilinger mencipta lima buah peranti hitam yang menyerupai telefon bimbit bagi menggantikan ketagihan individu terhadap telefon bimbit.

Peranti tersebut yang dipanggil Substitute Phones boleh memberikan terapi kepada penggunanya, sekali gus menghilangkan keresahan mereka apabila tidak memegang telefon bimbit sebenar.

Menariknya, Substitute Phones datang dalam satu set yang mengandungi lima buah peranti.

Plastik

Pada permukaan peranti itu, terdapat bebola kecil seakan-akan manik yang boleh bergerak apabila disentuh.

“Bola-bola kecil ini menyerupai pergerakan yang sering dilakukan oleh jari kita ketika memegang telefon bimbit, seperti skrol ke atas, skrol ke bawah dan juga zoom,” ujar Schilinger.

Menurut Schilinger, dia mencipta Substitute Phones kerana menyedari tabiat manusia yang suka membuka akaun media sosial dalam setiap situasi.

“Jika dilihat, kita selalu memeriksa akaun media sosial dan e-mel dalam setiap situasi sama ada ketika duduk di dalam kereta api mahu pun ketika sedang berhibur bersama rakan-rakan.

“Sekiranya telefon bimbit kita kehabisan bateri atau kita terpaksa berjauhan dengan peranti elektronik tersebut, kita mudah menjadi murung dan tertekan disebabkan terlalu ketagih dengan telefon bimbit,” ujarnya.

Bentuk dan saiz setiap peranti dalam set Substitute Phones menyerupai saiz telefon bimbit iPhone 11.93 sentimeter.

Badannya pula berwarna hitam pekat dan diperbuat daripada material plastik polyoxymethylene (POM). Bebola manik pada permukaan telefon pula berwarna putih dan kelabu.

“Bebola manik itu direka dalam lima gerakan berbeza. Apabila pengguna menggolekkan bebola yang ada pada permukaan peranti, mereka akan rasa seolah-olah sedang melakukan gerakan sama yang selalu dibuat pada telefon bimbit dan sejujurnya, ia akan memberikan terapi kepada pengguna,” ujarnya.

Projek kedua

Mengulas lanjut, Schilinger berkata, simulasi atau pergerakan sebenarnya membantu seseorang untuk mengurangkan sesuatu ketagihan.

“Sama seperti ketagihan merokok, sekiranya fokus dialihkan kepada sesuatu objek yang boleh dipegang, ia sebenarnya membantu seseorang untuk tidak terlalu memikirkan tentang rokok,” katanya.

Substitute Phones merupakan projek kedua Schilinger yang bertujuan untuk mengurangkan ketagihan terhadap telefon bimbit.

Sebelum ini, lelaki kelahiran Vienna itu pernah menghasilkan sebuah lampu meja yang dipanggil Offline Lamp.

Lampu tersebut hanya berfungsi apabila penggunanya perlu mematikan telefon bimbit mereka dan menyimpannya di dalam laci. Produk tersebut diperkenalkan Schilinger semasa Vienna Design Week yang berlangsung pada 29 September hingga 8 Oktober lalu.

Schilinger berharap Substitute Phones akan mendapat sambutan menggalakkan sebaik ia dijual tidak lama lagi dan seterusnya berjaya menghilangkan ketagihan dan kebergantungan manusia terhadap telefon bimbit.

Klemens Schilinger cipta lima peranti hitam untuk tiru gerakan yang sering dilakukan pengguna pada skrin telefon bimbit mereka.