Seperti Hari Raya Aidilfitri, umat Islam juga disunatkan menunaikan solat sunat Aidiladha dan mendengar khutbah.

Allah berfirman dalam surah al-Kauthar ayat 2 yang bermaksud: “Maka bersolatlah untuk Tuhan-Mu dan lakukanlah korban”.

Aldiladha diraikan dengan penuh kesyukuran di seluruh dunia. Jika umat Islam di Malaysia lazimnya menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid dan surau, umat Islam di beberapa tempat di dunia pula mendirikannya secara berjemaah di kawasan lapang dan terbuka.

Lensa Kosmo! baru-baru ini berkesempatan menyaksikan solat sunat Aidiladha di Tanzania apabila umat Islam berhimpun untuk mendirikan solat di satu kawasan lapang baru-baru ini.

Kira-kira 200 penduduk perkampungan Nyuki di negara benua Afrika itu hadir menunaikan solat sunat Aidiladha sebelum ibadah korban dilaksanakan sehari selepas itu.

Solat sunat yang bermula kira-kira pukul 7.30 pagi itu turut disertai golongan wanita dan kanak-kanak.