Masing-masing dilihat meng­genggam kemas sebentuk loceng yang digelar sebagai ­giring pada bahagian tangan kanan.

Loceng tersebut kemudian digoncangkan dengan begitu kuat mengikut rentak langkah kaki masing-masing.

Ternyata, terik mentari pagi yang mula membakar kulit wanita daripada suku kaum Suang Lotud pada tengah hari itu sedikit pun tidak membuatkan mereka berganjak dari tempat masing-masing.

Sebaliknya, giring yang dipegang sema­kin rancak digoyangkan sepanjang perlaksanaan Mamahuy Pogun iaitu ritual pembersihan bumi daripada semangat negatif dan pembuangan sial setiap tujuh tahun sekali.

Sambil badan digoyangkan, bait-bait Rinait iaitu bacaan suci kaum Suang Lotud jelas kedengaran keluar daripada mulut mereka.

Sementara itu, salah seorang wanita dalam kumpulan tersebut dilihat terlalu asyik mengalunkan Rinait sehingga kelopak matanya terpejam.

Ekspresi wajahnya melahirkan pelbagai emosi, adakala suaranya kedengaran seperti merintih, gembira dan kadangkala merayu.

Wanita itu, Bahedang atau lebih dikenali sebagai Puleh Poyob, 67, merupakan gene­rasi Tantagas yang masih wujud di daerah Tuaran.

Bahedang berkata, setiap kali Rinait dibacakan, dia perlu berada dalam kea­daan fokus dan tenang bagi memastikan setiap butir ayat disebut dengan betul.

Memegang gelaran sebagai Tantagas atau pakar ritual dalam kepercayaan kaum Suang Lotud, Bahedang merupakan generasi terakhir dalam keluarganya yang terus menggalas tanggungjawab tersebut.

Bahedang yang telah bergelar Tantagas lebih 20 tahun didakwa memperoleh ilmu tersebut melalui mimpi sebelum dia kemudian mempelajari Rinait dengan lebih mendalam dalam usaha untuk mempertahankan ritual Mamahuy Pogun.

Mimpi

Ritual Mamahuy Pogun diadakan dalam tempoh tujuh tahun sekali untuk menjaga keseimbangan kehidupan di alam nyata dan alam selain manusia.

Bukan sekadar ritual menghindari malapetaka, ia juga merupakan sebahagian daripada upacara mengucapkan perasaan syukur, menjaga tanaman dan hubungan manusia di muka bumi.

Uniknya mengenai pelaksanaan ritual Mamahuy Pogun, ia hanya boleh dilakukan oleh golongan wanita kerana Tantagas akan dilantik dalam kalangan wanita sahaja.

“Pada tahun ini, kami melaksanakan ri­tual Mamahuy Pogun Popo’ayas do Sumbang. Ia bermaksud upacara pembersihan bumi daripada sebarang malapetaka.

“Ritual ini memerlukan bacaan Rinait dan ia hanya boleh dibacakan melalui teknik hafalan serta perlu dialunkan dengan sebutan yang betul bagi menghormati semangat daripada kedua-dua alam,” katanya.

Setelah kali terakhir dilakukan pada tahun 2011, ritual Mamahuy Pogun kembali disemarakkan di daerah Tuaran melibatkan empat kawasan perkampungan.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Bentayan, Kampung Telibong, Kampung Marabahai dan Kampung Labuaya.

Berkongsi mengenai perkara itu, Bahedang berkata, ritual kepercayaan kaum Suang Lotud itu bagaimanapun dilihat semakin pupus berikutan ketiadaan genera­si kini yang berminat menggalas tanggungjawab sebagai Tantagas.

Katanya, dia sendiri mengakui sukar untuk mencari pengganti kerana ilmu tersebut hanya boleh diturunkan kepada anak atau cucu perempuannya sahaja melalui pembelajaran atau menerusi mimpi.

“Perkara yang paling sukar mengenai Tantagas ialah keupayaan menghafal Rinait. Lebih-lebih lagi apabila setiap upacara akan memerlukan pembacaan Rinait yang berbeza.

“Saya sendiri mengambil masa lebih tujuh tahun untuk menghafal Rinait dalam setiap upacara Mamahuy Pogun,” katanya.

Lima pembantu

Ritual Mamahuy Pogun amat mementingkan hubungan yang seimbang antara dua alam iaitu alam nyata dan ghaib.

Biarpun begitu, pelaksanaan ritual tersebut tidak boleh dilakukan oleh seorang Tantagas sahaja kerana ia memerlukan pembantu yang digelar sebagai Bobolian.

Bobolian merupakan pengantara antara dunia ghaib dan nyata sepanjang ritual Mamahuy Pogun dilakukan.

Difahamkan, pembacaan Rinait memerlukan sekurang-kurangnya lima orang pembantu bagi memastikan setiap bacaan dapat disebut dengan tepat.

Di setiap lokasi, kumpulan Tantagas memulakan ritual seawal pukul 8 pagi dan berakhir lewat petang mengikut kemampuan setiap Rinait dibacakan.

Pelaksanaan Mamahuy Pogun bermula dengan upacara Monolibabow iaitu proses berkomunikasi dengan alam selain manusia dan diikuti dengan Momolian, iaitu penawaran persembahan sebelum berakhir dengan Popo’ayas do Sumbang iaitu proses membuang sial.

Persembahan pada ta­hun ini melibatkan beras yang ditempatkan di dalam tampi bersama telur ayam kampung.

Proses terakhir Mamahuy Pogun menyaksikan kesemua bahan yang ditawarkan dihanyut ke sungai yang menghubungkan laut berdekatan sebagai simbolik menghanyutkan perkara negatif dan permulaan baharu suku kaum itu.

Sementara itu, Ketua Anak Negeri, Saniban Amphil berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ritual kaum Suang Lotud mengalami kepupusan sekiranya tiada generasi muda yang berminat dengan upacara itu.

Katanya, Suang Lotud akan kehilangan identiti sekiranya ritual seperti Mamahuy Pogun tidak dilaksanakan dan gagal mencari pelapis.

“Pada ketika ini, kita difahamkan tiada pelapis baharu Tantagas dalam kaum Suang Lotud.

“Generasi muda tidak berminat untuk menjadi Tantagas apatah lagi menghafal Rinait yang menjadi elemen utama pelaksanaan ritual ini,” katanya.

Menurut Saniban, penganjuran ritual Mamahuy Pogun di kawasan tumpuan orang awam merupakan sebahagian daripada usaha untuk menghidupkan kembali pengamalan ritual tersebut.

Ditelan zaman

Tambah Saniban, orang awam terutamanya dalam kalangan ge­nerasi muda Suang Lotud perlu mempertahankan ritual ini supaya ia tidak lupus ditelan arus zaman.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Bantayan, Antakin Andan berkata, beliau akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan ritual Mamahuy Pogun tersebut tidak pupus.

Menurutnya, ia termasuk usaha mendokumenkan ritual Mamahuy Pogun dan Rinait Tantagas sebagai sebahagian daripada tujuan pembelajaran generasi baharu.

“Ia termasuk membukukan Tantagas sebagai tujuan pengajian dan rujukan,” katanya.

Antakin berkata, setakat ini Suang Lotud mempunyai lima Tantagas yang masih boleh melaksanakan ritual Mamahuy Pogun, bagaimanapun jumlah itu tidak mencukupi.

“Kita yakin dengan perancangan mewujudkan pusat kebudayaan, usaha mendokumenkan pengajian Tantagas, ritual Mamahuy Pogun masih boleh dipertahankan untuk generasi akan datang,” katanya.

Keengganan generasi muda suku kaum Suang Lotud mendalami ilmu Rinait mengundang kepada kepupusan ritual Mamahuy Pogun berikutan kekurangan pelapis dan Tantagas dalam kalangan kaum itu.