“Jijik betul apabila mengenangkan tindakan suami yang sanggup meniduri ibu tiri saya yang muda dan dia juga mengakui tidak tahan dengan godaan wanita itu,” tutur wanita berusia 28 tahun tersebut dalam nada kecewa.

Membuka cerita, Ika memberitahu, perkenalannya dengan bekas suami, Rashid (bukan nama sebenar) bermula menerusi laman sosial Twitter kira-kira tiga tahun lalu.

Dia yang ketika itu baru mula bekerja tertarik dengan status-status lucu yang sering dikongsi Rashid, menyebabkan dia memberanikan diri dengan mengikuti akaun lelaki tersebut.

Salam perkenalan yang dihulurkan disambut baik oleh lelaki itu yang kebetulan masih bujang dan sedang serius mencari calon isteri.

“Kehadiran saya dalam hidup Rashid menjadikannya gembira dan dia nekad mahu mengahwini saya. Memandangkan Rashid serius, saya menyatakan niat tersebut kepada ayah dan syukur apabila ayah tidak membantah,” cerita Ika.

Jatuh hati

Selepas memperkenalkan Rashid kepada seluruh ahli keluarga, Ika perasan pandangan suami agak berbeza terhadap ibu tirinya.

Ika kemudian memberitahu, bapanya baru menikahi Shida (bukan nama sebenar) yang merupakan staf baharu di syarikat bapanya.

“Selepas kematian ibu, bapa mengakui hidupnya terasa sunyi dan memberitahu niatnya untuk berkahwin. Saya dan tiga orang kakak bersetuju kerana faham dengan rasa kosong dalam jiwa ayah.

“Sewaktu mula-mula diperkenalkan dengan Shida, keperibadian wanita muda itu cukup memikat hati kami sekeluarga lalu ayah pun berkahwin,” jelas Ika.

Shida yang baru berusia 30 tahun itu sememangnya cantik dan cukup sempurna sebagai seorang isteri. Pengalaman ditinggalkan bekas tunang menyebabkan dia nekad menerima ayah dalam hidup biarpun lelaki itu jauh lebih berusia daripadanya.

Begitu pun, pertemuan antara Rashid dan Shida ketika diperkenalkan, menimbulkan rasa kurang senang dalam hati Ika.

Namun, Ika memilih untuk membiarkan sahaja perasaan tersebut hilang sendiri kerana menganggap ia merupakan mainan syaitan.

Kesan perubahan

Perkahwinan yang dibina Ika cukup bahagia kerana Rashid merupakan seorang lelaki yang bertanggungjawab dan cukup lembut orangnya.

“Begitu pun, saya mula menyedari perubahan pada sikap suami apabila dia sesekali bertanya perihal Shida kepada saya. Dia pernah bertanya mengapa Shida memilih ayah sebagai suami, dia berasal dari mana dan juga beberapa soalan tentang keperibadian ibu tiri saya,” jelas Ika.

Soalan daripada Rashid menjadikan Ika mula bersangka buruk terhadap suaminya itu, namun dia segera membuang rasa itu jauh-jauh kerana tidak mahu merosakkan perkahwinan yang baru dibina.

Namun, setiap kali ada perjumpaan keluarga, Ika mula perasan Rashid sering merenung ibu tirinya itu dengan satu pandangan yang sukar ditafsirkan.

Rasa ingin tahu yang membuak-buak di hati Ika menyebabkan wanita itu mula memeriksa telefon pintar suaminya itu.

“Alangkah terkejutnya saya apabila tekaan saya benar belaka.

“Suami mempunyai hubungan sulit dengan Shida dan sering berbalas mesej lucah. Mereka juga sudah beberapa kali terlanjur,” dedah Ika.

Hubungan sulit

Hati Ika hancur kerana tidak menyangka suami yang disayangi sanggup curang dengan ibu tirinya sendiri.

Lebih memilukan, Rashid mengakui amat mencintai Shida dan dia percaya bahawa Shida merupakan jodoh sebenar buat dirinya.

“Bayangkan perasaan saya apabila suami mengakui Shida merupakan jodoh sebenar untuknya di hadapan saya isterinya serta percaya bahawa pernikahan kami berlaku kerana Tuhan mahu mendekatkan dirinya dengan Shida,” tutur Ika.

Ika juga benar-benar tidak boleh menerima kelakuan Shida yang sanggup berlaku curang dengan ayahnya sendiri.

“Ternyata Shida tidak ikhlas berkahwin dengan ayah. Janji-janjinya yang konon mahu sehidup semati bersama ayah semuanya palsu apabila dia tergamak menggoda suami anak tirinya sendiri,” jelas Ika dalam nada marah.

Ika nekad menuntut cerai daripada Rashid dan ayah Ika juga sudah menceraikan Shida dengan talak tiga kerana benar-benar kesal dengan kecurangan wanita itu.

Jelas Ika, dia tidak menyangka diduga sebegini hebat.

“Adakalanya, hati saya rasa tidak kuat menerima ujian ini namun saya yakin ada hikmah yang tersembunyi di sebalik semua ini,” jelasnya yang mengakui lebih tenang hidup solo.

Ika nekad menuntut cerai daripada Rashid apabila mendapat tahu lelaki itu bernafsu terhadap ibu tirinya yang muda.