Entah di mana silapnya, sikap suami yang dahulunya seorang yang baik dalam tutur kata dan tingkah laku tiba-tiba berubah menjadi panas baran.

Lebih malang, sejak si suami berubah sikap, Aina kini terpaksa memikul beban menguruskan hal rumah tangga termasuk menguruskan anak seorang diri selepas lelaki itu mengabaikan tanggungjawabnya sebagai bapa dan juga ketua keluarga.

Menurut Aina, suaminya mula menunjukkan perubahan sikap yang ketara selepas perkahwinan mereka memasuki usia lima tahun dan selepas lelaki itu dinaikkan pangkat ke jawatan sebagai pengurus di salah sebuah syarikat swasta di ibu negara.

Pada awal fasa perkahwinan, Aina dan suaminya, Farhan (bukan nama sebenar), 35, sama seperti pasangan suami isteri lain yang saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Perkahwinan yang dibina atas dasar cinta itu berjalan lancar sementelah kedua-dua mereka telah lama berkenalan sejak sama-sama menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam di utara tanah air.

“Saya mengenali Farhan sebagai seorang lelaki bertanggungjawab, lembut tutur kata dan tidak pernah meninggikan suara walaupun ketika marah,” ujar Aina.

Sifat dan keperibadian yang ditonjolkan Farhan membuatkan Aina berasa bertuah bersuamikan lelaki tersebut.

Bahkan, kebahagiaan rumah tangga yang dibina pasangan itu semakin bermakna selepas kehadiran cahaya mata sulung, sekali gus mengeratkan lagi hubungan mereka.

“Walaupun kehidupan kami pada masa itu sederhana sahaja, tapi saya tetap berasa bahagia memiliki seorang suami yang bertanggungjawab dan amat menyayangi keluarga,” kata Aina.

Kira-kira setahun lalu, Farhan telah dinaikkan pangkat sebagai pengurus syarikat tempat dia bekerja dan mendapat kenaikan gaji yang agak lumayan.

Murah rezeki

Berita gembira itu disambut dengan senang hati oleh Aina kerana dimurahkan rezeki oleh Allah. Namun, tidak tahu di mana silapnya, Farhan pada masa yang sama turut menunjukkan perubahan sikap sedikit demi sedikit.

Selepas menjawat jawatan sebagai pengurus, Aina mendapati suaminya sering pulang lewat ke rumah sehingga lewat malam.

Pada waktu itu, Aina cuma menganggap mungkin suaminya terbeban dengan kerja di pejabat selepas dinaikkan pangkat sehingga memaksa lelaki itu pulang lewat setiap hari.

“Jika sebelum ini, saya dan suami akan berbual tentang banyak perkara seperti isu semasa dan keluarga sebelum tidur.

“Namun, sejak beberapa bulan lalu, hubungan kami suami isteri perlahan-lahan semakin pudar,” jelas wanita berstatus suri rumah tangga itu.

Aina mendakwa, pernah satu ketika, dia ada menelefon suaminya semasa lelaki itu masih belum pulang ke rumah walaupun jam sudah menunjukkan hampir pukul 10 malam.

Namun, Aina pelik kerana sewaktu dia menelefon Farhan, terdengar bunyi muzik latar yang kuat seperti di pusat karaoke.

Selepas Farhan pulang ke rumah, Aina telah bertanyakan perkara tersebut kepada suaminya, namun dia telah dimarahi dengan agak kasar dan telah diberi amaran supaya tidak sesekali menelefonnya jika tiada sebarang urusan penting.

Sejak daripada peristiwa itu, perangai Farhan semakin menjadi-jadi. Daripada seorang suami dan ayah yang penyayang, Farhan kini langsung tidak boleh ditegur kerana dia akan naik angin dan memaki hamun isterinya dengan kata-kata kesat.

Naluri wanita

Perubahan sikap pada diri Farhan membuatkan Aina bingung. Naluri wanitanya tidak dapat membendung prasangka buruk yang mengatakan bahawa Farhan mempunyai wanita lain selain dirinya.

Manakan tidak, pernah beberapa kali, Aina menemui resit penginapan hotel di dalam beg kerja suaminya, selain beberapa resit pembelian lain seperti pakaian dalam wanita di dalam kereta suaminya.

“Luluh dan hancur perasaan saya apabila mengetahui perkara tersebut.

“Hendak bertanyakan kepada suami, bimbang jika lelaki itu naik angin dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya,” kata Aina.

Malah, nafkah dan tanggungjawab terhadap keluarga mula terabai kerana Farhan bersikap lepas tangan.

Keadaan itu menyebabkan Aina terpaksa berusaha mencari nafkah sendiri dengan berniaga secara kecil-kecilan seperti kuih dan nasi lemak pada sebelah pagi serta bekerja sebagai pencuci pinggan pada sebelah petang bagi menampung keperluan diri serta anaknya.

Aina melihat apa yang berlaku terhadap dirinya adalah ujian oleh Tuhan dan akan terus bersabar selagi dia masih dianggap sebagai seorang isteri.

Pada masa sama, Aina perlu memikirkan masa depan anak tunggalnya dan akan terus memastikan puteri sulungnya itu dapat membesar dengan baik.

Aina diuji selepas sikap suami yang mesra dan bertanggungjawab berubah 
menjadi seorang yang panas baran selepas dinaikkan pangkat dan bergaji lumayan.