Wanita yang berkerjaya khususnya mahu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama golongan lelaki.

Senario golongan wanita yang produktif dapat dilihat dengan jelas dalam agensi pekerjaan sama ada kerajaan mahupun swasta serta institusi pendidikan tanah air.

Walaupun ia satu pencapaian yang baik namun, ia dikhuatiri sedikit sebanyak menyebabkan golongan lelaki terasa dicabar.

Hinggakan, segelintir lelaki bergelar suami terpaksa mengundur diri dengan beralih kepada kerjaya sebagai suri rumah demi memastikan isteri dapat menjayakan kariernya.

Lapor Kosmo! pada Jumaat lalu, fenomena lelaki bergelar suami menjadi suri rumah semakin meningkat di seluruh dunia.

Di Australia sahaja, bilangan suami yang mengambil alih tugas isteri di rumah bertambah daripada 68,500 orang pada tahun 2011 kepada 80,000 orang pada 2016.

Fenomena itu turut berlaku di beberapa buah negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Kanada.

Peningkatan angka tersebut dipercayai ekoran pertambahan golongan bapa yang menganggur atau terkeluar daripada bidang pekerjaan.

Golongan suami yang menjadi suri rumah terbahagi kepada beberapa kumpulan termasuk bapa mempunyai masalah kesihatan, kurang upaya, bersara dan menjaga anak di rumah.

Menurut Pengarah Pusat Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad, keadaan tersebut seakan-akan tidak dapat dielakkan lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi kini yang semakin mencabar ditambah pula dengan peluang pekerjaan yang semakin minimum.

Katanya, golongan lelaki sememangnya memegang tanggungjawab memimpin keluarga namun atas faktor tertentu, tugas bekerja itu diambil alih oleh isteri.

“Adakalanya isteri memiliki kelebihan berbanding suami dari segi pendapatan, kerjaya, pendidikan dan sebagainya.

“Ia menyebabkan golongan suami terpaksa berhenti kerja demi menjaga anak-anak di rumah sepanjang ketiadaan isteri yang keluar bekerja.

“Walau bagaimanapun, peranan suami sebagai ketua dalam hierarki keluarga itu perlu jelas bagi seorang lelaki dan diakui oleh seluruh ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Dominan

Tambah Fauziah, suami yang dominan dapat memimpin keluarga sekali gus mengekang masalah sosial dalam masyarakat daripada terus berleluasa.

Malah, ia juga dapat mengelakkan daripada berlaku kekeliruan dalam diri anak-anak khususnya melibatkan tanggungjawab hakiki seorang bapa.

Kongsi Fauziah, bagi memastikan keluarga itu menjadi lebih harmoni, isteri tidak seharusnya mengambil kesempatan sehingga mengabaikan tugas seorang ibu atau membuli suami.

Ia memerlukan toleransi serta komunikasi dua hala yang berkesan antara pasangan suami isteri bagi memastikan hubungan kekeluargaan itu lebih terjamin.

Sementara itu, Pendakwah dan Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahazan Mohamed berpendapat, golongan lelaki yang menjadi suri rumah sepenuh masa yang semakin meningkat tidak sedikitpun menjadi halangan dalam Islam.

Jelas Zahazan, sekiranya isteri lebih berkemampuan, maka tidak menjadi masalah bagi golongan itu bekerja dan menyara keluarga walaupun pada asalnya tanggungjawab menjaga, memelihara serta membiayai seluruh keluarga terletak pada bahu suami.

“Sekiranya isteri mengambil peranan bekerja mencari pendapatan, suami pula perlu berkompromi dengan memikul tanggungjawab memastikan urusan rumah tangga lebih terpelihara.

“Hukum bagi seorang suami membantu menguruskan rumah tangga adalah harus bahkan ia merupakan sunah yang digalakkan.

“Rasulullah sendiri membantu isterinya melakukan kerja-kerja rumah seperti mengemas, memasak dan menjahit baju serta kasut,” kongsinya.

Pesan Zahazan, pasangan suami isteri perlu sentiasa bertolak ansur dalam hubungan kekeluargaan.

Malah, pasangan suami isteri perlu mendekati majlis-majlis ilmu serta kursus-kursus bagi mendalami ilmu kekeluargaan yang tepat sekali gus menjamin kebahagiaan rumah tangga.