Manakan tidak, bekerja sebagai jurutera plastik di Seberang Tambak itu menawarkan gaji yang lumayan.

Begitupun, sebagai seorang anak dia tidak sampai hati melihat bapanya membanting tulang mengusahakan ladang strawberi seluas satu hektar di Brinchang, Cameron Highlands, Pahang.

Akhirnya, keputusan untuk membantu bapanya itu berbaloi apabila dia dipercayai berjaya menghasilkan variati baharu strawberi.

Kelainan

Menariknya, eksperimen yang dilakukan dalam tempoh setahun itu berjaya menghasilkan strawberi berwarna putih dan merah jambu.

“Percubaan itu saya buat setelah tertarik melihat kelainan yang dihasilkan peladang di Jepun dengan mengeluarkan strawberi berwarna putih pada tahun 2009.

“Setiap hari, apabila saya menguruskan ladang strawberi ini, saya sering berfikir apa kelainan yang boleh dibuat.

“Tiba-tiba datang satu idea untuk menghasilkan strawberi yang mempunyai warna dan rasa berbeza berbanding strawberi merah, lalu saya mula melakukan eksperimen sendiri,” jelas bapa kepada seorang anak yang berusia setahun itu.

Ceritanya, selepas melakukan banyak kali percubaan untuk menghasilkan variati itu, akhirnya selepas hampir setahun, pokok strawberi atau nama saintifiknya Fragaria x ananassa yang diujinya mula mengeluarkan buah berwarna putih dan merah jambu.

“Saya sangat teruja apabila berjaya menghasilkan strawberi ini sejak eksperimen dilakukan bermula 2016.

“Selain warnanya berbeza daripada strawberi biasa, rasanya lebih manis iaitu mirip rasa buah pic,” katanya.

Jelas pemuda yang lebih mesra disapa dengan nama Damon itu, kejayaan itu hasil sikap tidak putus asanya selain didorong oleh sikap isterinya, Pooi Yee, 26, yang tidak suka kepada strawberi berubah kepada menyukai buah tersebut.

“Isteri saya sebelum ini tidak suka makan buah strawberi yang kadangkala rasanya masam. Itulah yang membuatkan saya lebih bekerja keras untuk menghasilkan strawberi dengan warna lain,” katanya.

Dakwanya, sekiranya usahanya diiktiraf pihak kerajaan, strawberi putih dan merah jambu yang dihasilkannya itu akan menjadikan Malaysia negara kedua yang mampu menghasilkan buah strawberi dengan warna berbeza selepas Jepun.

Bangga

Sementara itu, bapa Damon, Wong Mang Hoo, 56, berkata, dia dan ahli keluarga sangat berbangga dengan kejayaan menghasilkan strawberi putih dan merah jambu itu.

“Saya pada awalnya tidak tahu apa yang dilakukan Damon kerana fokus pada menguruskan lebih 30,000 pokok strawberi di ladang selain tanaman lain bersama 20 pekerja warga Bangladesh.

“Namun selepas usahanya itu berhasil, barulah saya faham eksperimen yang dilakukannya itu,” katanya yang menyokong penuh usaha keras anaknya itu.

Selain strawberi, ladang warisan itu turut ditanam dengan pokok jagung mutiara dan jagung susu serta beberapa jenis sayuran termasuk kobis, kacang panjang, asparagus dan brokoli organik.

Menurut Damon, dia telah hadir ke Jabatan Pertanian Cameron Highlands dua bulan lalu dan menceritakan hasil ujian yang dilakukannya itu kepada para pegawai mereka.

Iktiraf

“Saya telah menerangkan kepada pegawai di Jabatan Pertanian tersebut mengenai kejayaan saya menghasilkan strawberi putih dan merah jambu ini.

“Saya berharap kerja keras saya ini mendapat pengiktirafan kerajaan selain memberikan pilihan baharu kepada penggemar strawberi di negara ini,” katanya.

Jelas Damon, dia kini menghentikan sementara penjualan strawberi putih dan merah jambu di kedainya di Kea Farm yang dijaga adiknya, Cyndi Wong Seng Yim, 27, bersama dua lagi pekerja.

Sebelum ini, mereka menjual strawberi putih dan merah jambu itu pada harga RM50 hingga RM60 sekilogram.

Dalam pada itu, Cindy yang ditemui di kedai berkenaan berkata, selain strawberi merah, dia turut menjual produk berasaskan strawberi termasuk aiskrim dan strawberi disaluti coklat.

“Saya membuka kedai seawal pukul 9 pagi hingga 7 malam. Kami turut menjual jagung dan sayur-sayuran yang ditanam bapa dan Damon selain beberapa produk lain yang diambil daripada peladang setempat,” katanya.

Seorang pengunjung kedai, Nurhikmah Mohd. Sharif, 30, berkata, dia sangat terkejut dan teruja selepas melihat buah strawberi yang berwarna putih dan merah jambu itu.

“Selepas merasai sendiri buah ini, saya tidak menyangka ia sangat manis dan sedap serta berbeza dengan buah strawberi merah.

“Saya tidak pernah melihat dan menikmati buah seperti ini di negara kita sebelum ini dan berharap agar pengusahanya dapat memasarkannya secepat mungkin,” katanya.

Pengunjung lain, Mohd. Khairul Nizam Mohd. Latafi, 36, pula berkata, persepsinya terhadap buah strawberi rasanya masam berubah apabila menikmati strawberi putih dan merah jambu yang enak dan manis.

“Saya bukanlah penggemar strawberi kerana saya tahu strawberi ini rasanya sama sahaja.

“Bagaimanapun, selepas makan strawberi putih dan merah jambu ini, saya sangat suka rasanya yang manis,” katanya.

Kajian Damon Song Seng Kong sejak 2016 membuahkan hasil apabila berjaya menemui buah strawberi yang tidak masam tetapi lebih manis