Ini kerana di Malaysia, kesihatan mental tidak dianggap penting berbanding kesihatan fizikal.

Pada Januari tahun ini, seorang wanita berusia 30-an terjun dari tingkat 10 pangsapuri tempat tinggalnya di Kajang, Selangor. Dia kemudiannya didapati mempunyai sejarah masalah mental.

Satu lagi kes bunuh diri pada April lalu melibatkan seorang pelajar cemerlang berusia 20 tahun yang terjun dari tingkat 14 pangsapuri di Seremban, Negeri Sembilan berikutan masalah kemurungan.

Nota yang ditinggalkan menyatakan bahawa dia terlalu takut jika mengecewakan ibu bapanya.

Dalam kedua-dua kes, mangsa mungkin dapat dibantu seandainya perbincangan permasalahan kesihatan mental menjadi kebiasaan bagi masyarakat.

Bagaimanapun, terdapat stigma berkaitan masalah itu yang menghalang ia dibincangkan secara terbuka.

Bantuan

Itulah sebabnya mangsa sering menderita dalam diam dan tidak mendapat bantuan yang diperlukan. Masalah itu hanya diperkatakan untuk seketika, contohnya berikutan peningkatan kejadian bunuh diri sebelum isu itu tenggelam dan dilupakan.

Pakar Psikologi Klinikal Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Urmilah Dass berkata, stigma berkaitan kesihatan mental di Malaysia adalah tidak wajar sama sekali.

Katanya, amat memalukan kerana masyarakat Asia masih berpegang pada kepercayaan bahawa hanya orang yang lemah akan mengalami masalah berkaitan mental.

“Stigma berkaitan pelbagai masalah mental adalah sangat meluas sehinggakan keadaan itu menghalang mereka yang menderita daripada mendapat bantuan sewajarnya.

“Bergantung pada siapa mereka cuba dapatkan sokongan, penderita itu mungkin dilabel sebagai gila, lemah, terlalu sensitif, kurang keyakinan diri serta terlalu dramatik,” ujarnya.

Walaupun ada dalam kalangan pesakit yang tidak menghiraukan kata-kata negatif seumpama itu dan cuba mendapatkan bantuan yang diperlukan, kadangkala mereka kalah dengan tekanan sosial dan akhirnya terpaksa menanggung pelbagai simptom tersebut sendirian.

Kurangnya diagnosis daripada kalangan profesional perubatan juga menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar untuk mereka mendapatkan bantuan dalam menangani simptom-simptom serta pengesahan mengenai keadaan mereka.

Dalam pada itu, kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 menunjukkan, trend peningkatan masalah-masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa di Malaysia iaitu dari 10.7 peratus pada 1996 kepada 29.2 peratus pada tahun tersebut.

Kajian itu menunjukkan bahawa golongan wanita dewasa dan muda daripada keluarga berpendapatan rendah antara individu yang berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan mental.

Nisbah pakar

Keadaan itu tidak boleh dianggap remeh kerana menurut Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan pada tahun 2016, masalah kesihatan mental memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Malangnya, jumlah pakar psikologi dan psikiatri sangat terhad untuk menangani peningkatan masalah kesihatan mental.

Menurut Majlis Perubatan Malaysia, hanya terdapat seorang pakar psikologi yang merawat setiap 100,000 pesakit dan seorang pakar psikiatri bagi setiap 150,000 pesakit.

Timbalan Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Hazli Zakaria berkata, golongan yang mempunyai masalah mental biasanya tidak mendapatkan rawatan kerana takut atau malu mengakui bahawa mereka mempunyai masalah.

Tambahnya, ada yang tidak menyedari bahawa mereka mempunyai masalah. Bagaimanapun, terdapat tanda-tanda yang mungkin dapat dilihat atau dirasai oleh mereka yang rapat dengan individu berkenaan.

“Petanda jelas sekiranya seseorang yang berperwatakan mesra secara tiba-tiba menjadi introvert atau antisosial,” katanya.

Sementara itu, Urmilah menambah, antara simptom lain yang menunjukkan keadaan kesihatan mental seseorang itu adalah perubahan signifikan pada pola tidurnya iaitu sama ada terlalu banyak tidur atau mengalami kesulitan untuk tidur.

“Penyakit mental juga boleh mempengaruhi selera makan, motivasi, harga diri dan harapan untuk masa depan,” tuturnya. – Bernama