Generasi muda terutamanya kini berhadapan dengan masalah untuk membeli rumah berikutan jumlah gaji yang diterima tidak sepadan dengan harga kediaman yang ditawarkan oleh para pemaju perumahan.

Berbanding sedekad lalu, harga rumah pada masa ini boleh dikatakan melambung agak tinggi.

Sebelum ini, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan oleh kerajaan dikatakan menjadi penyebab kepada kenaikan harga rumah.

Ini kerana pemaju terpaksa menanggung kos bahan binaan yang tinggi selepas dikenakan GST.

Namun, sejak kerajaan baharu mengambil alih tampuk pemerintahan dan menggantikan GST dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuatkuasa pada 1 September lalu, harga rumah yang akan dibina sepatutnya lebih rendah.

Pelaksanaan SST akan mengurangkan harga bahan binaan, sekali gus menyebabkan berlaku penurunan harga rumah.

Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan, kerajaan Persekutuan mahu melihat lebih banyak respons positif daripada penggiat industri perumahan.

Ia susulan daripada pengumuman bahawa perkhid­matan pembinaan dikecualikan daripada SST.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berharap sekurang-kurangnya beberapa perubahan harga rumah pada masa hadapan kerana kerajaan tidak mengutip cukai ke atas perkhidmatan pembinaan.

Beliau menjelaskan bahawa harga kereta turun sejak pelaksanaan SST dan harus ada res­pons positif daripada sektor perumahan.

“Kami harap berlaku beberapa perubahan pada harga rumah dan dijangka melihat sambutan positif pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Perunding Hartanah dan Ketua Pegawai Eksekutif ExaStrata Solution Sdn. Bhd., Adzman Shah Mohd. Ariffin berkata, bagi rumah dalam pembinaan ataupun yang telah siap dibina, tiada kesan penurunan harga berlaku setelah SST dilaksanakan.

Penilaian

Jelasnya, bagi pembinaan yang baru dijalankan, mungkin terdapat sedikit kesan penurunan harga.

“Penentuan harga rumah juga bergantung kepada harga tanah, caj pembangunan dan beberapa kos yang berkaitan kebenaran perancangan yang didapati masih tinggi.

“Faktor itu yang menyebabkan harga rumah menjadi mahal.

“Selain itu, harga rumah akan turun sekiranya pihak pemaju tidak mengambil kesempatan meraih keuntungan daripada penjimatan kos tersebut.

“Pihak berkuasa tempatan juga perlu mengkaji semula cas-cas dan fi berkaitan untuk membantu menurunkan harga rumah,” katanya.

Adzman Shah menambah, dalam usaha menurunkan harga rumah, pihak kerajaan patut mewajibkan agar penilaian oleh penilai berdaftar dibuat ke atas harga rumah yang dicadangkan oleh pemaju untuk memastikan harga yang dikenakan tidak melampau.

Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Yusof Saari pula berkata, sistem percukaian sama ada GST ataupun SST bukan menjadi komponen utama yang mempengaruhi kenaikan atau penurunan kos pembinaan rumah.

Jelasnya, untuk pembinaan sesuatu rumah, cukai yang dikenakan hanya sekitar 0.6 peratus daripada kos pengeluaran.

“Terdapat komponen-komponen lain yang menjadi faktor lebih besar kepada kenaikan harga rumah berbanding cukai.

“Mungkin ada bahan-bahan binaan yang pemaju terpaksa import dari luar negara. Pada masa yang sama, nilai ringgit juga lemah.

“Selain itu, kos buruh dan tanah yang tidak terkawal juga menjadi penyebab kepada kenaikan harga rumah yang dipindahkan kepada pembeli.

“Pemaju mungkin boleh mengurangkan harga rumah jika berlaku penurunan yang besar dalam kos pengeluaran.

“Oleh itu, perkara berkaitan kos pengeluaran inilah yang kerajaan perlu kaji sekiranya mahu harga rumah ditawarkan pada harga yang lebih ideal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Yusof menjelaskan, kemampuan rakyat untuk memiliki rumah pertama juga kini dilihat tidak setara dengan pendapatan bulanan yang diterima.

Tegasnya, perkara ini terjadi disebabkan oleh dasar kerajaan yang tidak mengawal monopoli syarikat pemaju.

“Negara kita tidak banyak syarikat pemaju. Jika ada pun, mungkin syarikat yang sama memonopoli pasaran dan mereka ini yang mengawal harga rumah.

“Selain itu, faktor lain juga adalah disebabkan monopoli pengguna. Mereka yang berkemampuan membeli rumah-rumah baharu yang dibangunkan dan kemudiannya menjual pada harga tinggi untuk mengaut keuntungan.

“Mereka ini mudah untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank berbanding individu yang ingin membeli rumah pertama,” jelasnya.