Namun seiring dengan kecanggihan teknologi dan zaman, perubahan itu adalah tindakan yang tidak dapat dielakkan jika kita tidak mahu terus ketinggalan di belakang.

Salah satu daripada platform penstriman muzik popular dunia adalah Spotify yang diasaskan oleh sebuah syarikat hiburan Sweden milik dua lelaki bernama Daniel Ek and Martin Lorentzon. Ia dilancarkan secara rasmi pada 7 Oktober 2008 kepada dunia secara berperingkat.

Platform penstriman Spotify mula diperkenalkan di Malaysia kira-kira lima tahun lalu iaitu sekitar 2012 hingga 2013 yang menyaksikan situasi industri muzik pada saat itu dibebani dengan gejala cetak rompak dan muat turun lagu secara haram.

Akibat sudah terlalu biasa dengan aktiviti ‘merompak’ hasil seni artis secara tidak sah dan sesuka hati, pihak Spotify menyedari bahawa tidak mudah untuk meyakinkan pengguna bahawa ada cara yang lebih baik daripada muat muzik turun secara haram.

Menurut Ketua Bahagian Komunikasi Spotify Asia, Benjamin Chelliah, melihat bagaimana berjayanya aplikasi ini di Malaysia selepas lima tahun diperkenalkan, membuatkan pihaknya berbangga dengan penerimaan positif dan peningkatan pengguna berbayar berbanding di awal kemunculannya.

“Ia bukan suatu perkara yang senang untuk menembusi pemikiran dan budaya pengguna di Malaysia pada waktu itu yang kita tahu tidak begitu gemarkan apa-apa yang memerlukan bayaran.

“Namun, Spotify berpegang kepada prinsip untuk mendekatkan serta meluaskan lagi muzik itu kepada pendengar namun dengan cara yang betul dan tidak mensia-siakan usaha para artis yang beria menghasilkan karya masing-masing,”jelasnya lagi.

Cabaran terbesar

Ulasnya lagi, antara cabaran paling sukar buat pihak Spotify sewaktu hendak bertapak di Malaysia adalah menerapkan pendidikan bahawa cetak rompak dan muat turun secara haram itu boleh memusnahkan kerjaya artis kegemaran mereka.

Kebanyakan peminat berasa apa yang dilakukan pada waktu itu tidak salah dan tidak menjejaskan mana-mana pihak. Realitinya, ia membuatkan ramai penyanyi bungkus tikar akibat hasil karya mereka tidak memulangkan modal setimpal.

Tambah Benjamin, apa yang pihaknya praktikkan untuk menarik minat pendengar muzik adalah dengan menawarkan perkhidmatan mereka secara percuma untuk tempoh sebulan agar mereka sedar apa yang ditawarkan oleh Spotify.

“Kami memiliki dua kategori bagi Spotify iaitu Free Spotify yang boleh diakses tanpa sebarang bayaran namun mempunyai beberapa batasan seperti mempunyai iklan dan tidak boleh melangkau lagu sesuka hati. Bagi Spotify Premium yang dilanggan pada harga RM14.90 sebulan, pengguna bebas mendengar lagu mengikut pilihan dan boleh dinikmati di luar talian.

“Kebanyakan pengguna yang sudah merasai keseronokan Spotify Premium, biasanya akan meneruskan langganan mereka selepas tamat tempoh percuma kerana di Spotify, lagu-lagu yang disediakan buat anda tidak mempunyai batasan negara, artis dan bahasa malah disusun mengikut cita rasa pendengar itu sendiri,” jelasnya panjang lebar.

Kini, usaha Spotify bagi mewujudkan kesedaran tentang kepentingan menghargai karya artis-artis yang menghasilkan muzik semakin berkesan apabila secara purata dalam sehari, pengguna memperuntukkan 143 minit untuk mendengarkan lagu-lagu di Spotify.

“Ia suatu pencapaian yang sangat membanggakan di Malaysia terutama apabila menerima respons sebegini walaupun baru lima tahun Spotify diperkenalkan di negara ini dan kami berharap ia akan berterusan ke arah lebih baik di masa hadapan,” katanya lagi.

Terbuka

Sewaktu sesi temu bual berlangsung, Benjamin turut mendedahkan tiga orang penyanyi yang memiliki kadar penstriman paling tinggi di Spotify Malaysia iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza (penyanyi wanita), Faizal Tahir (penyanyi lelaki) dan UNIC (artis berkumpulan).

Di sebalik penerimaan positif baik daripada pihak artis atau peminat, Benjamin tidak menafikan masih ada sesetengah pengkarya yang tidak bersetuju untuk muzik mereka dipindahkan ke dunia penstriman dengan alasan ia tidak menjanjikan untung yang lumayan.

Katanya, Spotify menghormati semua pandangan peribadi yang diutarakan berkenaan mereka namun berharap para artis daripada golongan ini untuk bersikap lebih terbuka dengan teknologi yang sedang pesat berkembang.

Jelasnya, di Spotify, mereka tidak hanya fokus untuk membela nasib artis tetapi setiap individu yang bertanggungjawab di sebalik sesuatu karya itu termasuk komposer dan pencipta lirik.

“Oleh sebab itu, kami tidak akan berurusan dengan artis secara terus berkenaan lagu-lagu yang ingin dimasukkan ke Spotify. Sebaliknya menggunakan pendekatan syarikat rakaman, label atau pihak ketiga yang mewakili penyanyi (aggregators) supaya ada keterangan terperinci tentang sesebuah lagu itu.

“Ia juga untuk mengelakkan hanya sesetengah pihak sahaja yang mendapat keuntungan royalti contohnya kerana Spotify meraikan semua pencipta muzik tanpa mengira sama ada penyanyi, penulis lirik dan komposer atau syarikat rakaman sendiri,” tuturnya tegas.

Ditanya apakah harapan Spotify untuk tempoh lima tahun akan datang yang bakal menandakan ulang tahun ke-10 mereka di Malaysia, Benjamin berkata dia berharap aplikasi itu akan berkembang dengan skop lebih besar dan menarik minat lebih ramai peminat serta artis menyertai mereka.

“Kami akan memastikan pengisian kandungan dan peletakan lagu-lagu di Spotify yang lebih mantap serta lebih memuaskan hati pengguna yang kebanyakannya memilih lagu mengikut mood dan memori dalam kehidupan mereka,” katanya sambil menyimpul perbualan.

Sejak diperkenalkan lima tahun lalu, platform penstriman muzik Spotify sudah banyak mengubah cara pemikiran rakyat Malaysia berkenaan cara yang betul mendengarkan lagu-lagu artis kegemaran mereka tanpa menggunakan saluran muat turun secara haram.