Dalam serba kekurangan itu, dia yang berketurunan Melanau masih mampu melakukan tugas-tugas yang dipanggil melerai, menganing, menggulung, menghubung, menyolek dan mengarak benang.

Rutin berkenaan merupakan sebahagian daripada proses pembuatan songket Sarawak yang telah dilakukan oleh Su’anah sejak remaja lagi.

Pada usia berkenaan, wanita itu masih mampu menghasilkan songket berkualiti sehingga menarik pelanggan daripada golongan kenamaan.

Maka tidak hairanlah kiranya apabila harga Songket Sarawak yang dihasilkan sepanjang 4.5 meter itu mampu mencecah puluhan ribu ringgit bergantung kepada corak dan motifnya.

“Meskipun songket Terengganu terkenal dengan kualitinya dalam kalangan masyarakat di negara ini, namun songket Sarawak tidak kurang hebatnya.

“Songket ini ada keunikannya yang tersendiri terutamanya dalam aspek kehalusan dan kekemasannya selain kelainan motif,” katanya ketika ditemu bual K2 di Pusat Tenunan Songket, Kampung Kuala Rajang, Belawai, Sarawak baru-baru ini.

Su’anah merupakan salah seorang daripada 13 orang penduduk setempat yang kini aktif menenun songket di pusat tenunan itu.

Pusat tenunan diasaskan pada tahun 1991 itu merupakan salah satu tempat penghasilan songket Sarawak di negeri berkenaan.

Beroperasi dalam sebuah bengkel kayu seluas 40 meter (m) panjang dan 20m lebar, pusat tersebut sentiasa menjadi tumpuan penggemar songket.

Menurut Su’anah, salah satu kelainan songket Sarawak berbanding songket lain di negara ini adalah dari aspek teknik pembuatannya.

Dia memberitahu, semasa proses menenun, para penenun harus menyorok benang pada bahagian belakang songket bagi memberi kekemasan.

“Proses pembuatan songket ini sangat rumit dan menuntut kesabaran tinggi daripada para penenun terutamanya ketika melakukan teknik menyorok benang.

“Teknik ini digunakan bagi memberi kekemasan benang sekali gus membolehkan ia digunakan pada kedua-dua bahagian sama ada dalam atau luar,” katanya.

Eksklusif

Ciri istimewa lain yang terdapat pada songket Sarawak adalah dari segi corak dan motif yang ditampilkan.

Menurut wanita berkulit cerah itu setiap pelanggan hanya dapat menempah corak dan motif yang terhad sekali gus menjadikan songket Sarawak sangat eksklusif.

“Songket ini juga banyak menggunakan kombinasi warna sejuk dan hangat sambil disulami motif seperti tampuk manggis, pucuk rebung dan buah pedada.

“Ini juga adalah salah satu faktor songket Sarawak mengambil masa lama untuk disiapkan iaitu selama sebulan untuk sehelai samping,” ujar wanita yang pernah memenangi anugerah Tukang Ulung Tenunan Songket Sarawak itu.

Antara produk keluaran songket Sarawak yang menjadi pilihan pembeli ialah kain samping, kain sarung dan selendang.

Songket Sarawak bukan sahaja popular dalam kalangan penggemar songket tempatan, malah pernah dijual ke luar negara seperti Brunei, Australia dan New Zealand.

Hakikatnya, Sarawak bukan sahaja popular dengan tenunan songket, malah ia turut miliki beberapa lagi seni tenunan lain iaitu pua kumbu, pua karap dan pua sungkit.

Biasanya, tenunan pua dipelopori oleh masyarakat Iban yang tinggal di rumah panjang sekitar negeri tersebut.

Salah seorang penenun pua yang popular ialah Edmund Pawi. Lelaki berusia 68 tahun itu telah menenun pua karap sejak tiga dekad lalu.

Tenunan pua karap adalah salah satu identiti kepada etnik Iban. Kain tenunan pua karap digunakan bagi membuat pakaian tradisional ketika majlis keramaian.

“Penduduk tempatan menggunakan tenunan pua karap semasa majlis seperti pesta menuai dan perkahwinan.

“Kaum wanita menggunakan kain tenunan ini untuk dijadikan baju kurung, skirt dan selampai. Lelaki pula gunakannya bagi membuat baju seperti ves,” terangnya.

Harga

Pawi yang juga pesara guru memaklumkan, pua karap dihasilkan menggunakan alat tenunan khas diperbuat daripada kayu yang dikenali sebagai sandang belakang.

Jelasnya, proses menghasilkan pua karap melalui proses sama dalam penghasilan pua kumbu iaitu mengirit, menegi, membuat karap bunga dan diakhiri dengan menenun.

“Semua proses ini perlu dilakukan dengan cermat bagi memastikan kehalusannya. Tidak pelik, jika sehelai kain pua karap sepanjang 2.5 meter mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan.

“Harganya pula mampu mencecah ratusan ringgit bergantung kepada warna dan jenis benang yang digunakan,” jelas bapa kepada dua cahaya mata itu.

Setiap bulan, Pawi mampu menyiapkan antara empat hingga lima helai kain pua karap dengan pendapatan bulanan sekitar RM3,000.

Biasanya, tenunan pua karap dihasilkan menggunakan motif-motif berdasarkan mimpi yang dialami oleh penenun itu sendiri. Motif yang digunakan lazimnya berkisar tentang flora dan fauna.

Bagaimanapun, Pawi menyuarakan kebimbangan terhadap kurangnya minat generasi muda untuk mendalami teknik tenunan pua karap.

Jelas lelaki berketurunan Iban itu, dia bimbang kiranya seni berkenaan akan berkubur selepas generasi penenun yang ada ketika ini sudah tiada.

Buat masa ini seramai 163 usahawan tenunan meliputi songket dan pua yang aktif di negeri tersebut telah berdaftar dengan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak (KMCS).

Pengarah KMCS, Azran Arip berkata, kebanyakan penenun terdiri daripada wanita berumur 40 tahun ke atas yang menenun secara individu atau berkumpulan.

Penenun muda

Katanya, terdapat penenun baharu dalam kalangan generasi muda yang berumur antara 25 hingga 40 tahun aktif menjalankan aktiviti tenunan secara berkumpulan.

“Tenunan songket Sarawak diusahakan oleh masyarakat Melanau di Rajang serta masyarakat Melayu di Simunjan dan Samarahan.

“Bagi tenunan pua, ia dipelopori oleh masyarakat Iban di seluruh negeri Sarawak terutama di Sri Aman, Betong, Saratok, Sarikei, Sibu, Kapit dan Bintulu,” terangnya.

Pelbagai usaha dilakukan oleh KMCS bagi menggalakkan mahupun memperkembang kraf tenunan terutamanya melibatkan golongan muda.

Jelas Azran, salah satunya melalui aktiviti pembangunan usahawan kraf yang dilaksanakan dengan mengadakan latihan jangka pendek.

“Insentif dan bantuan juga pernah diberikan kepada usahawan-usahawan kraf tenunan ini bagi meningkatkan pengeluaran produk,” katanya.

Beliau menambah, tenunan di Sarawak juga mempunyai potensi besar untuk dikembangkan ke pasaran luar negara.

“Saya yakin sekiranya ada perancangan yang teliti, kraf tenunan di Sarawak akan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tidak lama lagi,” ujarnya.