Dalam deretan gerai yang menyajikan pelbagai jenis masakan itu, gerai kedua yang terletak di bahagian penjuru kiri itu paling mendapat perhatian pengunjung.

Rata-rata pengunjung tertunduk-tunduk sambil khusyuk menikmati hidangan popular negeri Johor iaitu mi rebus Haji Wahid.

Ironinya, gerai yang menyajikan hidangan popular seakan-akan terbiar tidak berpenghuni walaupun gerai tersebut sudah dibuka.

Sehinggalah kira-kira setengah jam kemudian, kelibat susuk tubuh lelaki tegap berkopiah putih dan berjanggut lebat itu kelihatan kembali ke tempat duduknya di gerai itu untuk melayan pengunjungnya.

Difahamkan, individu berkenaan baru selesai mengerjakan solat Zuhur di masjid yang terletak tidak jauh dari medan selera tersebut.

Penulis lantas mendekati dan memperkenalkan diri sebelum meminta izin untuk menemu bualnya.

“Boleh. Dengan syarat, jangan sebut mengenai keuntungan atau berapa mangkuk yang terjual dalam sehari,” tegas pengusaha mi rebus bernama Abdul Halim Wahid, 62 tahun itu.

Garu kepala penulis dibuatnya namun Abdul Halim berkata, dia tidak mahu berbuat demikian kerana takut timbul perasaan riak.

Pengasas

Kongsi Abdul Halim, sejarah mi rebus Haji Wahid yang terkenal dengan kepekatan kuah, teksturnya likat dan berempah itu bermula 100 tahun dahulu iaitu pada tahun 1918.

Katanya, mi rebus itu diasaskan oleh datuknya sendiri bernama Basit Ali Khan yang berasal dari Pakistan.

“Ketika itu, datuk yang juga dikenali dengan nama Wak Baidali berniaga dengan hanya membawa mi rebus setiap hari di sekitar Bukit Zaharah dan Kampung Air Molek, Johor Bahru menggunakan pengandar kayu sahaja.

“Bapa saya iaitu Wahid Ali kemudian mengambil alih perniagaan ini pada tahun 1938 dan menjual mi rebus di gerai Kelab Sate sekitar Jalan Campbell yang kini dikenali dengan nama Jalan Tun Abdul Razak, Johor Bahru.

“Bagaimanapun, Kelab Sate itu dirobohkan pada 1978 dan bapa saya kemudian menjual mi rebus di Terminal Bas Jalan Trus,” katanya yang mula membantu bapanya menjual mi rebus seawal usia 13 tahun.

Abdul Halim kemudian menyambung legasi bapanya itu dengan membuka sebuah lagi gerai di Plaza Angsana yang kini dikenali Angsana Johor Bahru Mall pada tahun 1997 dan ia teguh beroperasi sehingga kini.

Nama mi rebus Haji Wahid itu diambil sempena nama bapanya yang serius berusaha membangunkan perniagaan itu serta nombor satu dalam bahasa Arab.

Meskipun beliau telah berniaga mi rebus selama hampir lima dekad, bekas pemain ragbi kebangsaan itu mengakui bukan mudah untuk mengusahakan perniagaan tersebut.

Katanya, masa kerja yang panjang selain persiapan menyiapkan setiap elemen dalam mi rebus yang disifatkan sebagai renyah itu merupakan antara cabaran yang dilaluinya setiap hari.

“Orang ramai hanya nampak kita jual, tetapi mereka tidak tahu kita melakukan persiapan itu seawal waktu Subuh setiap pagi.

“Selain kuah, banyak lagi persiapan bahan-bahan lain yang perlu dilakukan seperti peneram, tauge, telur rebus termasuk daun kucai dan bawang juga merupakan bahan penting mi rebus.

“Sebagai contoh, peneram iaitu kerak tepung rangup itu sahaja mengambil masa sehingga kira-kira tiga jam untuk digoreng,” katanya yang menggoreng adunan tepung, rempah, bebawang, kunyit dan halia itu di atas api panas penuh kesabaran.

Kongsi Abdul Halim, rahsia keenakan mi rebus Haji Wahid terletak pada kuahnya.

Oleh itu, beliau akan menggunakan sebanyak 6 kilogram udang kering setiap hari untuk dicampurkan ke dalam kuah mi rebus.

Katanya, udang kering itu merupakan rukun bagi menghasilkan kuah mi rebus yang baik.

Ia akan dibasuh terlebih dulu sebelum dikisar bersama bahan-bahan seperti garam, bawang putih, bawang merah dan kunyit.

Setelah bahan-bahan tersebut ditumis, pes kuah akan dicampurkan dan dimasak sehingga hampir dua jam.

Bahan-bahan rempah termasuk cili kering bagi menghasilkan pes kuah itu dibeli dari India dan kemudian dikisar sendiri.

Kongsinya, kunci utama kejayaan mi rebus Haji Wahid bertahan selama 100 tahun adalah memelihara hak-hak dalam agama khususnya berkaitan solat.

Solat

Katanya, ia merupakan saranan bapanya sewaktu berniaga dahulu selain mempraktikkan amalan solat berjemaah pada awal waktu di masjid.

“Solat ini tidak boleh ditinggalkan atau sengaja dilewatkan walaupun kita sedang berniaga.

“Hal ini kerana solat itu merupakan disiplin yang telah diperintahkan oleh Allah.

“Memang susah kalau tidak diamalkan dari awal lagi namun sekiranya ia dipraktikkan setiap hari, yakinlah bahawa kemanisan daripada kesungguhan itu akan nampak kesannya,” pesannnya.

Setiap kali masuk waktu solat, Abdul Halim akan meninggalkan gerainya begitu sahaja.

Beliau tidak sedikit pun khuatir kerana yakin bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah.

Selain solat, beliau turut berpesan agar tidak sesekali mencuri dan menipu orang lain ketika berniaga.

Sebaliknya, peniaga perlu lebih bermurah hati dan tidak kedekut semasa menjamu tetamu.

Anak keenam daripada 12 beradik itu menambah, adik-beradiknya yang lain turut membantu memperkembangkan mi rebus Haji Wahid.

Tumpang nama

Sehingga kini, mi rebus Haji Wahid yang asli sudah bertapak di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru iaitu Taman Rinting, Larkin Sentral, Taman Sri Tebrau dan yang terbaharu di Kempas.

Selain Johor, mi rebus Haji Wahid juga boleh didapati di Sri Hartamas, Kuala Lumpur; Presint 9, Putrajaya dan Seremban 2.

Ketika ditanya mengenai cubaan individu lain yang meniaga mi rebus menggunakan nama Haji Wahid, Abdul Halim tidak sedikit pun terasa hati.

Malah, beliau berbesar hati sekiranya terdapat individu yang mahu menumpang nama ikonik mi rebus Haji Wahid.

Hal ini kerana katanya, kebiasaannya orang ramai sudah sedia maklum mengenai perbezaan rasa mi rebus dan akhirnya akan kembali semula ke gerainya untuk menikmati juadah tersebut.

Jelas Abdul Halim, pelanggannya bukan sahaja daripada masyarakat tempatan malah pengunjung luar negara dari Singapura, Brunei, Indonesia malah Thailand juga pernah diterimanya.

Menurut peminat mi rebus Haji Wahid, Muhd. Amirul Iman Zalzilah Rashidi, 21, hidangan tersebut memiliki keunikan tersendiri yang tidak dapat diperoleh di tempat lain.

Kata anak kelima daripada lapan orang adik-beradik itu, sebelum ini dia pernah mencuba pelbagai hidangan mi rebus di sekitar Kuala Lumpur namun resipi asli Haji Wahid itu tiada tandingannya.

“Kuah mi rebus Haji Wahid ini pekat, likat dan kaya perisa selain rasa rempahnya itu diadun cukup sempurna.

“Walaupun sudah berbulan tidak merasai mi rebus tersebut, saya masih dapat rasakan kuahnya itu seakan-akan melekat di tekak saya sehingga kini.

“Berilah mi rebus apa sekali pun, resipi mi rebus Haji Wahid ini tetap di hati,” ujarnya yang pertama kali merasai hidangan tersebut ketika melancong ke Johor Bahru awal tahun lalu.

Sementara itu, pemuda kelahiran Temerloh, Pahang, Muhammad Hazren Rozali, 20, pula menyifatkan hidangan mi rebus Haji Wahid cukup sinonim dengan masyarakat Johor.

Pelajar jurusan Elektrik Kuasa Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Pasir Mas, Kelantan itu berkata, hidangan ikonik itu berupaya menyatukan masyarakat dari pelbagai latar belakang.

“Sebut sahaja mi rebus Haji Wahid, perkara pertama yang pasti masyarakat terlintas ialah mengenai negeri Johor itu sendiri.

“Hakikatnya, ia bukan sekadar semangkuk mi rebus yang biasa tetapi mampu menjadi suatu bentuk promosi bagi sesuatu kawasan.

“Masyarakat secara tidak langsung akan turut didedahkan dengan adat, resam, kebudayaan termasuk sejarah masyarakat negeri Johor,” jelasnya.