Di Hojancha, terdapat sebuah ladang yang terletak kira-kira 130 kilometer dari Barat ibu kota San Sanjose, Costa Rica yang dimiliki oleh penternak lembu, Manuel Rojas.

Rojas berkata, biasanya setiap tahun kira-kira 30 ekor lembu mati akibat kemarau. Bagaimanapun, kini masalah itu sudah dapat diatasi.

“Pada hari ini, lembu tersebut dapat menikmati air dengan mudah,” katanya sambil menunjuk sebuah tangki air yang penuh.

Apa yang berubah? Bulan lepas Rojas memasang sistem penuaian air hujan untuk menadah air dan menyimpannya dalam tangki sedalam 1,000 meter padu.

Ia adalah salah satu sistem yang pertama di negara ini yang diberi nama Sistem Rojas dan dikatakan mengikut struktur piramid terbalik yang mampu menampung hampir satu juta liter air.

Malah air tersebut boleh bertahan selama empat bulan jika digunakan dengan cara berhemah.

“Kami berharap sistem ini dapat membantu mengekalkan pengeluaran air sepanjang tahun dan tidak hanya bergantung pada hujan semata-mata,” jelasnya.

Hojancha terletak di wilayah Guanacaste iaitu di pesisiran Pasifik yang sangat terdedah kepada musim kemarau dan cuaca panas terik apabila tiba musim panas.

Menurut Pengarah Kementerian Pertanian Wilayah Guanacaste, Oscar Vasquez, biarpun kawasan ini memang mempunyai beberapa sungai, tetapi sistem menggunakan air hujan ini ternyata berkesan, katanya yang berada di ladang Rojas ketika pemasangan sistem tersebut.

Meskipun hujan di Costa Rica kurang, Vasquez memberitahu, sebahagian daripada penduduk di situ tidak mempunyai teknologi berkenaan.

Antara sebab utama adalah kos pemasangan terlalu mahal dan tidak mempunyai ilmu berkaitan penuaian air hujan.

Kos

Sistem seperti Rojas ini menelan kos kira-kira AS$12,000 (RM47,436) dan secara praktikalnya jumlah tersebut terlalu besar bagi seorang penternak.

Sistem itu dilengkapi longkang untuk aliran hujan dari bumbung dan terus ke tangki.

Pam akan mengalirkan air dari tangki tersebut ke palung iaitu sebuah sistem meragut rumput.

Air tersebut juga disalurkan bagi kegunaan pembersihan kandang-kandang lembu.

Sistem Rojas ini dibiayai melalui Agensi Mexico untuk Pembangunan Antarabangsa, dengan kerjasama Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) bagi membantu dalam reka bentuk dan pemasangan.

Pembantu Program FAO, Diego Fallas berkata, sukar bagi penternak mendapatkan pembiayaan untuk penyelesaian hijau seperti penuaian air hujan kerana kewujudan sistem sedemikian kurang diketahui.

“Akses kepada pembiayaan hijau adalah penting. Sistem ini, misalnya dapat memudahkan para penternak mengatasi perubahan iklim,” jelasnya.

FAO mahu menggalakkan lebih ramai penternak di kawasan Guanacaste yang menghadapi masalah kemarau menggunakan sistem penuaian air hujan tersebut.

FAO memberi tumpuan kepada Guanacaste kerana ia terletak di Koridor Kering di Amerika Tengah, salah satu kawasan yang pertaniannya dianggap lebih terdedah kepada peningkatan suhu.

Kawasan tersebut juga terdedah kepada peristiwa ekstrem seperti El Nino, kata Ahli Hidrologi Alejandra Rojas.

Angka kerajaan menunjukkan, El Nino terakhir yang melanda kawasan utara dan tengah wilayah Costa Rica pada tahun 2015 menyebabkan kerugian lebih AS$50 juta (RM198 juta) dalam industri pertanian dan ternakan.

Oleh itu, sistem penuaian air hujan itu akan membantu para penternak memenangi kesan perubahan iklim dan sekali gus mengurangkan tekanan kepada petani dalam menjalankan aktiviti pertanian.

Malah, ia dapat meminimumkan peristiwa ekstrem di Guanacaste yang melampau.