KELLY BECKERS, 21, meletakkan semula sehelai gaun bercorak bunga-bungaan kecil berwarna putih yang baru dicubanya di sebuah butik.

Dia cukup berkenan dengan gaun tersebut, namun ia terlalu besar untuk dirinya.

Biarpun sudah mencuba saiz yang paling kecil, ia masih terlalu longgar dan kelihatan tidak kena pada tubuhnya.

Kelly merenung susuk tubuhnya yang semakin kurus itu sebelum melepaskan keluhan kecil.

Gadis kelahiran Amsterdam, Belanda itu menghidap satu penyakit aneh yang dipanggil chronic idiopathic intestinal pseudo-obstruction atau dikenali sebagai CIP dan menyebabkan dia tidak boleh makan.

Mengimbau kembali, Beckers memberitahu, dia disahkan menghidap penyakit tersebut sejak lahir.

Jangkitan usus

“Sekiranya saya mengambil makanan sama seperti manusia normal lain, saya berisiko untuk mati,” jelas­nya seperti dipetik Mail Online.

Penyakit tersebut menyebabkan usus kecilnya tidak boleh berfungsi dan tidak boleh mencerna makanan.

Dia juga tidak boleh membuang air besar sama seperti manusia normal lain dan terpaksa berbuat demikian menerusi tiub yang dipasangkan pada tubuhnya.

Sebelum ini, Beckers pernah hampir maut kerana lapisan ususnya terke­na jangkitan akibat penyakit yang dialaminya itu.

Bagi mendapatkan nutrisi harian, Beckers terpaksa mengambil suplemen yang juga turut dimasukkan ke tubuhnya melalui tiub.

Menceritakan kesukaran hidupnya, Beckers berkata, dia pernah makan semangkuk sup kira-kira empat tahun lalu dan ia menyebabkan ususnya dijangkiti kuman.

Kuman tersebut kemudian merebak ke darah Beckers, menyebabkan dia terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang bahagian usus yang dijangkiti tersebut.

“Sejujurnya, keadaan tersebut menyebabkan saya hampir mati dan ibu bapa saya juga menyangka keadaan tersebut bakal menyebabkan saya menemui ajal,” kongsinya.

Beckers amat takut untuk makan kerana makanan akan menyebabkan ususnya dijangkiti kuman dan dia berisiko tinggi untuk maut.

“Saya sudah empat tahun tidak mengambil sebarang jenis makanan.

“Makanan juga boleh menyebabkan darah saya menjadi racun,” jelasnya.

Lupa nikmat makanan

Begitu pun, Beckers cuba sedaya upaya untuk menikmati hidup sepenuhnya.

“Saya tidak akan membiarkan CIP menghancurkan atau menghalang saya daripada menikmati hidup.

“Saya akui saya rindu untuk makan, namun selepas empat tahun tidak makan, saya sudah lupa nikmat mengambil makanan dan saya mahu terus lupakannya,” jelas Beckers.

Bagaimanapun, Beckers tetap suka menemani rakan-rakannya makan apabila dia keluar bersama mereka.

“Keluar bersama rakan-rakan agak mencabar kerana banyak aktiviti yang kami lakukan melibatkan makanan.

“Namun, saya tetap suka keluar dan menemani mereka menjamu selera,” ujar Beckers yang juga gemar aktiviti mendaki gunung.

Penyakit CIP juga menyebabkan gadis berambut perang itu tidak boleh bekerja sepenuh masa, dia mengisi masa lapangnya dengan menjadi sukarelawan di sebuah sekolah sukan.

Buat masa ini, CIP tiada penawar, namun simptomnya boleh dikurangkan dengan melakukan pembedahan pada bahagian usus yang terkena jangkitan.