Tenggiling atau anteater scaly menjadi mamalia yang paling banyak diperdagangkan di dunia disebabkan oleh permintaan yang tinggi terutama di China dan Vietnam.

Selain sisiknya yang dianggap sangat baik untuk tujuan perubatan sama ada untuk menghilangkan jerawat sehinggalah mengubati penyakit hati dan kanser, dagingnya juga dianggap sebagai makanan istimewa.

Walaupun perdagangan haiwan itu telah dilarang bermula pada tahun 2016 bagi melindungi populasinya, namun masih banyak kedai perubatan Cina di Hong Kong dikesan masih menjual berbeg-beg sisik tenggiling.

“Jika anda ingin membelinya untuk mengubati penyakit, saya akan cuba mencarinya jika ada,” kata seorang penjual sebelum menaiki tangga dan mencapai sebungkus sisik tenggiling yang disimpan di belakang timbunan kotak.

Lelaki tua itu kemudiannya menunjukkan kepingan sisik tenggiling yang sudah kering dan memberitahu ia dijual pada harga AS$65 (RM254) bagi 40 gram (g).

Selepas itu, dia membuka buku resipi perubatan tradisi Cina dan menunjukkan sejenis teh yang digelar teh sisik tenggiling tanah yang dicampur herba dan akar kayu.

Hong Kong sememangnya mempunyai reputasi yang buruk berhubung kes pemerdagangan beberapa komoditi yang kontroversi, dilarang atau terancam termasuk gading gajah, sirip yu, tanduk badak dan bahagian badan serta organ harimau.

Para pengkritik secara rawak telah menuduh wilayah pentadbiran tersebut sebagai gagal melakukan penguatkuasaan yang mencukupi untuk menghapuskan amalan tersebut.

Malah, para peniaga juga enggan menyokong kempen konservasi yang dilakukan dengan mendakwa bahawa masih terdapat banyak tenggiling yang hidup di Asia.

Perangkaan mendapati kira-kira sejuta haiwan telah ditangkap dan dibunuh di kawasan hutan Asia dan Afrika sejak sedekad lalu sehingga menyebabkan kesemuanya dimasukkan dalam senarai haiwan yang berisiko untuk pupus.

Sebuah kedai lain di lorong yang sama dikesan mempunyai stok simpanan sisik tenggiling kering yang lebih banyak, juga disorokkan di belakang timbunan kotak dan dijual pada harga AS$82 (RM320) bagi berat 40g.

“Tenggiling boleh membersihkan toksin dalam badan. Ia benar-benar sejenis ubat yang berkualiti dan bernilai tinggi,” dakwa penjual tersebut.

Bagaimanapun, para pengiklan menyatakan tiada bukti yang boleh menyokong mana-mana tuntutan ubat yang dikaitkan dengan tenggiling.

Survival

Dengan saiz kira-kira sebesar anak anjing, tenggiling selalunya tidak mempunyai pertahanan yang tinggi di habitat liarnya, melainkan akan menggulungkan badannya menjadi seperti bola apabila ketakutan, sekali gus memberi peluang mudah kepada pemburu haram untuk menangkapnya.

Pembiakan secara komersial pula tidak sesuai dilaksanakan kerana tenggiling merupakan haiwan pemilih makanan dan kerap terdedah kepada penyakit selain mudah tertekan.

Kadar purata survival tenggiling dalam kurungan pula adalah kurang daripada lima tahun berbanding 20 tahun di alam liar.

Hong Kong adalah destinasi utama perdagangan tenggiling secara haram kerana adanya permintaan daripada penduduk setempat dan bandar semiautonomi itu juga berfungsi sebagai perhentian pertama untuk aktiviti menyeludup masuk ke selatan tanah besar China.

Sebelum ini, Konvensyen Antarabangsa Perdagangan Spesies Terancam (CITES) membenarkan haiwan itu diperdagangkan tetapi di bawah syarat yang sangat ketat.

Namun pada September 2016, kesemua 182 negara yang menjadi ahli CITES telah bersetuju untuk meletakkan tenggiling di dalam kategori haiwan yang paling dilarang untuk semua tujuan perdagangan.

“Jika Hong Kong mematuhi garis panduan CITES dan melaksanakannya dalam polisi kerajaan pada tahun 2016, masalah ini tidak akan wujud pada tahun 2018,” kata pengasas CITES bagi tenggiling di Hong Kong, Astrid Andersson.

Garis panduan hukuman yang dikemas kini dan berkuat kuasa pada bulan Mei ini akan meningkatkan tempoh penjara maksimum bagi pemerdagangan dan pemilikan spesies terancam daripada dua tahun ke 10 tahun, tetapi malangnya undang-undang jarang dikuatkuasakan.

“Hukuman dan penguatkuasaan yang longgar oleh pihak berkuasa Hong Kong menyebabkan penyeludup tidak takut. Mereka lebih takut untuk mengedar produk hidupan haram terus ke tanah besar China kerana hukuman di republik itu lebih berat,” kata pelopor perlindungan hidupan liar untuk WildAid, Alex Hofford.

Pintu masuk

Bagaimanapun, Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong pula memberitahu, mereka sememangnya komited untuk memerangi kegiatan penyeludupan haiwan dan sentiasa melakukan pemeriksaan ke atas penumpang, kargo, peket pos dan kenderaan di pelbagai titik kawalan termasuk di sempadan laut.

Jumlah sisik tenggiling yang berjaya dirampas di Hong Kong meningkat pada tahun 2017 selepas CITES meningkatkan penguatkuasaan perlindungan haiwan terancam, melibatkan sebanyak 7.7 tan berbanding 1.4 tan pada tahun 2016.

Di Guangzhou, sebuah bandar terkemuka di selatan China yang turut menjadi pintu masuk kapal yang membawa sisik tenggiling haram dari Hong Kong, terdapat lebih banyak kedai yang menjual ubat-ubatan tradisional Cina.

Bagaimanapun, di Kompleks Pasar Qingping, para peniaga bertindak mengelakkan diri ketika ditanya mengenai sisik tenggiling.

“Saya tidak pernah mendengar apa-apa mengenainya,” kata seorang peniaga.

Peniaga lain turut memberitahu ia merupakan barangan yang sukar untuk diperoleh ketika ini.
– AFP