Namun, sejak setahun lalu, kawasan itu mula dipenuhi timbunan sisa plastik. Di lot sebelah tanah lapang itu, sebuah kilang memproses sisa plastik secara tidak sah didirikan. Sisa-sisa plastik dibawa masuk dengan jumlah ribuan tan ke kilang itu untuk dikitar semula. Bahagian plastik yang tidak dikitar semula dilonggokkan ke kawasan lapang itu sehingga ia membentuk dinding sisa plastik setinggi 10 meter.

Aktiviti memproses dan melonggok sampah plastik di kawasan itu mula mendatangkan kesan kepada penduduk sekitar. Bau busuk dihidu hampir setiap malam daripada kilang tersebut selain asap berbahaya dilepaskan ke udara melalui corong-corong kilang.

Kilang di Sungai Rambai itu adalah satu daripada 33 kilang memproses sisa plastik haram di Kuala Langat, Selangor yang tumbuh ibarat cendawan selepas hujan di daerah itu apabila China mula mengharamkan import sisa plastik dunia ke negara tersebut.

Menurut laporan penduduk, kilang-kilang ini dikuasai oleh warganegara Tembok Besar itu. Ini diakui sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian pada sidang akhbar di Kuala Langat Julai lalu.

Isu pencemaran itu turut mendapat perhatian media antarabangsa yang turut turun padang meninjau sendiri lambakan sisa plastik di Kuala Langat.

Pengecualian

Susulan pembongkaran akhbar Kosmo!, kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengambil beberapa langkah antaranya membekukan Lesen Import (AP) bagi sisa plastik yang dikeluarkan kepada 114 syarikat dan kilang di seluruh negara selama tiga bulan.

KPKT bagaimanapun memberi pengecualian penggantungan AP tersebut bagi pengimportan dari kawasan Zon Perdagangan Bebas (FTZ) dan kilang berstatus Gudang Pengilangan Berlesen (LMW) pada 16 Ogos.

Alasan yang diberikan ialah penggantungan AP tersebut telah menyebabkan kilang-kilang berkenaan tidak dapat mengeluar dan melupus sisa plastik yang dihasilkan daripada proses pengeluaran produk mereka.

Pada 26 Oktober lalu, Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin mengumumkan untuk menghentikan sepenuhnya pengeluaraan AP bagi sisa plastik serta-merta. Namun, keputusan ini ditarik semula pada 1 November dengan AP bahan itu dibenarkan secara bersyarat.

Jelas KPKT, bagi mengawal kemasukan sisa plastik ke negara ini, kerajaan merancang menetapkan kuota kebang­saan bagi memastikan Ma­laysia tidak menerima sisa plastik secara berlebihan sekiranya ada negara melaksanakan sekatan terhadap import plastik.

Sebagai rekod, jumlah import sisa plastik dari tahun 2015 hingga 2017 adalah sebanyak 1.087 juta tan dan berlaku peningkatan ketara berbanding tahun 2016 hingga 2017 berikutan polisi China.

Sikap kerajaan yang dilihat acap kali membuat ‘pusingan U’ dalam isu ini mengecewakan penduduk Kuala Langat yang berhempas pulas menentang kemasukan sisa plastik ke daerah mereka.

Salah guna

Presiden Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat, Tan Ching Hin berkata, pada mulanya mereka berasa seakan-akan satu kemenangan kepada persatuan itu selepas kerajaan mahu mengharamkan terus AP sisa plastik.

“Selama ini kita berpenat lelah mengumpul maklumat dan bangkit melawan kewujudan kilang-kilang haram ini di daerah Kuala Langat. Namun, pengumuman AP sisa plastik diteruskan benar-benar mengecewakan mereka.

“Kita tidak pasti sama ada keputusan ini mampu mengekang kewujudan kilang-kilang haram, memandangkan mereka dengan sewenang-wenangnya boleh menyalahgunakan AP seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Persatuan itu telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu kilang sisa plastik haram yang berleluasa di daerah itu.

Seorang penduduk tempatan, Pua Lay Ping pula berkata, tindakan itu menunjukkan kerajaan secara tidak langsung merelakan Malaysia menjadi tong sampah dunia dengan mengorbankan kesihatan rakyat selain merisikokan pencemaran alam.

“Mungkin Zuraida kurang akreditasinya dalam mengurus isu sisa plastik, dia (Zuraida) harus letak jawatan kerana sanggup menukar haluan dalam masa lima hari sahaja.

”Kita mahu tindakan yang lebih konkrit daripada sekadar pengeluaran AP yang lebih ketat kerana tiada faedahnya mengimport plastik. Adakah berbaloi membenarkan Malaysia menjadi destinasi sisa plastik dengan risiko rakyat menghidap pelbagai penyakit akibat asap beracun yang dikeluarkan kilang-kilang memproses bahan ini?” katanya.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil sebaliknya menyelar tindakan itu sebagai tidak serius dalam menangani isu pencemaran alam sekitar akibat pemprosesan bahan itu.

“Keputusan itu jelas menunjukkan kerajaan tidak sensitif dalam penjagaan udara kerana masih membuka pintu pada kilang-kilang plastik yang ternyata mencemarkan udara,” katanya.

“Nilai eksport semula bahan ini tidak mampu membayar balik kerugian kepada rakyat. Kerajaan Persekutuan masih tidak nampak bahawa industri ini hanya menguntungkan vendor-vendor yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Tambah Shariffa Sabrina, sehingga kini masih tiada kelibat laporan penilaian impak selepas kes pencemaran di Kuala Langat.

Pihaknya mengesyaki kerajaan cuba menyorokkan impak buruk industri itu dengan hanya mementingkan keuntungan daripada industri.