Dari jauh, sekumpulan empat lelaki kelihatan begitu berhati-hati meletakkan potongan kayu di atas sekujur tubuh yang sedang hangus terbakar.

Sementara itu, beberapa orang individu yang berada di kawasan tersebut pula berdiri kaku dengan riak wajah yang sedih.

Itu merupakan situasi yang biasa dilihat setiap kali berlakunya kematian dalam kalangan masyarakat Karo.

Pada waktu itu, mereka akan melaksanakan sebuah ritual yang dipanggil Sirang-sirang.

Menurut seorang penduduk setempat yang hanya ingin dikenali sebagai Brahma Putro, ritual Sirang-sirang mula dilaksanakan di sekitar Sumatera Selatan selepas kedatangan masyarakat Hindu pada tahun 1331 Masehi.

“Ritual Sirang-sirang merupakan upacara pembakaran mayat bagi masyarakat Karo yang telah me­ninggal dunia.

“Ia diambil daripada adat masyarakat Hindu yang mana mayat tidak akan dikebumikan di dalam tanah.

“Sebalik­nya, jasad tersebut akan dibakar oleh seorang ketua adat yang merupakan dukun selain dibantu oleh empat orang pembakar mayat yang dikenali sebagai Sindapur.

“Melalui ritual pembakaran itu, masyarakat Kuro percaya segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan oleh si mati akan dihapuskan,” jelasnya.

 

Tendang periuk

Lazimnya, ritual akan dimulakan beberapa jam sebelum mayat di bawa ke tapak pembakaran.

Menurut Brahma lagi, seawal pukul 7 pagi, dukun akan datang ke kediaman si mati dan meletakkan kudin iaitu periuk belanga yang diperbuat daripada tanah liat di hadapan pintu rumahnya.

Periuk belanga tersebut diisi dengan gulai ayam yang dimasak mengikut masakan tradisional masyarakat Karo.

Waris si mati sama ada isteri, suami atau anak kemudian akan menendang periuk belanga tersebut sehingga pecah.

Pecahan periuk belanga tersebut melambangkan hancurnya hati waris si mati atas pemergian mereka dari muka bumi.

“Usai periuk ditendang sehingga pecah, daging ayam tersebut akan dihidangkan dan disantap oleh ahli keluarga terdekat ketika sarapan.

“Dengan menyantap hidangan tersebut, masyarakat Karo percaya ia dapat menghilangkan ke­sedihan waris si mati,” jelasnya.

Usai ahli keluarga bersantap, mayat kemudian akan diarak keluar ke tapak pembakaran.

Pada kebiasaannya, lokasi pembakaran diletakkan di kawasan dan berdekatan dengan sungai.

Sebaik tiba di tapak pembakaran, dukun akan menyuruh ke­luarga si mati pulang ke rumah.

 

Abu mayat

Hanya dukun, empat orang Sindapur dan jiran tetangga sahaja yang dibenarkan berada di tapak pembakaran bagi menyaksikan ritual Sirang-sirang dijalankan.

“Saat berita menangani masyarakat Karo yang meninggal dunia diketahui oleh dukun, empat orang Sindapur akan menyediakan kayu bakar di tapak pembakaran mayat tersebut.

“Kayu pembakar mayat berasal dari kayu pohon dokum.

“Sepanjang proses pembakaran mayat dilakukan, kayu tidak boleh ditambah. Sebaliknya, mereka hanya dibolehkan untuk menggunakan kayu-kayu yang telah disediakan walaupun pada waktu itu tubuh si mati belum hangus terbakar,” jelasnya.

Sebelum api dinyalakan, dukun yang memimpin ritual akan me­ngarahkan Sindapur menanggalkan kesemua pakaian si mati dan diletakkan di atas batang kayu.

“Dukun kemudian akan memukul kaki si mati sekuat hati sebagai simbolik roh si mati tidak takut atau lari ketika tubuhnya dibakar.

“Setelah pembakaran mayat selesai dijalankan, Sindapur akan membuang abu mayat ke sungai terdekat dan membersihkan sisa-sisa ritual bagi memastikan ia tidak dikutip oleh individu-individu untuk amalan ilmu hitam,” jelasnya.

Sebelum pulang ke rumah, keempat-empat Sindapur akan dimandikan dengan Lau Penguras iaitu air yang sudah dijampi-jampi oleh sang dukun.

Setelah sampai di rumah mereka harus mencuci telapak tangan dan memegang kayu api bagi memastikan mereka tidak diganggu oleh roh si mati telah dibakar.

“Biarpun ia merupakan ritual kematian yang wajib dilaksanakan, namun ia kini jarang dianjurkan oleh warga Sembiring kerana tidak ramai individu yang sanggup menjadi Sindapur,” jelasnya.

Masyarakat Karo yang banyak mendiami kawasan Sumatera Selatan anjurkan ritual pembakaran mayat setiap kali berlaku kematian kononnya untuk menghapuskan dosa-dosa si mati.