Setiap kali soalan matematik diajukan oleh guru kelas tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kuala Lumpur, sudah pasti lelaki itu, Venkateswaran Ramiah dapat menjawab dengan betul.

Kepantasan dan ketepatannya menjawab setiap soalan, menyebabkan Venkateswaran selalu menjadi ‘guru’ kepada rakan-rakannya yang tidak memahami subjek Matematik Tambahan tersebut.

Perwatakannya yang suka menolong rakan-rakannya dalam akademik mahupun kehidupan seharian, membuatkan dia disenangi oleh semua orang termasuk guru-guru.

Bermula daripada itu, anak keempat daripada lima beradik itu menanam impian dalam lubuk hatinya untuk menjadi seorang guru yang berdedikasi dari segi akademik dan kebajikan.

Itu antara momen yang terakam kemas di layar ingatan Venkateswaran, 48, apabila mengenang semula zaman persekolahannya.

Impiannya jelas tercapai apabila baru-baru ini dia dianugerahkan Guru Adiwira oleh Kementerian Pendidikan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2019.

Anugerah yang diterimanya itu bukan calang-calang. Ia merupakan pengiktirafan yang merangkumi dua elemen iaitu bakti dalam bidang akademik dan kebajikan masyarakat.

“Saya tidak menyangka dianugerahkan guru adiwira kerana ia melibatkan pencalonan guru seluruh Malaysia. Saya amat gembira dan bersyukur kerana diberi penghargaan ini.

“Bagaimanapun, anugerah ini menyuntik semangat saya supaya menabur bakti lebih lagi dalam bidang akademik dan kebajikan masyarakat,” kongsinya kepada K2 ketika ditemui di pusat tuisyen Ilmu Studio di Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Guru matematik

Venkateswaran mempunyai pengalaman lebih 21 tahun mengajar dalam subjek Matematik dan Matematik Tambahan sama ada di sekolah menengah mahupun rendah.

Beliau pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tentera Darat, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur selama enam tahun bermula 1992 dan kini berkhidmat di Institusi St. John (St. John) selama hampir 16 tahun sebagai guru subjek Matematik Tambahan.

“Sebaik sahaja saya menjejak kaki ke St. John pada tahun 2003, minat terhadap kebajikan dan menolong orang itu semakin membuak-buak.

“Pada awalnya, saya ingatkan St. John ini sekolah anak-anak orang kaya tetapi setelah hampir setahun mengajar, saya mendapati rata-rata mereka bukan datang daripada keluarga yang senang,” ujar bekas graduan Ijazah Sarjana Muda Matematik Tambahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Menurut Venkateswaran, rata-rata ibu bapa di situ mempunyai masalah dari segi kewangan untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas tambahan.

“Saya memahami keadaan mereka kerana saya pun berasal daripada keluarga yang susah. Ayah hanya seorang pemandu teksi,” jelas bekas pelajar Maktab Perguruan, Kuala Terengganu itu.

Bermula daripada situ, Venkateswaran sering kali menghulurkan bantuan kepada murid-murid yang susah sama ada dari segi kewangan mahupun pendidikan.

Sehingga kini, Venkateswaran telah memberikan bantuan seumpama biasiswa kepada 4,200 pelajarnya bermula tujuh tahun lalu yang ingin mengikuti kelas tambahan di Ilmu Studio yang terletak di Setiawangsa.

Venkateswaran atau mesra disapa Sir Ven merupakan salah seorang tenaga pengajar di Ilmu Studio cawangan Setiawangsa itu. Pusat tuisyen tersebut menawarkan kelas tambahan bermula daripada darjah empat hingga tingkatan lima.

“Kebanyakan murid yang saya berikan biasiswa adalah berlatarbelakangkan keluarga susah dan keluarga yang tidak mampu hantar anak ke pusat tuisyen.

“Biasiswa saya sangat senang. Datang jumpa saya dan ceritakan masalah yang dihadapi, saya akan tolong. Tiada minta slip gaji atau membuat siasatan.

“Bagi saya, sekiranya mereka berbohong dalam ilmu, apa yang diperolehi nanti tidak ada berkat,” ujarnya yang turut digelar Sir Ven Suci oleh anak muridnya.

Menurutnya, gelaran Sir Ven Suci tersebut diberikan oleh anak muridnya kerana mereka beranggapan, walaupun beliau berlainan agama tetapi selalu menolong orang terutamanya murid Melayu Islam.

Tambah Venkateswaran, panggilan itu semakin popular apabila dia turut menerima Tokoh Maal Hijrah peringkat Setiawangsa pada tahun 2010.

Menurut Venkateswaran, dia sangat terharu terpilih untuk menerima anugerah tokoh maal hijrah meskipun berlainan kaum dan agama.

“Anugerah ini menyebabkan saya lebih dihormati dan dikenali oleh masyarakat sekitar.

“Selepas menerima pengiktirafan ini, saya dapat bekerjasama dengan lebih erat dengan masyarakat Islam lebih-lebih lagi dalam membantu mereka yang memerlukan terutamanya pelajar,” ujarnya yang mempunyai ramai kenalan dalam kalangan kaum Melayu.

Tambah Venkateswaran, anugerah tersebut diterima kerana dia selalu menganjurkan program kebajikan berbentuk kemasyarakatan di Masjid Muadz Bin Jabal, Taman Setiawangsa.

“Pada setiap tahun, saya akan menganjurkan program gotong- royong dan ceramah di masjid ini bersama-sama pelajar.

“Pada mulanya agak kurang mendapat sambutan dan hanya melibatkan pelajar Islam tetapi kini, pelajar Cina dan India turut serta,” ujarnya yang juga pada tahun ini menerima Anugerah Apresiasi Ummah peringkat Setiawangsa daripada pihak masjid tersebut.

Masjid

Menurut Venkateswaran, dia memilih masjid kerana ia adalah satu tempat yang suci dan baik bagi umat Islam.

Bapa kepada dua orang cahaya mata itu memberitahu, tujuannya adalah untuk memberikan makanan rohani kepada pelajarnya terutamanya Melayu Islam.

“Biarpun saya berbeza agama, tetapi sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang pendidik untuk mengingatkan mereka juga.

“Selain itu, ia dapat memberikan pendedahan kepada pelajar saya yang beragama Kristian dan Buddha bahawa agama Islam adalah baik tidak seperti yang diperkatakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Ujarnya, walaupun beliau beragama Hindu, namun itu bukanlah alasan untuk tidak membantu mereka yang berlainan agama dengannya.

Tambah Venkateswaran, hampir 10 tahun dia melakukan program kebajikan di masjid tersebut, jumlah yang paling banyak didermakan hasil daripada programnya adalah sebanyak RM40,000.

“Saya tahu ramai orang yang salah anggap mengenai bantuan saya. Malah, ada juga yang cuba mematahkan segala program yang saya mahu lakukan.

“Semua derma yang diberikan adalah ikhlas dan tidak ada sebarang niat untuk mendapat gelaran atau sebagainya,” senyumnya dengan raut wajah yang selalu ceria itu.

Selain itu, Venkateswaran juga memperolehi Anugerah Guru Inspirasi McDonalds (McD) pada tahun lalu.

Menurut Venkateswaran, anugerah itu juga merupakan satu penghargaan buat dirinya daripada murid-murid yang dibantu.

“Seorang bekas pelajar saya yang mencalonkan saya dalam anugerah tersebut dan dia menceritakan tentang sifat keperibadian saya.

“Dia juga tidak sangka akan menang, apatah lagi saya sendiri. Namun, saya sangat menghargainya kerana dapat mendidik seorang pelajar yang mengenang jasa guru-gurunya,” tuturnya yang juga pernah membantu anak muridnya yang tiada wang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.