Norma kehidupan menjadikan cahaya mata sebagai penghibur hati dan penguat kasih sayang antara suami serta isteri.

Kecomelan dan keletah mereka mampu membuatkan si ibu atau ayah tersenyum meskipun ketika penat pulang daripada bekerja.

Secara umumnya, mana mungkin ibu bapa yang waras mahu menyakiti anak apatah lagi menjadi penyebab kepada kematian si kecil.

Melainkan, ibu bapa itu berada di luar kesedaran akal mereka. Ia termasuk berada dalam keadaan gila, marah dan lupa.

Baru-baru ini, laporan media mendedahkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun, Nur Awfa Humaisha’ Muhd. Ali Riduan maut selepas ditinggalkan ibunya di dalam kereta selama hampir empat jam.

Paling memilukan, bayi itu sepatutnya dihantar ke rumah pengasuh. Namun, ibu kepada bayi malang itu tidak ke sana kerana terlupa dan tidak menyedari anaknya masih di dalam kereta.

Fakta kes

Kes kematian kanak-kanak yang ditinggalkan dalam kereta bukanlah isu baharu.

Pada tahun 2016, terdapat kes bayi berusia setahun meninggal dunia di Saleng, Kulai, Johor selepas ditinggalkan hampir lima jam di dalam kereta.

Begitu juga dengan kes di Padang Terap, Kedah melibatkan kanak-kanak berusia empat tahun selepas ditinggalkan lebih lapan jam oleh bapanya.

Di sebalik berpuluh kes kematian ini, satu fakta kes yang boleh dikongsi ialah ibu bapa terlupa akan kehadiran anak di dalam kereta masing-masing.

Apakah yang menyebabkan si ibu dan bapa terlupa akan anak kesayangan mereka? Bagaimana boleh terlupa?

Pakar Psikologi Sosial, Dr. Azlina Mohd. Khir berkata, lupa terhadap sesuatu yang penting adalah perkara yang boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.

Dari sudut psikologi, terlupa adalah proses di mana otak tidak memberi tumpuan kepada maklumat tertentu untuk jangka panjang.

“Ia boleh terjadi kerana pelbagai faktor seperti bebanan kerja, keletihan yang membuatkan seseorang tidak fokus terhadap rutin harian.

“Sebagai contoh, rutin si ibu adalah ke tempat kerja selepas menghantar anak. Dia melakukan perkara tersebut iaitu menghantar salah seorang anaknya dan terus ke tempat kerja.

Namun, minda separa sedarnya tidak mengingati tentang seorang lagi anak yang tidak dihantar ke rumah pengasuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Kecaman

Menurut Azlina, dalam keadaan ini, si ibu dan bapa tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana ia merupakan kes kecuaian tidak disengajakan.

Mengulas mengenai kecaman orang ramai terhadap si ibu dan bapa yang dilabel tidak bertanggungjawab, Azlina meminta mereka supaya menghentikan segera tindakan tersebut.

“Saya percaya, ibu bapa adalah orang yang paling terkesan dalam perkara ini. Lupa adalah perkara berbeza daripada kes dera kanak-kanak, rogol dan sebagainya. Ia di luar kawalan sama sekali.

“Orang ramai perlu mengambil iktibar daripada perkara ini agar ia tidak berulang. Laksanakan tanggungjawab sosial dengan sentiasa memerhati keadaan sekeliling dan laporkan segera jika melihat kanak-kanak berseorangan dalam kereta,” ujarnya.

Sementara itu, penulis rangkaian buku inspirasi keibubapaan, Dr. Syahr Musafir berpendapat, masalah ‘terlupa’ ini boleh diatasi dengan beberapa langkah pencegahan dan amalan harian.

“Pertama, pastikan barang penting anda seperti beg dan kasut kerja diletakkan berdekatan tempat duduk anak di dalam kereta.

“Ia akan membuatkan anda perlu mengambil barang itu seterusnya mengelak masalah tidak menyedari kewujudan anak.

“Kedua, pastikan anda menjadikan rutin melihat ke dalam kenderaan kiri dan kanan serta belakang sebelum keluar daripada kereta. Apabila ia dijadikan rutin, anda pasti akan lakukannya walaupun tanpa sedar.

“Paling penting, bekerjasama dengan pasangan anda untuk saling mengingati antara satu sama lain. Hubungi pasangan setiap kali rutin berjalan agar ia tersedar jika ada yang terabai dan terlupa,” jelasnya.

Bersetuju dengan pendapat Azlina, Syahr mengingatkan bahawa, kejadian seperti itu boleh terjadi kepada ibu bapa yang cuai serta ibu bapa yang sentiasa peka.

“Lupa dalam konteks kejadian seperti ini bukanlah sesuatu yang dirancang tetapi terjadi sebab kita tidak rancang.

“Jangan mendabik dada dengan mengatakan kita tidak pernah melupakan anak-anak dan kita adalah ibu bapa yang bertanggungjawab. Ini kerana kita tidak berada dalam situasi itu. Ambil pengajaran dan langkah pencegahan adalah tindakan sewajarnya,” katanya.