Sungguhpun begitu, wanita cekal itu tetap tidak patah semangat dan meneruskan kehidupan sehariannya seper­ti biasa.

Wanita itu, Sofia Jingsater, 26, setiap hari akan ‘menangis’ kerana matanya sentiasa berair gara-gara mengalami ketumbuhan pada bahagian dalam tengkorak sehingga menjejaskan tahap penglihatannya.

Jingsater yang juga merupakan seorang jururawat di Sweden itu terpaksa menahan kesakitan setiap hari selepas ketumbuhan tersebut telah menyebabkan kelenjar air matanya tersumbat sekali gus menyebabkan mata wanita tersebut sentiasa berair.

Masalah tersebut disebabkan Jingsater telah disahkan menghidap gejala yang disebut displasia fibrosus polostikus berpunca daripada sindrom McCune Albright yang dialaminya sejak lahir.

Mata bengkak

Sindrom McCune Albright adalah masalah ketumbuhan tisu yang tidak normal terbentuk di dalam tulangnya.

Keadaan yang dialami oleh Jingsater dianggarkan hanya dihidapi oleh seorang dalam setiap satu juta kelahiran di dunia.

“Mungkin saya boleh dikatakan sebagai antara individu yang bertuah di dunia ini,” ujar Jingster berseloroh kepada portal dalam talian, Mirror.Co.

Masalah sindrom McCune Albright menyebabkan mata kiri Jingsater membengkak disebabkan terdapat ketumbuhan di bawah soket mata, hidung dan rahangnya sehingga mengakibatkan bahagian wajah kelihatan tidak seimbang.

Pada tahun lalu, Jingsater telah menjalani satu pembedahan selama enam jam untuk membuang ketumbuhan sebesar buah anggur yang dikhuatiri boleh menyebabkan dia menjadi buta kerana ia telah menjejaskan saraf pada matanya.

“Walaupun ketumbuhan itu telah dibuang, ia telah tumbuh semula dan menyebabkan kelenjar air mata saya tersumbat dan sentiasa berair,” jelas Jingsater yang terpaksa menanggung kesakitan setiap hari.

Lebih membimbangkan, wanita yang tinggal di Vaxjo itu turut mendakwa, ketumbuhan tersebut telah merebak ke beberapa bahagian termasuk pada tulang rahang, lengan, rusuk, tulang belakang dan pinggangnya.

“Ketumbuhan ini menyerang pada bahagian tulang dan tumbuh dengan cepat terutama pada bahagian soket mata dan boleh mengakibatkan saya menjadi buta selain turut menjejaskan deria pendengaran saya,” katanya.

Ekoran masalah itu, bahagian mata kiri Jingsater kelihatan sedikit terjojol dan bengkak berban­ding mata kanannya sekali gus menjejaskan struktur pada wajah wanita yang bujang itu.

Pigmentasi

Bercerita lebih lanjut, Jingsater memberitahu, dia mula disahkan menghidap sindrom McCune Albright sejak berumur lima tahun selepas dikesan oleh doktor yang mendakwa terdapat keganjilan pada struktur wajahnya ketika dia masih kanak-kanak.

“Semasa saya lahir, doktor telah mengesan sesuatu yang ganjil pada fizikal saya dan hanya menemui jawapannya sewaktu berusia lima tahun,” dakwa Jingsater.

Masalah tersebut turut mengakibatkan tulang wanita itu lemah dan mudah patah selain bahagian kulitnya ditumbuhi pigmentasi terutama pada bahagian wajah.

Akibatnya, Jingsater turut mengalami lebihan hormon di dalam badan dan telah melalui fasa datang haid pada usia lima tahun.

Menjelang musim sejuk merupakan saat paling menakutkan bagi Jinsater apabila dia akan mengalami rasa sakit yang teruk pada bahagian tulang belakang dan pinggang.

Pada tahun ini, Jingsater bakal menjalani sekali lagi pembedahan bagi membuang ketumbuhan pada bahagian mata kirinya yang didapati telah tumbuh semula bagi menyelamatkan penglihatannya.

“Anda boleh melihat bagaimana keadaan struktur tengkorak dan ketumbuhan dialami melalui ujian imbasan yang dilakukan,” kata Jingsater.

Jingsater mengalami ketumbuhan pada tulang termasuk soket matanya sehingga mengakibatkan struktur wajah tidak seimbang dan menjejaskan penglihatannya.