Demikianlah pergorbanan yang dilakukan Nur Asyikin Mohamad, 32, kepada suami tercinta, Mohamad Rafi Mohd. Isa, 32, yang mengalami masalah kegagalan buah pinggang sejak 2011.

Menurut Nur Asyikin, suaminya tidak dapat melayan anak-anaknya dengan sempurna ketika me­ngalami masalah buah pinggang selain banyak menghabiskan banyak masa menjalani rawatan hemodialisis di Hospital Enche Besar Hajah Kalsom, Kluang, Johor.

“Saya ingin melihat suami menjalani kehidupan normal sebagai seorang ayah dan menghabiskan masanya bermain bersama anak-anak seperti orang lain.

“Disebabkan itu dan demi masa depan kami sekeluarga, saya tekad berkorban mendermakan buah pinggang kepada suami,” katanya ketika ditemui kru Panorama di Kluang baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Nur Asyikin meberitahu, cinta mereka berputik ketika sama-sama belajar di Universiti Utara Malaysia pada tahun 2006 hingga 2010.

“Ketika itu, suami masih sihat, namun dia kemudian didiagnosis mengalami masalah buah pinggang pada tahun 2011 iaitu ketika mula-mula bertugas sebagai guru.

“Disebabkan masalah kesihatan ini, kami mengambil keputusan untuk segera bertunang sebelum melangsungkan majlis perkahwinan pada tahun 2012.

“Sebelum kahwin, saya telah memasang niat untuk memberi salah sebuah buah pinggang seandainya suami tidak dapat mencari penderma buah pinggang yang sesuai,” katanya yang kini bertugas sebagai seorang guru kaunseling di Sekolah Menengah Sains Sembrong, Kluang.

Berasa sedih

Ceritanya, disebabkan tidak dibenarkan mengandung selepas menderma organ, hasratnya itu terpaksa ditangguhkan sebelum dia mengutarakan niatnya itu semula semasa anak keduanya berusia enam bulan kira-kira tiga tahun lalu.

“Pada masa itu, tiada ahli keluarga terdekat suami yang sesuai menjadi penderma. Apabila ujian menunjukkan saya sesuai sebagai penderma, saya rasa amat gembira dan ber­syukur kerana akhirnya dapat membantu suami,” katanya.

Bagi Mohamad Rafi, dia pada mulanya berasa sedih dan tidak membenarkan isteri mendermakan buah pinggang kepadanya.

“Ini kerana, saya bimbang berlaku perkara yang tidak diingini sehingga menyebabkan kedua-dua anak kami menjadi yatim piatu.

“Namun, selepas dipujuk isteri, saya akhirnya bersetuju dan membenarkan isteri menderma buah pinggangnya kepada saya,” katanya.

Bercerita mengenai pembedahan pemindahan buah pinggang berkenaan, Mohamad Rafi mengakui berdepan pelbagai cabaran sebelum ia berjaya dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 19 September tahun lalu.

“Sebelum pembedahan dilakukan, doktor ada memberitahu beberapa risiko yang bakal dihadapi penderma dan penerima termasuk kematian sekiranya pendarahan berlaku semasa pembedahan.

“Pembedahan mengeluarkan buah pinggang isteri dilakukan mulai pukul 8.30 pagi. Bagaima­napun, berlaku sedikit kesukaran mengeluarkan buah pinggang isteri menyebabkan sedikit bahagian hujung tulang rusuk isteri terpaksa dipotong.

“Bagaimanapun, saya amat bersyukur kepada Allah apabila pembedahan pemindahan buah pinggang ini akhirnya selesai dengan selamat pada pukul 4.30 petang,” katanya.

Nur Asyikin memberitahu, selepas berjaya menjalani pembedahan, keadaan kesihatan Mohamad Rafi beransur pulih dan tiada sebarang kompilasi yang serius dihadapi dirinya dan suami.

“Saya gembira dengan pengorbanan ini, lebih-lebih lagi dapat melihat suami kembali menjalani kehidupan normal apabila dia kini boleh makan dan minum seperti sebelum dia sakit.

“Dia juga kini boleh mendukung anak dan dapat menghabiskan masa dengan lebih banyak bermain dengan dua anak kami, Muhamad Aniq Rifki (6 tahun) dan Nur Adra Rania yang kini telah menginjak usia empat tahun,” katanya.

Kembali normal

Sementara itu, di Seri Kemba­ngan, Selangor, seorang lagi penderma, Padli Saed, 49, sanggup menderma buah pinggang kepada adik iparnya, Azrel Ramadian Amir, 41, walaupun mereka sekadar ipar.

Menurut Padli yang merupakan penjawat awam di Jabatan Pendi­dikan Putrajaya, dia terpanggil untuk menderma buah pinggangnya selepas melawat Azrel yang sakit di hospital pada tahun 2014.

“Masa itu saya lihat muka Azrel sembap dan kulitnya pucat sedang­­­kan sebelum ini dia seorang yang sihat dan aktif bersukan.

“Ketika itu, hati saya tergerak untuk menderma buah pinggang agar Azrel dapat kembali sihat seperti yang saya kenali dahulu,” katanya sambil menjelaskan pembedahan pemindahan buah pinggangnya kepada Azrel selamat dilakukan pada 26 September tahun lalu di HKL.

Jelasnya, keputusan menderma buah pinggangnya itu dibuatnya sendiri tanpa mendapat sokongan atau paksaan daripada mana-mana pihak termasuk isterinya yang merupakan kakak Azrel.

“Pada hari pembedahan, hati saya sangat berdebar-debar kerana saya tidak pernah menjalani pembedahan sebelum ini.

“Keseluruhan proses pembedahan pemindahan buah pinggang saya kepada Azrel mengambil masa selama enam jam. Sebaik semuanya selesai, saya rasa sa­ngat bersukur dan gembira kerana hasrat membantu Azrel akhirnya tercapai,” katanya.

Dalam pada itu, Azrel menjelaskan, pada hari pembedahan, dia sangat teruja untuk menerima buah pinggang baharu selepas mengetahui buah pinggang Padli telah selamat dikeluarkan.

Jelasnya lagi, dia kini boleh kembali menjalani kehidupan normal tanpa perlu menjalani rawatan hemodialisis selama empat jam setiap sesi, tiga kali seminggu selain tidak perlu lagi mengawal pengambilan air dan makanan.

“Sebelum ini, saya perlu mengawal pengambilan air iaitu tidak melebihi 600 mililiter sehari selain mengurangkan makanan berprotein tinggi seperti kekacang dan daging.

“Paling membuatkan saya merasa lega, saya juga boleh membuang air kecil kembali seperti biasa,” katanya.

Tambah Azrel, sebelum Padli, beberapa ahli keluarga terdekatnya telah menjalani ujian, namun tiada yang sesuai untuk menjadi penderma buah pinggang atas beberapa faktor.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Padli kerana sanggup berkorban untuk menderma salah satu buah pinggang­nya kepada saya,” katanya.