Air matanya juga sedikit tumpah mengenang kesusahan hidup yang ditempuhi sejak lebih 50 tahun mendiami perkampungan kecil itu yang boleh dikatakan terletak di penghujung selatan Bumi Kenyalang.

“Lautanlah jalan raya kami. Dari dulu memang guna bot untuk pergi ke pekan Sematan.

“Masa perjalanan 45 minit, kadangkala sejam. Tengoklah air laut macam mana, kadang surut, kadang air pasang besar,” ujarnya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Juli merupakan bekas anggota polis yang juga antara penduduk terawal kampung itu. Rumah yang didiaminya kini ialah peninggalan arwah ibu bapanya. Kini dia menetap bersama isteri dan empat anaknya. Dua lagi cahaya matanya sudah berhijrah.

Cerita Juli, Kampung Telok Melano ini tidaklah besar mana, hanya sekangkang kera namun penduduknya seramai kira-kira 300 orang cukup muafakat. Berpuluh tahun dahulu, memang tiada kemudahan asas yang lengkap kerana Kampung Telok Melano yang terletak di daratan seolah-olah di ‘pulau’ dek perlu melalui lautan untuk ke tempat lain.

Sambung Juli, sempadan kampung itu adalah Temajuk, Indonesia yang hanya mengambil masa 30 minit dari pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Datuk saya, Pak Dukun Dollah yang buka kampung ini sekitar tahun 1920-an dan majoriti penduduk di sini adalah berasal dari Semudun, Indonesia.

“Seingat saya, kampung ini dibuka semasa atau selepas zaman konfrontasi apabila ramai orang mencari perlindungan daripada ancaman musuh,” katanya kala diajak berbicara tentang sejarah kampung tersebut.

Kereta

Namun, katanya, kehidupan zaman dahulu tidaklah seperti sekarang. Ini kerana sekurang-kurangnya penduduk di sini ketika ini boleh merasai sedikit keselesaan. Apatah lagi pembangunan hasil Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang sedang dilaksanakan ibarat memberi sinar baharu kepada para penduduknya.

Kampung Telok Melano sebelum ini hanya dapat dikunjungi menggunakan bot merentasi Laut China Selatan dari pekan Sematan yang terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari kampung tersebut.

Laluan darat yang menghubungkan kampung itu dan Sematan dihalangi hutan dan direntangi oleh kira-kira enam sungai, lantas menghalang mereka untuk menggunakan jalan darat untuk ke mana-mana. Enam sungai itu antaranya ialah Sungai Samunsam, Kerambai dan lain-lain.

Bercerita lagi tentang kehidupan zaman dahulu, Juli berkata, semua penduduk pada waktu itu bergantung kepada lampu pelita malah bekalan air pun sekadar cukup satu baldi. Keperitan yang ditanggung zaman dahulu memang sukar untuk diceritakan.

“Semua barang memang susah nak dapat. Jika ada duit lebih bolehlah ke pekan Sematan untuk membeli barang keperluan namun itu pun tidak semua ada.

“Sekarang ini, sudah boleh menarik nafas lega. Saya perasan, sudah ada orang kampung membeli kereta kerana Lebuh Raya Pan Borneo bagi laluan Telok Melano-Sematan yang hampir siap dibina sudah boleh dilalui,” jelasnya.

Katanya, dari situ, sudah nampak kegembiraan apabila ada penduduk yang melaram dengan kereta baharu. Perasaan itu sangat menyeronokkan kerana masing-masing sudah berani keluar mencari rezeki yang lebih baik.

Seorang lagi penduduk asal kampung itu, Ahmad Harodin, 82, berkata, musim landas atau tengkujuh yang kebiasaannya menjadi fenomena hujung tahun adalah sesuatu yang sukar ditangani penduduk.

Apa tidaknya, ombak besar dan angin kuat setiap hujung tahun boleh mengundang tragedi bot karam seperti yang pernah dirasai penduduk kampung sekitar tiga atau empat tahun lalu yang mengorbankan dua nyawa.

Stok

Lebih memeritkan, penduduk kampung pernah terputus bekalan keperluan selama tiga bulan kerana laut hanya boleh dilalui selepas berakhirnya bulan Mac.

“Sejak kejadian itu, memang sudah ramai tidak berani keluar menaiki bot ke pekan Sematan kerana bimbang keselamatan diri. Jadi, mereka akan membeli stok yang banyak dan cukup untuk tempoh sekitar satu atau dua bulan,” kata Ahmad.

Mengenang memori manis sepanjang lebih 80 tahun menghabiskan hidup di situ, dia memberitahu bahawa bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem antara sahabat baiknya malah pernah pergi memancing bersama.

Ceritanya, daerah Sematan ini memang menarik dan sesuai dijadikan kawasan pelancongan. Justeru, Allahyarham Adenan atau lebih mesra disapa Tok Nan memang suka datang ke Telok Melano untuk memancing.

Kata Ahmad, sejak adanya projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, barang keperluan sentiasa ada malah semakin ramai yang datang ke sini untuk bermalam yang mana rumah inap desa sedang rancak dibangunkan di kampung ini.

“Biasanya hujung minggu, memang ramai yang datang seperti kumpulan motosikal besar atau badan-badan kerajaan yang mengadakan pelbagai kursus motivasi di sini,” ujarnya.

Tempias projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang mempunyai 11 pakej dari Telok Melano ke Miri (Fasa 1) sepanjang 786km kini sedang rancak disiapkan meskipun sudah bertukar tangan susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Penelitian

Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo ialah janji manifesto BN pada PRU-13 yang secara keseluruhannya akan menghubungkan Sabah dan Sarawak melalui Brunei serta rangkaian Lebuh Raya Trans-Kalimantan, Indonesia sejauh 2,333km. Ia dilancarkan sejak tahun 2015 dengan kos pembinaan kira-kira RM32 bilion.

Bagi laluan Kampung Telok Melano-Sematan sepanjang 32.77km, ia dikatakan akan siap pada pertengahan Januari ini. Projek di laluan itu turut membabitkan pembinaan enam buah jambatan.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, kerajaan tetap memutuskan untuk meneruskan projek Lebuh Raya Pan Borneo berdasarkan terma kontrak yang sudah dipersetujui antara pihak berkepentingan.

Bagaimanapun, katanya, mekanisme dan pelaksanaan projek pembinaan tertakluk kepada hasil penelitian semula yang sedang dijalankan bersama antara kementeriannya dengan Kementerian Kewangan.

“Sehingga kini, projek ini menunjukkan perkembangan yang begitu membanggakan apabila fasa pertama (dari Telok Melano ke Miri) sudah siap 35 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2021.

“Lebih menarik, jajaran Pakej 1 yang menghubungkan Teluk Melano ke Sematan sepanjang lebih 30km dijangka dapat dibuka pertengahan Januari ini,” katanya ketika siri jelajah FT Roadpedia di sekitar Sarawak baru-baru ini.

Katanya, perkembangan yang ditunjukkan dalam tempoh ini sangat memberangsangkan, malah beliau berkeyakinan projek yang menjadi idaman rakyat Sarawak untuk mempunyai jajaran jaringan jalan raya yang lebih efisien dapat disiapkan mengikut jadual.

Beliau memberitahu, sekiranya sudah siap nanti, kesan positif sudah pasti dapat dirasai dua juta penduduk Sarawak terutama melibatkan potensi ekonomi yang sebelum ini bersifat sara diri kepada ekonomi lebih komersial.

“Ya, memang ada sedikit kelewatan di satu dua tempat tetapi tidaklah begitu serius. Saya sangat berpuas hati dengan perjalanan projek yang ditunjukkan setakat ini,” ujarnya.

Kampung Telok Melano di titik penghujung selatan Sarawak bukanlah terletak di pulau namun penduduknya selama ini terpaksa mengharungi laut menggunakan bot untuk ke tempat lain.