Memori blogger makanan berdarah kacukan Palestin dan Jordan berusia 40-an itu menghasilkan kuih kegemaran masyarakat Arab bersama keluarganya ketika membesar masih mekar dalam ingatannya.

Katanya, semasa membuat kuih ma’amoul pada bulan Ramadan untuk persediaan Syawal, seluruh keluarga akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

“Ada yang ditugaskan untuk menguli adunan doh, menekan pada adunan termasuk diberi tanggungjawab untuk membakar kuih tersebut.

“Walaupun terpaksa duduk di hadapan ketuhar panas itu selama berjam-jam, suasana sepanjang proses itu tidak kurang meriahnya demi menghasilkan kuih tradisional masyarakat Arab itu,” ujarnya.

Ma’amoul merupakan kuih pastri Arab yang berintikan sama ada kurma, kacang, walnut, badam, pistasio atau buah tin.

Kuih berbentuk bebola, kubah mahupun biskut leper berlubang di tengah itu menjadi manisan utama bagi masyarakat Asia Barat terutamanya pada musim perayaan seperti Aidilfitri.

Kebiasaannya, manisan yang menjadi pelengkap hari raya itu disertakan bersama haruman bunga limau dan air mawar.

Kuih yang terkenal dalam komuniti Syria, Lebanon dan Mesir itu dihasilkan secara manual iaitu menggunakan adunan tangan atau acuan kayu istimewa.

Sawsan berkata, antara yang menjadi kegemarannya ialah ma’amoul dengan tepung gandum dan suji pada keraknya.

Ia juga ditambah kismis yang telah dikeringkan dan juga mahlab iaitu rempah dari dalam kernel buah ceri.

“Ma’amoul kebiasaannya dihasilkan beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri dan dihidang dengan kopi serta coklat Arab kepada tetamu yang hadir semasa musim perayaan.

“Selain itu, ia juga dijadikan sebagai buah tangan untuk diberikan kepada jiran dan sanak saudara,” ujarnya yang dikenali sebagai Chef In Disguise.

Pujian

Tambah Sawsan, kebanyakan rumah pada hari raya akan menyajikan kuih berkenaan tidak kira sama ada dibuat sendiri di rumah atau dibeli dari kedai.

Malah, golongan wanita turut berlumba-lumba untuk menghasilkan kuih tersebut di rumah bagi meraih pujian ahli keluarga.

“Resipi dikongsi, kuih dikritik, begitulah keriangan Hari Raya Aidilfitri di sini.

“Kuih ini dihasilkan demi mengingatkan kepada kita kepayahan berpuasa pada bulan Ramadan dan kemanisan ketika tibanya Aidilfitri, sama seperti ma’amoul yang tawar pada bahagian luar namun manis di dalam,” tambahnya.

Menurut sejarawan dan ahli kaji purba Mesir, Ahmed Hameed, masyarakat Syria, Jordan, Lebanon, Israel dan Palestin menggelar kuih itu sebagai ma’amoul manakala warga Turki menggelarnya sebagai kombe serta kahk di Mesir.

“Kahk dipercayai sebagai kuih ma’amoul generasi awal dan ia dilihat telah wujud dalam lukisan dan ukiran pada zaman Firaun lagi.

“Malah, kami menyifatkan menghasilkan kahk itu sama seperti membina piramid,” jelasnya.

Serupa seperti ma’amoul, kahk di Mesir merupakan kuih tradisional yang kerap disajikan pada Hari Raya Aidilfitri.

Keseimbangan

Tambahan kepada itu, ia diisi dengan inti kacang, campuran walnut dan madu serta manisan.

Sementara itu, perlu juga difahami bahawa tidak semua ma’amoul dihasilkan dengan cara yang sama.

Segelintir individu menggemari keseimbangan antara adunan bahan dalam biskut itu yang cair apabila digigit di dalam mulut namun pada masa sama tidak terurai.

Malah, dikatakan kurma dan kacang berkualiti tinggi yang digunakan memainkan peranan sangat besar dalam menghasilkan kuih ma’amoul yang enak.

Sepasang adik-beradik kembar, Sultan dan Simer Zaytoune yang bekerja sebagai cef pastri memberitahu, tempahan kuih terbabit melonjak sehingga dua kali ganda seawal tiba bulan Ramadan.

Telah beroperasi lebih lima tahun dalam perniagaan itu, Zaytoune Lebanese Sweets di Sydney Road, Brunswick, Australia turut menjadi pilihan bukan sahaja masyarakat Arab tetapi turut digemari warga tempatan.

Menurut Sultan, kuih ma’amoul merupakan antara yang menjadi kegemaran ramai setiap kali tiba hari raya.

“Semua orang tergila-gilakan kuih tradisional Arab ini hinggakan kami tidak menang tangan melayan tempahan pelanggan.

“Kami membeli bahan-bahan utama untuk membuatnya seperti tepung, kurma dan kekacang lebih banyak daripada hari biasa,” jelasnya.

Sementara itu, pelanggan Zaytoune Lebanese Sweets dari Docklands, Andrew Lovett berkata, dia amat menggemari ma’amoul keluaran kedai pastri itu.

Katanya, dia yang telah menyambut Hari Raya Aidilfitri selama lebih tiga tahun bersama rakan Muslim sanggup memandu sehingga lebih lima jam setiap tahun untuk mendapatkan kuih ma’amoul tersebut.

“Ma’amoul yang merupakan kuih tradisional Asia Barat turut berkembang ke serata dunia termasuk Australia.

“Rasa asli manisan yang dibuat daripada gabungan kurma Arab atau Parsi terbaik pada kuih tradisional itu sesuatu yang tidak boleh dilepaskan setiap kali tiba musim perayaan,” ujarnya.

Bahkan jelas, Lovett, manisan tersebut dilihat dapat menyatukan serta melahirkan rasa sayang sesama manusia.

Secara tidak langsung, ia berupaya menyingkirkan sengketa dan permusuhan antara masyarakat yang sesetengahnya mempunyai tanggapan negatif terhadap Islam.

Kuih pastri Arab, ma’amoul yang berintikan sama ada kurma, kekacang, walnut, badam, pistasio atau buah tin melengkapi Aidilfitri bagi masyarakat di Asia Barat.