Perlawanan antara dua jaguh seni bela diri campuran (MMA) berusia 30 tahun itu menyaksikan Khabib lebih mendominasi gelanggang menggunakan teknik kuncian gusti berbanding McGregor yang banyak menggunakan tendangan sisi dan tumbukan dagu ke arah lawannya.

Edisi UFC 229 yang berlangsung di T-Mobile Arena, Las Vegas, Amerika Syarikat itu menyaksikan McGregor dikalahkan menerusi kuncian leher dari belakang pada minit 3.03 pusingan keempat.

UFC merupakan platform sukan berasaskan pertarungan dan hiburan yang berasal dari Amerika Syarikat. Ia berkembang pesat sejak tahun 1993.

Hari ini, UFC dipertandingkan melalui 10 kategori dan membenarkan kombinasi seni bela diri yang pelbagai. Pertarungan secara bersiri diadakan di seluruh dunia dengan sekurang-kurangnya 40 siri pertandingan diadakan saban tahun.

Sebagai jenama perdana dalam seni mempertahankan diri campuran, UFC ibarat rumah berkumpulnya petarung sukan bela diri terbaik di dunia. Khabib adalah wajah baharu menduduki takhta teratas UFC bagi kelas ringan dengan rekod tanpa kalah 27-0 setakat ini.

Berdasarkan laman web Celebrity Net Worth, selepas kemenangan tersebut Khabib bernilai AS$1 juta (RM4.1juta) jauh lebih rendah berbanding seterunya yang dilaporkan bernilai AS$90 juta (RM373juta).

Khabib menjadi bualan bukan sekadar kerana kekuatan dan pukulan padunya dalam menumpaskan lawan. Prinsipnya dalam berpegang kepada agama yang dianuti meletakkannya dalam kelas tersendiri.

“Apabila Allah bersama anda, tiada siapa boleh menghancurkan anda. Tiada siapa,” katanya.

Status bintang

Demikian kata Khabib menerusi akaun Instagramnya, @khabib_nurmagomedov menyatakan penghargaannya pada mereka yang memberi sokongan kepadanya selama ini.

Menurut The Guardian, Khabib merupakan petarung Muslim pertama mendapat status bintang di lapangan UFC. Pada Mei lalu, Khabib menolak tawaran kontrak lumayan untuk beraksi di UFC 224 kerana ia bertembung dengan bulan Ramadan.

“Bagi saya, agama lebih penting. Kita jangan tinggalkan solat dan sentiasa berhubung dengan Tuhan,” katanya.

Selain itu, episod provokasi McGregor mengundang rasa menyampah khalayak terutamanya penyokong Khabib.

McGregor juga telah mempersendakan Khabib dengan memainkan unsur agama, menyelar bapa dan negara serta menuduh pengurusnya sebagai pengganas.

“Jangan biarkan tikus busuk meletak topi itu di kepalamu Joe. Benda berbau teruk itu, jangan sesekali biar dia meletakkannya,” ujar McGregor menggunakan mikrofon pada wawancara dirinya dan Khabib oleh pengulas, Joe Rogan menjelang perlawanan berlangsung.

“Pertama saya ingin ucapkan Alhamdulillah. Tuhan telah memberi saya segala-galanya. Alhamdulillah. Saya tahu kalian tidak suka ini. Esok malam saya akan menghancurkan jaguh kalian. Insya-Allah (esok) saya tetap (juara),” balas Khabib.

Topi papakha

Topi yang dimaksudkan lelaki kelahiran Ireland itu dikenali sebagai papakha. Ia kelihatan seperti rambut palsu ala afro berwarna perang dan sering dipakai Khabib. Papakha merupakan sebahagian daripada pakaian tradisi kaum lelaki Dagestan dan pelbagai etnik lain di kawasan pergunungan Kaukasus.

Papakha adalah simbol harga diri. Satu ungkapan masyhur menyebut, papakha hanya akan tanggal apabila kepala pemakainya dipenggal.

Khabib juga pernah bertukar hadiah dengan bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo dengan memberikannya papakha manakala dia sendiri menerima jersi yang dipakai Ronaldo ketika mencetak hatrik dengan keputusan 5-2 ke atas Real Sociedad Februari lalu.

Menurut coretan Jeff Harder dalam laman Fightland menerusi artikel berjudul The Heritage Behind the Dagestani UFC Star’s Distinctive Hat, papakha bak simbol kegagahan perang dalam budaya Dagestan. Memakai papakha tidak ubah seperti mempamerkan pedang.

Khabib sendiri berasal dari desa bernama Sildi Distrik Tsumadinsky, Dagestan, Rusia. Dagestan bermaksud tanah pergunungan merupakan republik terbesar di Kaukasus Utara milik Persekutuan Rusia.

Menurut statistik Pejabat Pendakwa Raya Awam Rusia, Dagestan merupakan salah satu kawasan paling bermasalah di Rusia. Wilayah itu disifatkan sebagai sarang teroris. Data menunjukkan pada tahun 2016 sebanyak 966 kes keganasan terorisme telah dilaporkan.

Nurmagomedov merupakan anak kedua dari tiga beradik. Dia mempunyai abang bernama Magomed, dan adik perempuan bernama Amina. Pada tahun 2001, Nurmagomedov dan keluarganya berpindah ke ibu kota Dagestan iaitu Makhachkala.

Bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov merupakan veteran perang yang juga bekas tentera Rusia merupakan watak penting dalam menggilap potensi Khabib.

Abdulmanap mula melatih kanak-kanak dalam ilmu pertahanan diri pada tahun 1987. dan percaya ia dapat mempersiapkan generasi muda sekiranya berlaku konflik peperangan di kampung halaman mereka.

Justeru, Khabib dilatih dalam pelbagai disiplin ilmu mempertahankan diri seperti judo, gusti dan sambo iaitu seni bela diri yang direka untuk mempertahankan diri oleh tentera Soviet sejak berusia lapan tahun.

“Saya percaya setiap lelaki mesti bersedia untuk berperang walaupun dalam keadaan aman. Ia sentiasa menjadi topik perbincangan di Kaukasus,” kata Abdulmanap seperti dilapor Bloody Elbow pada tahun 2015.

Khabib dikatakan menunjukkan minat ke arah bidang tersebut malah sejak mula belajar merangkak dan bertatih di lantai gelanggang apabila sering melihat pelajar bapanya berlatih di gimnasium yang dibina di bawah rumah dua tingkat mereka.

Rutin latihan

Tiga hari sebelum berusia 9 tahun, Khabib disuruh bapanya berlatih bergusti dengan anak beruang. Haiwan itu jauh lebih besar dan berat daripada dirinya dan rutin berlatih bersama haiwan itu berterusan sehingga kini.

Imej beruang sering digunakan dalam propaganda Soviet. Ia muncul sebagai maskot Sukan Olimpik 1980. Baru-baru ia diangkat sebagai simbol parti politik Rusia iaitu United Russia.

“Seorang anak selalu mahu menunjukkan kemampuan diri kepada bapanya. Pada akhirnya, ini lebih kepada ujian karakter berbanding latihan fizikal,” ulas Abdulmanap.

Khabib Nurmagomedov melakar rekod tanpa kalah 27-0 sejak penglibatannya dalam sukan tempur campuran (MMA) secara profesional sejak tahun 2008.