Bahkan, mencari pelepah bertam yang hidup liar di kawasan hutan tanah kering bersama bapanya sudah satu kelaziman. Kira-kira pukul 8 pagi, Mohd. Azmi Mohd. Nupiah dan bapanya, Mohd. Nupiah Hamid sudah masuk ke hutan dengan berjalan kaki.

Berbekalkan sebilah parang, bapanya akan memotong pelepah bertam manakala Mohd. Azmi akan membantu membersihkan daun serta durinya.

Mereka kemudian akan mengikat pelepah-pelepah tersebut menggunakan tali dan memikulnya untuk dibawa pulang.

Struktur jalan yang berbukit menyukarkan mereka untuk pergi dan balik dari hutan namun ia tidak langsung mematahkan semangat dua beranak itu.

Atas faktor cuaca, mereka jarang pergi ke hutan pada waktu petang kerana bimbang cuaca hujan dan tiada tempat untuk berteduh. Bapanya mengetuk dan menganyam kulit pelepah bertam menjadi kelarai yang diberi nama sebagai kelarai sesiku keluang, pada waktu petang.

Pokok bertam mempunyai daun yang panjang dan di pangkal pelepahnya penuh dengan duri tajam. Pokok bertam kelihatan seakan-akan pokok salak tetapi tumbuhan tersebut mempunyai pelepah yang lebih panjang.

Pokok itu juga berbuah dan mempunyai isi seperti kelapa tetapi ia hanya boleh dimakan ketika muda. Isi buah bertam akan bertukar keras apabila sudah tua.

Berbeza dengan buah salak, ia enak dimakan apabila buahnya sudah masak dan rasanya manis.

“Saya belajar menganyam kelarai daripada orang tua saya dan merupakan generasi ketiga meneruskan warisan kraf ini.

“Pada awalnya, saya hanya membantu ayah namun atas minat yang mendalam dengan seni menganyam bertam menjadi kelarai ini, saya mahu meneruskan perusahaan warisan ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di bengkel miliknya di Kampung Anak Kurau Seberang, Batu Kurau, Perak baru-baru ini.

Sama seperti buluh dan rotan, bertam juga berpotensi untuk dijadikan produk komersial bagi menghasilkan siling rumah, dinding bilik atau bahagian dalam rumah selain pembinaan calet untuk tarikan pelancongan.

Mengimbau kenangan zaman kanak-kanak, Mohd. Azmi berkata, kebanyakan rumah di kampung tersebut dahulu menggunakan dinding rumah yang diperbuat daripada bertam. Sebetulnya, bukan bapanya sahaja yang boleh menghasilkan produk tersebut.

Ramai penduduk kampung menghasilkan dinding dan siling rumah mereka daripada anyaman bertam namun lama-kelamaan warisan itu tidak lagi diminati generasi muda hari ini.

Selain dijadikan dinding rumah sendiri, bapanya, turut menjual produk tersebut sebagai pendapatan sampingan.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu terpaksa berhenti sekolah semasa belajar di tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Kamaruddin, Batu Kurau, Perak bagi membantu keluarga.

Hijrah

Dia juga pernah berhijrah ke Kuala Lumpur bagi mencari peluang pekerjaan yang lebih baik, namun kos sara hidup yang tinggi memaksa dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan memulakan perusahaan kelarai bertam secara sepenuh masa.

“Saya pada asalnya mahu menghasilkan anyaman bertam untuk menggantikan dinding rumah sendiri dan menjualnya secara kecil-kecilan.

“Bagaimanapun usaha saya mendapat perhatian daripada pegawai Jabatan Pertanian Kawasan Batu Kurau dan pengusaha sebuah calet di kampung ini yang mahukan saya menghasilkan anyaman bertam untuk inap desa miliknya,” ujarnya yang mengusahakan produk kraf tersebut sejak 13 tahun lalu.

Menurut Mohd. Azmi yang menghasilkan produk bertam secara sendirian, proses menghasilkan anyaman daripada bertam dimulakan mendapatkan pelepah bertam di hutan.Seawal pukul 7 pagi, lelaki itu sudah berada di hutan untuk mendapatkan bekalan pelepah bertam dan kembali semula ke bengkel kira-kira pukul 10 pagi.

“Pada waktu petang, saya akan melakukan proses mengetuk dan mengasingkan kulit bertam sebelum melakukan kerja-kerja menganyam dari pukul 10 malam hingga 2 pagi.

Siap sebulan

“Setiap hari, saya mampu menyiapkan sebidang anyaman bertam dan secara purata kira-kira 30 bidang anyaman bertam boleh disiapkan dalam tempoh sebulan,” ujarnya sambil memberitahu produk daripada bertam tahan lama malah penggunaannya boleh mencecah tiga dekad.

Corak anyaman bertam sama penghasilan produk daripada mengkuang, bezanya cuma item yang digunakan.

Kulit bertam bersifat keras dan perlu dianyam dengan berhati-hati bagi mengelakkan ia daripada patah. Mengkuang pula lembut dan boleh dianyam dengan mudah.

Mohd. Azmi memberitahu, faktor cuaca adalah halangan terbesar dalam penghasilan produk bertam. Hal ini kerana, pokok bertam tumbuh meliar di hutan dan cuaca hujan menyukarkannya keluar untuk mendapatkan pelepah bertam.

Lelaki yang mengusahakan perniagaan tanpa pembantu ini memberitahu, sekitar 60 batang bertam sepanjang 3.7 meter (m) diperlukan untuk menghasilkan anyaman bersaiz 1.2m panjang dan 2.4m lebar.

Satu batang bertam akan dibelah menjadi dua ke tiga bahagian mengikut saiz pelepah sebelum diketuk menggunakan sebatang kayu bagi mengeluarkan kulitnya. Kulit yang telah dipisahkan daripada batang bertam kemudian dianyam menjadi corak tertentu.

Ia tidak perlu dijemur dan boleh terus dianyam menjadi kelarai. Warna kelarai dibezakan dengan menterbalikkan kulit tersebut semasa proses menganyam. Syelek akan disapu sebagai kemasan akhir dan selepas tempoh tertentu, kulit bertam akan berubah warna coklat.

Buat masa ini, Mohd. Azmi menghasilkan corak seperti sesiku keluang, rebah, songket, pucuk rebung, penapak tujuh, tapak gajah putih, tapak gajah hitam, tapak lima berkandang, tapak tujuh berkandang dan tampok manggis.

Motif sesiku keluang dan rebah diwarisi oleh bapanya manakala corak lain adalah gubahan beliau sendiri dan mendapat ilham daripada alam sekitar.

Selain menghasilkan kraf anyaman daripada bertam, Mohd. Azmi turut menghasilkan bidai daripada tumbuhan tersebut.

Bagaimanapun, proses menghasilkan bidai tidak serumit penghasilan anyaman bertam.

Batang bertam hanya perlu dibelah mengikut saiz yang dikehendaki sebelum diraut untuk dijadikan bidai.

Katanya, sejak mengkomersialkan produk kraf daripada bertam pada tahun 2006, dia telah menerima banyak tempahan bukan sahaja daripada pelanggan di negeri Perak malah pelanggannya ada yang datang dari Putrajaya.

Kebanyakan pelanggan membuat tempahan untuk dijadikan siling rumah.

Mohd. Azmi juga menggunakan medium laman sosial Facebook untuk mengiklankan produk jualannya.

Harga

“Harga bagi sebuah kelarai bertam mengikut saiz dan tempahan pelanggan dibuat mengikut jenis anyaman yang menjadi pilihan.

“Saya meletakkan harga RM3 bagi 30 sentimeter persegi bagi kedua-dua produk kraf yang dihasilkannya. Jadi, untuk saiz 1.2 meter (m) panjang dan 2.4m lebar, ia berharga RM96,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Amin berkata, atas usahanya mengkomersialkan seni pusaka lama tersebut, beliau pernah mendapat anugerah Pengusaha Bertam Terbaik pada tahun 2015 daripada Kerajaan Negeri Perak.

Selain itu, beliau juga pernah menjalani kursus anjuran Jabatan Pertanian yang diadakan di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada tahun 2009 dan mendapatkan sijil bagi anyaman buluh dan rotan.

Bengkel tempat dia melakukan tugas-tugas menganyam bertam juga disumbangkan oleh Jabatan Pertanian. Tambah Mohd. Azmi, beliau turut menerima pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi yang mahu menjalankan kerja kursus berkaitan seni anyaman kelarai.