Bagi individu yang tidak berkemampuan tetapi mahu kelihatan bergaya, sudah pasti produk mewah berjenama tiruan seperti beg tangan, tali pinggang, jam dan kasut menjadi pilihan mereka.

Walaupun kualiti barangan tiruan lebih rendah berbanding produk asli selain harganya yang jauh lebih murah, sekali pandang ia kelihatan seperti produk asli.

Secara tidak langsung, ia memberi kepuasan kepada si pemakai.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Suzana Mohd. Hoesni, tidak terdapat istilah tertentu dalam bidang psikologi untuk mengaitkan dengan sindrom individu yang suka ikut trend terkini.

“Namun, kajian yang dibuat menunjukkan bahawa low self esteem atau penghargaan kendiri yang rendah didapati antara faktor utama yang menyebabkan seseorang itu suka mengikut trend terkini.

“Kesukaan terhadap perkara yang trending didapati mempunyai kaitan dengan emosi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah beliau, ahli psikologi mendapati bahawa ramai individu yang suka ikut trend sehingga sanggup membeli barang tiruan dikaitkan dengan pemikiran untuk mendapat pengiktirafan dalam masyarakat.

“Antara sebab utama tindakan tersebut diambil adalah untuk menunjuk-nunjuk dengan tujuan agar diterima dalam masyarakat.

“Istilah yang selalu digunakan adalah social approval,” jelas beliau.

Hal ini dapat dilihat apabila ada dalam kalangan masyarakat yang suka ikut trend semasa tetapi tidak mampu untuk membeli produk asli.

Mereka memilih untuk membeli produk tiruan seperti beg tangan, wangian dan pakaian tiruan.

Tidak sihat

Suzana berkata, tabiat itu memberikan kesan yang tidak sihat kepada perkembangan emosi psikologi individu.

“Mereka akan sentiasa menjadi resah dan inginkan pengiktirafan daripada masyarakat.

“Keadaan menjadi lebih parah apabila keutamaan kehidupan atau kebahagiaan hidup adalah berdasarkan kepada reaksi serta pengiktirafan masyarakat terhadap individu tersebut.

Justeru, Suzana menyarankan agar individu yang sentiasa mahu kelihatan up to date sedar dan berhenti daripada tabiat tersebut bagi menangani penyakit obses itu.

“Keinginan yang kuat untuk mendapatkan pengiktirafan daripada orang lain dan masyarakat dapat memberikan mudarat kepada diri sendiri.

“Pada masa yang sama, ia bukan sahaja memberikan impak kepada perkembangan emosi yang tidak sihat tetapi mudarat kesihatan serta kewangan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk membeli barangan berjenama tiruan bagi mereka yang tidak berkemampuan tetapi ingin bergaya.

“Bagi memenuhi kehendak dan kepuasan, tidak salah untuk seseorang itu membeli produk jenama antarabangsa yang harganya mahal seperti Dior dan Louis Vuitton tiruan.

“Bagaimanapun, pengguna tidak harus digalakkan berbelanja semata-mata untuk kelihatan bergaya,” ujarnya.

Bagaimanapun, Nadzim menasihati pengguna agar tidak membeli produk kesihatan tiruan kerana ia boleh mengundang mudarat kepada diri.

Dalam pada itu, beliau menambah, rakyat Malaysia perlu menyokong produk tempatan dan tidak membeli produk ciplak.

“Kita perlu menyokong produk tempatan yang sudah dipatenkan, berkualiti dan harganya berpatutan.

“Tidak sama seperti produk antarabangsa yang harganya sangat mahal dan sudah pasti tidak mampu untuk golongan berpendapatan rendah,” tambahnya.