Oleh yang demikian, mereka diklasifikasikan sebagai orang kelainan upaya (OKU).

Lazimnya, apabila berdepan dengan golongan istimewa itu, rata-rata masyarakat akan menunjukkan simpati dan belas kasihan terhadap mereka.

Namun, sejauh manakah tahap pemahaman individu normal tentang golongan istimewa ini?

Menurut Kamus Oxford Advance Leaner, autisme merupakan gangguan psikologi terhadap perkembangan komunikasi, sikap, emosi, gerakan tubuh badan, sosial dan sentuhan seseorang.

Dalam erti kata yang lebih mudah, mereka mempunyai perasaan sama seperti manusia normal tetapi mempunyai kesukaran dalam meluahkan emosi.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan, seorang ibu berasa kesal dengan kejadian anak gadisnya yang berusia 24 tahun dicabul oleh seorang pemuda yang mempunyai masalah autisme.

Kejadian itu berlaku ketika lelaki tersebut, Ahmad Ziqri Morshidi, 22, sedang menyambut hari lahirnya di sebuah restoran di Selangor

Ekoran kejadian itu, ibu mangsa telah melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa sebelum Ahmad Ziqri ditahan dan bermalam di lokap.

Tindakan itu telah mengundang kemarahan netizen dengan menganggap mangsa dan keluarga tidak sensitif dengan keadaan Ahmad Ziqri yang tergolong dalam golongan istimewa.

Menurut Pensyarah Kanan dan Psikologi Klinikal Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nor Sheereen Zulkefly, apa yang berlaku pada kes di atas adalah di luar jangkauan dan pemikiran si penjaga ketika itu.

“Saya difahamkan, sambutan hari lahir yang berlangsung adalah perkara rutin yang dilakukan keluarga tersebut pada setiap tahun. Ini kerana mereka ada mengatakan sambutan itu berlangsung di restoran kegemaran anaknya dan setiap kali berkunjung ke restoran tersebut, Ahmad Ziqri akan bersiar-siar ke kedai berhampiran.

“Ini menunjukkan kejadian yang menimpa mangsa tempoh hari adalah sesuatu yang di luar rutin Ahmad Ziqri. Tindakan Ahamd Ziqri itu tidak dapat dibaca ibunya lebih-lebih lagi apabila ia berlaku dalam tempoh yang pantas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Merangsang

Tuturnya lagi, sikap autisme mudah terbentuk melalui rutin. Sejak kecil jika sudah dibiasakan dengan sesuatu perkara, mereka akan ikut sahaja tanpa mengubahnya sehingga dewasa.

Oleh demikian, jika mereka melakukan sesuatu di luar tindakan rutin, adakalanya ia tidak dapat diketahui melainkan mereka ada melakukan proses dikenali stimming.

Stimming merupakan perlakuan merangsang diri sendiri kepada tingkah laku berulang-ulang tanpa tujuan tertentu.

Contohnya, berjalan mundar-mandir, ketawa di luar konteks, mengibas tangan berulang kali, memukul kepala dan sebagainya.

“Apabila mereka melakukan gerakan ini, ia adalah tanda emosi mereka terganggu. Emosi terganggu di sini boleh membawa maksud sama ada mereka gembira, sedih, sakit, marah, takut atau sebagainya.

“Sebaik mereka menunjukkan tanda-tanda stimming, seeloknya penjaga perlu mengalih perhatian dengan memahami keperluan dan kehendak autisme ini,” ujarnya.

Autisme bermula sejak awal tahun 20 Masihi lagi. Perkataan autisme berasal daripada bahasa Greek iaitu autos yang membawa maksud sendiri. Dalam konteks ini, autos merujuk kepada seseorang yang hidup dalam dunianya sendiri.

Autisme juga tergolong dalam beberapa tahap seperti ringan, sedang dan berat.

“Memang sukar untuk mengetahui apa yang berada dalam fikiran mereka. Apa yang boleh dikatakan, penjaga perlu sentiasa peka dengan keadaan anak autisme.

“Jika sesuatu terjadi, itu semua bukan perancangan yang kita hendak, sentiasa sabar menjaga golongan istimewa ini,” katanya.