Bahkan, ia merupakan santapan harian kepada pengguna jalan raya terutamanya di Lembah Klang dan Kuala Lumpur.

Pelbagai faktor yang menyebabkan kesesakan itu berlaku seperti jalan berlubang, sambutan perayaan, hujan dan kemalangan. Namun tanpa kita sedar sikap diri sendiri merupakan penyebab besar kepada kesesakan lalu lintas itu.

Saban hari, tabiat pengguna jalan raya yang suka memperlahankan kenderaan dan gemar mengambil gambar kemalangan merupakan punca utama kesesakan berlaku.

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Kerja Sosial dan Polisi, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Wan Ibrahim Wan Ahmad berkata, perkara tersebut boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Ia bukan sahaja boleh mewujudkan kesesakan jalan raya, tetapi meningkatkan risiko berlakunya kemalangan lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Katanya, pengguna jalan raya juga kemungkinannya kurang mendapat pendedahan mengenai bahaya memperlahankan kenderaan dan mengambil gambar kemalangan.

“Mereka hanya fikir dapat membantu apabila berkongsi di Facebook atau aplikasi WhatsApp tetapi sebenarnya keprihatinan tersebut telah menyusahkan semua orang.

“Pengguna jalan raya memang perlu prihatin tetapi ia harus bertepatan dengan tempat dan keadaan yang sesuai. Jika sudah ada yang membantu lebih baik beredar dari situ,” ujarnya.

Tabiat

Tambah Wan Ibrahim, tabiat tersebut sebenarnya mengganggu mangsa kemalangan itu sendiri kerana kesesakan yang wujud boleh menghalang pihak anggota keselamatan untuk menjalankan tugas mereka.

“Tugas menyelamat adalah tugas orang yang ada tauliah seperti pihak hospital, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Mereka inilah pihak yang bertanggungjawab. Lebih elok serahkan kepada orang yang ada tauliah untuk membantu kerana kita tidak tahu sejauh mana tahap kecederaan mangsa kemalangan itu,” jelasnya.

Sementara itu, seorang anggota APM bahagian latihan dan juga merupakan pemandu ambulans APM, Koperal Norazlan Nordin berkata, pihaknya sukar untuk menjalankan tugas sekiranya keadaan jalan raya menjadi sesak.

“Pihak ambulans sukar untuk tiba ke lokasi kemalangan dalam masa yang singkat jika berlaku kesesakan yang teruk.

“Jarak yang sepatutnya boleh sampai dalam masa 15 minit menjadi 40 minit disebabkan orang ramai memperlahankan kenderaan semata-mata untuk melihat dan mengambil gambar kejadian,” ujarnya.

Tambahnya, laluan kecemasan khas untuk ambulans turut sesak apabila terdapat pengguna yang tidak bertanggungjawab menggunakan laluan tersebut.

Didik diri

Bagaimanapun, Norazlan berkata, disebabkan kesesakan itu, pihaknya terpaksa memberhentikan ambulans dan menumpang motosikal orang awam.

“Jika kesesakan tidak boleh dikawal, kami akan membawa beg perubatan dan segala kelengkapan dengan menaiki motosikal orang awam untuk ke lokasi kemalangan tersebut.

“Kecepatan sampai ke lokasi kejadian sebenarnya memberi harapan tinggi buat mangsa untuk hidup sekiranya kemalangan itu melibatkan kecederaan teruk,” jelasnya.

Norazlan memberitahu, sifat rakyat Malaysia yang suka menolong sekiranya orang-orang awam ditimpa musibah seperti kemalangan atau bencana adalah perbuatan harus dipuji.

“Namun, cara yang diterjemahkan itu sedikit salah. Sepatutnya mereka semua ini menelefon pihak yang bertanggungjawab untuk memaklumkan kejadian itu bukan hanya sekadar melihat.

“Malah, perlu mendidik diri supaya mempercepatkan kenderaan jika sudah ada yang membantu supaya laluan berjalan lancar dan membolehkan pihak kami sampai awal ke tempat kejadian,” katanya.

Jelasnya lagi, perkara yang tidak sepatutnya berlaku adalah, kemalangan belah Utara tetapi yang sesaknya mengarah ke Selatan.

“Keadaan ini menyebabkan kelewatan pasukan kami untuk sampai ke lokasi kejadian. Mentaliti seperti ini harus dibuang agar tidak terus menjadi tabiat masyarakat kita.

“Niat untuk menolong padahal kita menjadi punca secara tidak langsung akan kematian mangsa itu sendiri, “ tegasnya.