Aqfierudzar Rizq atau lebih dikenali sebagai Pyu baru berusia empat tahun namun tidak kekok, bahkan tenang menggerakkan patung wayang kulit mengikut iringan muzik yang lazimnya dimainkan oleh kumpulan Arjunasukma yang diketuai bapanya sendiri, Mohd. Sulhie Yusoff, 42.

Situasi itu dapat dilihat apabila Pyu diberikan kepercayaan untuk membuat persembahan pembukaan pada program Joyful Malaysia anjuran Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang, Selangor Oktober lalu.

Walaupun sekadar persembahan pembukaan selama 15 minit, kematangan Pyu mencetuskan kekaguman penonton yang hadir.

Tidak hanya di dalam negara, pada November lalu, pekarangan Woodlands Galaxy CC, Singapura pula bagai ‘disihir’ apabila lebih 500 penonton yang hadir ke Pertandingan Dikir Barat Piala Buluh Perindu terpaku melihat persembahan Pyu selaku jemputan.

Mempersembahkan kisah berjudul Samad Ke Singapura, butir-butir katanya membuatkan para penonton begitu teruja untuk menyaksikan persembahan kanak-kanak berkenaan sehingga tamat.

Jari

Usai persembahannya, penonton bingkas bangun memberikan tepukan berdiri (standing ovation) sebagai tanda apresiasi atas keberanian anak kecil cuma berketinggian 93 sentimeter (sm) itu yang membuat persembahan mengagumkan. Tepukan gemuruh yang diterimanya itu menjadi petanda bahawa Pyu berada pada kelas tersendiri. Menakjubkan, persembahan sulungnya di pentas antarabangsa hakikatnya telah berjaya memikat hati warga Singapura.

Begitulah kehebatan anak kecil berasal dari Kampung Padang Lalat, Tanah Merah, Kelantan ini.

Minat Pyu terhadap persembahan wayang kulit sebenarnya telah berputik sejak usia tiga tahun lagi dan ia makin bercambah sehingga ke hari ini.

Minatnya terhadap wayang kulit subur berikutan sering mengikuti bapanya membuat persembahan bersama kumpulan Arjunasukma.

“Hari-hari Pyu tengok orang main wayang kulit. Bila balik rumah, Pyu akan cari dinding dan bayang-bayang.

“Kemudian Pyu gunakan jari sebagai patung wayang kulit dan gerakkan seperti yang dilihat masa persembahan,” ungkap kanak-kanak itu ketika ditemui di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Pyu berkata, sebelum memulakan persembahan, dia akan membuat persiapan dan persediaan sebaik mungkin bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Menurut Pyu, sudah menjadi kebiasaan dia akan merujuk terlebih dulu kepada bapanya yang dipanggil abah tentang jalan cerita yang akan dipersembahkan di atas pentas.

Ultraman

Katanya, langkah itu bagi membolehkan dia menguasai cerita sekali gus memudahkan pergerakan untuk memainkan patung wayang kulit mengikut alunan muzik.

“Bila mendapat cerita daripada abah, Pyu akan berlatih sekurang-kurangnya satu jam setiap hari.

“Abah akan menegur jika ada kesalahan dan kesilapan,” katanya.

Pyu memberitahu, dia bercita-cita untuk menjadi tok dalang profesional suatu hari nanti.

Sementara itu, Mohd. Sulhie berkata, minat anaknya itu terhadap wayang kulit begitu tinggi.

“Dia rela tidak makan nasi kalau sudah diberikan patung wayang kulit. Adakalanya cerita wayang kulit sampai terbawa-bawa dalam tidurnya,” katanya.

Selain Samad ke Singapura, antara judul lain yang dipersembahkan ialah Samad Balik Kota Bharu dan Pengasuh Kembara ke MAHA (Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro) 2018.

Menurutnya, disebabkan minat terlalu mendalam Pyu terhadap wayang kulit juga, dia telah menempah patung wayang kulit khas dan kelir (layar putih) mini di dalam rumahnya bagi memberi ruang kepada anaknya itu untuk menunjukkan bakat sebagai tok dalang.

“Bagi saya, segalanya bermula apabila Pyu didedahkan dengan persembahan kumpulan wayang kulit Arjunasukma yang diketuai oleh saya sendiri.

“Dari situlah, saya mula nampak Pyu amat ‘menggilai’ wayang kulit dan akhirnya saya membenarkan dia untuk mempelajari dunia tok dalang,” katanya.

Ceritanya lagi, apabila berlatih atau membuat persembahan wayang kulit, anaknya itu begitu fokus dan akan melupakan apa yang digemari kanak-kanak seperti permainan, aiskrim dan rancangan kartun Ultraman kegemarannya.

Mohd. Sulhie memberitahu, dia sama sekali tidak menyangka anaknya itu mudah ‘masak’ dengan selok-belok wayang kulit.

Katanya, walaupun kali pertama membuat persembahan di depan khalayak Pyu dapat menyesuaikan diri dengan situasi tersebut.

Mengimbau mengenai persembahan di Singapura, Mohd. Sulhie berkata, sejujurnya dia terkejut anaknya itu mampu membawa cerita Samad Ke Singapura dengan penuh ketenangan.

Menurutnya, bukan mudah buat Pyu yang baru berusia empat tahun untuk berada di pentas antarabangsa.

“Ini merupakan kali pertama Pyu diundang membuat persembahan di pentas antarabangsa.

“Saya bersyukur apabila dia selesa di pentas dan penat lelah menjalani latihan sepanjang seminggu akhirnya berbaloi,” katanya.

Doa

Melihat persembahan Pyu, hadirin akan melihat pembaharuan yang cuba ditonjolkan iaitu memulakan persembahan dengan bacaan Al-Fatihah dan doa. Doanya berbunyi: “Ya Allah Ya Tuhanku, mohon permudahkan dan selamatkan persembahanku ini.”

Tindakan Pyu itu secara tidak langsung mampu mengubah stigma masyarakat yang mengaitkan elemen jampi serapah sebelum tok dalang memulakan persembahan wayang kulit selain unsur khurafat yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Menurut Mohd. Sulhie apa yang dilakukan oleh anaknya itu sebelum memulakan persembahan merupakan salah satu bentuk manifestasi baharu dalam dunia wayang kulit.

Mohd Sulhie berkata, dia akan terus menggilap bakat anaknya itu dalam seni wayang kulit dengan hasrat supaya Pyu dapat menjadi tok dalang hebat pada masa depan.

Pyu baru berusia empat tahun namun bakatnya mempersembahkan wayang kulit begitu mengagumkan sehingga meraih tepukan berdiri oleh hadirin dalam persembahannya di Singapura baru-baru ini.