Penerbangan selama empat jam membelah awan biru dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an di Shenzhen, Guangdong, China seakan tidak dirasai kepenatannya buat Muhammad Rizqi Azman.

Manakan tidak, ini merupakan kali pertama peniaga barangan elektronik itu menjejakkan kaki ke Negara Tembok Besar yang sememangnya terkenal sebagai pengeluar pelbagai barangan gajet termasuklah peranti elektronik.

Menariknya, kunjungan anak muda berusia 26 tahun itu ke sana bukanlah seperti rakyat Malaysia yang lain iaitu mahu berlibur dan berseronok sebaliknya dia mempunyai agenda penting yang perlu ditunaikan bagi kelangsungan perniagaan yang diusahakan.

“Sejujurnya, tatkala melangkah keluar daripada perut pesawat menuju ke balai ketibaan, perasaan begitu teruja dan gembira. Sebelum ini, saya hanya melihat keistimewaan Guangdong di media sosial sahaja dan kini merasainya sendiri.

“Pada pemerhatian awal saya, wilayah Guangdong boleh disifatkan sebagai sebuah bandar yang sedang membangun serta dipenuhi dengan banyak bangunan pencakar langit. Jaringan pengangkutan awam seperti kereta api juga begitu sistematik,” katanya kepada kru Panorama.

Rizqi merupakan sebahagian daripada peserta yang mengikuti lawatan perniagaan selama lima hari ke Guangdong, China bermula 27 hingga 31 Julai 2018 anjuran Sunan Business Travel.

Guangdong terletak di kawasan tenggara Tanah Besar China selain merupakan antara wilayah paling kaya di republik berkenaan berikutan mempunyai bandar-bandar penting seperti Guangzhou dan Shenzhen.

Mengulas lanjut Rizqi memberitahu, kunjungannya ke Guangdong bertujuan membuktikan cakap-cakap orang yang mendakwa wilayah itu merupakan lubuk mendapatkan pelbagai barangan elektronik dengan harga murah adalah benar dan bukan penipuan.

“Ternyata apa yang diceritakan mereka adalah benar. Saya seperti tidak percaya apabila telefon bimbit berjenama Apple dapat dibeli dengan harga yang sangat murah berbanding di Malaysia.

“Meskipun dijual kepada pembeli dengan harga kira-kira 40 peratus lebih murah berbanding pasaran di Malaysia, namun kualiti yang ditawarkan sangat baik serta tiada kerosakan,” ujarnya.

Stok jualan

Sebagai seorang usahawan barangan elektronik, Guangdong disifatkan destinasi paling tepat bagi mendapatkan stok jualan dengan tawaran harga menarik seterusnya mampu dijual kepada pembeli dengan lebih murah.

Tambah Rizqi, dia tidak berasa ragu-ragu mendapatkan stok barangan elektronik dari Guangdong memandangkan dibeli terus daripada kilang selain menyifatkan kos pengeluaran rendah antara faktor harga murah.

Dalam pada itu, seorang lagi usahawan telefon bimbit, Mohd. Nazir Mohd. Ibrahim, 37, menjelaskan, Guangdong sering menjadi destinasi pilihan buatnya untuk mendapatkan barangan elektronik seperti telefon bimbit untuk dijual di rangkaian kedainya.

“Sebelum ini, saya mendapatkan stok jualan menerusi pembekal di Malaysia dan harga yang ditawarkan mereka sedikit tinggi. Situasi itu menyebabkan peniaga sukar menjana keuntungan.

“Bagaimanapun, selepas menyertai lawatan perniagaan anjuran Sunan Business Travel, kami telah didedahkan dengan lubuk barangan elektronik yang menawarkan harga murah seterusnya memberi lebih keuntungan,” katanya.

Selain mendapatkan bekalan telefon bimbit berjenama seperti Apple, Samsung, Huawei dan banyak lagi, peniaga turut menjadikan destinasi itu bagi membeli barangan elektronik lain seperti aksesori telefon, speaker dan komputer riba.

“China sentiasa di hadapan dalam konteks mengeluarkan peranti elektronik kepada pasaran dunia. Ada barangan sudah dijual di republik itu, namun masih belum dipasarkan di negara kita.

“Keadaan itu memberi kelebihan kepada peniaga seperti saya untuk mencari produk baharu seperti sarung telefon bimbit bagi pasaran Malaysia. Jika kami orang terawal menjualnya pasti sambutan tinggi,” jelasnya.

Sambutan

Proses urus niaga antara pembeli dan peniaga di republik China juga agak berbeza jika dibandingkan dengan Malaysia memandangkan rakyat negara itu sering menggunakan aplikasi WeChat sebagai medium utama.

“Konsep urus niaga tersebut agak mudah. Pembeli hanya perlu mengimbas kod WeChat peniaga seterusnya membolehkan mereka mendapat tawaran harga menarik barangan yang dijual.

“Peniaga di Guangdong sering mengiklankan dan memasarkan produk mereka di aplikasi WeChat sekaligus memudahkan pembeli untuk memilih barangan yang diinginkan mereka secara atas talian,” ujarnya.

Bagaimanapun, ada sesetengah pembeli memilih untuk berurusan secara empat mata dengan peniaga menggunakan urus niaga secara konvensional bagi mengelakkan diri mereka ditipu.

“Pembeli seharusnya perlu berjumpa peniaga terlebih dahulu dan menjalinkan hubungan baik sebelum urus niaga menerusi aplikasi WeChat bagi mengelakkan penipuan berlaku,” nasihatnya.

Pengarah Sunan Business Travel, Muhammad Redzuan Rahim, 29, memberitahu, pihaknya menyediakan pakej lawatan perniagaan ke Guangdong kepada kaum bumiputera yang mahu mendapatkan barangan elektronik secara murah.

“Sekarang ini kami hanya membuka peluang ini kepada kaum bumiputera sahaja memandangkan perniagaan berasaskan barangan elektronik di Malaysia dimonopoli oleh kaum lain.

“Kami memberi fokus utama mendidik kaum Melayu khususnya bagi mengetahui selok-belok perniagaan di China sekaligus membolehkan mereka menjana lebih keuntungan,” jelasnya.

Pakej lawatan perniagaan itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta mengenai lokasi lubuk-lubuk barangan elektronik, malah turut mendidik mereka cara menjalankan urus niaga di China.

“Guangdong mempunyai banyak lokasi yang menawarkan pelbagai barangan keperluan, namun jika salah tempat, harga ditawarkan mungkin sedikit mahal. Kami akan mengajar peserta lokasi terbaik untuk mendapatkan stok terbaik.

“Orang ramai yang berminat mempelajari selok-belok perniagaan di Guangdong boleh menghubungi kami menerusi laman media sosial Facebook Sunan Business Travel untuk maklumat lanjut,” jelasnya.