Dia yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur (KL), amat kagum dengan perkhidmatan sewaan baju tradisional Korea, Hanbook semasa satu lawatan ke sebuah istana.

Ketika itu tercetus dalam fikirannya, mengapa di Malaysia perkara sama tidak dilaksanakan terutama di lokasi-lokasi pelancongan utama.

“Saya memerhati trend jika kita ke negara luar seperti Jepun dan Korea, ramai pelancong teruja untuk mengenakan pakaian tradisional mereka dan merakamkan foto mahupun video kenangan.

“Namun, di Malaysia saya lihat trend itu tidak diaplikasikan terutama di lokasi-lokasi pelancongan utama negara meskipun kita mempunyai banyak warisan budaya khususnya busana tradisional daripada pelbagai bangsa dan etnik,” katanya ketika ditemui K2 selepas Perasmian Rumah Budaya (Culture House) di Menara KL, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, dia juga ada membuat beberapa kaji selidik dengan pelancong di Menara KL serta pengusaha agensi pelancongan dan mendapati terdapat permintaan daripada pengunjung luar negara yang ingin mencuba pakaian tradisional Malaysia.

Berdasarkan maklumat dan idea yang diperoleh menerusi pemerhatian melancong ke luar negara, Rozlan merancang untuk memuatkan perkhidmatan sewaan baju tradisonal di Menara KL.

Menerusi cadangan itu tercetuslah pelancaran Rumah Budaya yang dikendalikan oleh selebriti dan usahawan, Erma Fatima juga bertindak selaku Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Erma yang terkenal dengan watak Mak Cun, amat teruja apabila dimaklumkan oleh Rozlan tentang cadangan itu walaupun pada awalnya dia sering berurusan dengan Menara KL untuk melaksanakan projek berlainan.

Menurut Erma, perkhidmatan seumpama ini merupakan salah satu platform yang baik bukan sahaja dalam memartabatkan dan mengangkat busana tradisional dalam kalangan pelancong asing tetapi juga memeriahkan lagi sektor pelancongan negara.

Warisan

“Pakaian tradisional merupakan salah satu warisan yang mencerminkan identiti sesebuah bangsa, kaum dan etnik. Khidmat sewaan pakaian tradisional merupakan salah satu perkhidmatan yang kebiasaannya dijalankan secara persendirian bagi kegunaan individu, kumpulan kesenian atau badan korporat.

“Bagaimanapun, usaha Rumah Budaya ini dilihat dapat mengangkat perkhidmatan ini sebagai salah satu medium pelancongan yang membuka peluang kepada pelancong untuk mencuba busana tradisional negara,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pelaksanaan Rumah Budaya yang bermula sejak awal tahun lalu telah mendapat perhatian pelancong khususnya dari luar negara.

Terdapat lebih 13 jenis pakaian tradisional pelbagai saiz yang merupakan pakaian Melayu mengikut negeri-negeri dan persalinan etnik Sabah dan Sarawak ditawarkan di Rumah Budaya.

Pakej yang ditawarkan bermula RM150 untuk tempoh 30 minit ke satu jam. Pelancong juga boleh mengambil gambar di studio dalam butik serta di beberapa tempat menarik di Menara Kuala Lumpur termasuk di Sky Deck.

Jelas Erma lagi, dalam sewaan baju tradisional, elemen keaslian pakaian perlu dititikberatkan kerana setiap busana mempunyai ciri-ciri dan perincian tersendiri seperti aksesori, kemasan dan fabrik.

Berbeza dengan pakaian hari ini, busana tradisional menggunakan fabrik yang lebih eksklusif seperti sutera, tenun dan songket yang mana perlu dijaga dengan rapi, malah menelan kos yang tinggi.

Oleh itu, dalam mengekalkan keaslian dan pada masa sama menjadikan pelaksanaan sewaan pakaian tradisional lebih praktikal, beberapa perubahan dilakukan oleh Erma.

“Kita tahu fabrik tradisional perlu dijaga dengan rapi dan menelan kos yang tinggi, oleh yang demikian untuk sewaan kita menggunakan fabrik yang seakan-akan kain asal dalam menghasilkan busana tradisional di sini.

“Kita juga memastikan setiap pakaian didatangkan dengan pelbagai saiz untuk meluaskan lagi peluang pelancong mengenakan pakaian tradisional yang ditawarkan di Rumah Budaya,” ujarnya.

Pakej aktitiviti

Tambah sutradara itu lagi, pihaknya juga sedang merancang untuk menyediakan pakej aktiviti kebudayaan seperti cara makan orang tempatan, permainan tradisional dan tarian sebagai nilai tambah kepada pakej sedia ada.

Selain perkhidmatan secara komersial oleh Erma, sewaan pakaian tradisional turut dilakasanakan secara persendirian oleh seorang pesara Penolong Pengarah di Istana Budaya, Zubaidah Sual, 66, menerusi Cashmere Galeri yang beroperasi di Taman Selayang, Selangor.

Perkhidmatan yang dijalankan sejak mula bersara pada tahun 2010 itu tercetus selepas wanita yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu mahu berkongsi ilmu pakaian tradisional yang dipelajari sepanjang bekerja.

Menurutnya, dia turut memiliki lebih 2,000 koleksi pakaian tradisional beserta aksesori penuh yang dibeli serta dijahit sendiri sejak 25 tahun lalu dan itu menjadi faktor pencetus untuk dia menyewakannya kepada orang ramai.

Jelasnya, menjalankan perniagaan sewaan secara persendirian mempunyai cabaran tersendiri terutama untuk memastikan pelanggan menjaga pakaian tradisional terutama yang menggunakan fabrik berkualiti.

Cabaran

“Sepanjang bekerja dalam sektor kesenian, saya banyak terdedah dengan maklumat tentang fabrik dan sejarah tekstil di seluruh dunia. Bermula daripada itu, saya mula mengumpul pakaian tradisional kerana setiap daripadanya mempunyai keunikan dan nilai estetika tersendiri.

“Menjalankan khidmat sewaan pakaian mempunyai cabaran tersendiri memandangkan kita perlu meletakkan kepercayaan kepada pengguna untuk menjaga busana tersebut dengan baik berikutan setiap persalinan menelan kos yang tinggi,” katanya yang menawarkan sewaan pakaian bermula RM80 hingga RM300.

Tambahnya lagi, sepanjang menjalankan perkhidmatan sewaan pakaian, dia pernah berhadapan situasi penyewa memulangkan pakaian dalam kondisi yang tidak baik, malah ada juga yang terus mendiamkan diri bersama busana yang disewa.

Bagaimanapun, cabaran itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjalankan perkhidmatan berkenaan kerana dia bukan mengejar keuntungan daripada perniagaan itu tetapi mahu menyebarkan ilmu pakaian tradisional kepada semua pelanggan yang ditemuinya.