Kini, momen indah itu akan lebih bermakna kerana ia dapat dicetak untuk dijadikan sebagai setem kenang-kenangan.

Siri setem cetakan foto peribadi yang dikenali sebagai Setem Ku itu merupakan cetusan idea daripada Pos Malaysia Berhad. Ia sudah pun mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan peminat setem di negara ini.

Sebarang foto peribadi seperti gambar majlis persandingan, ulang tahun perkahwinan dan juga foto-foto percutian kini boleh diabadikan sebagai setem dan diberikan sebagai hadiah kepada ahli keluarga atau pun kenalan rapat.

Menurut Ketua Unit Setem dan Filateli, Pos dan Kurier Pos Malaysia, Diyana Lean Abdullah, siri setem peribadi itu mula-mula diperkenalkan pada tahun 2007.

“Siri Setem Ku ini lebih berbentuk peribadi dan sebenarnya sudah diperkenalkan sejak tahun 2007. Begitu pun, tidak ramai yang tahu mengenainya.

“Orang ramai boleh memilih apa sahaja imej yang dikehendaki untuk diabadikan sebagai setem peribadi sama ada imej diri sendiri, ahli keluarga atau imej barangan seperti motosikal kegemaran dan sebagainya,” ujarnya.

Katanya lagi, memandangkan Setem Ku membolehkan orang ramai mengabadikan gambar sendiri sebagai kepingan setem, ia sering dijadikan hadiah yang unik.

Hadiah

“Selepas diperkenalkan, siri Setem Ku ini kerap dijadikan sebagai hadiah.

“Rata-rata individu yang menempah Setem Ku menjadikan siri setem tersebut sebagai hadiah, khususnya sempena ulang tahun perkahwinan kerana ia cukup unik dan menarik,” jelasnya.

Tambahnya, proses cetakan setem pula cukup mudah dan hanya mengambil masa beberapa minit untuk disiapkan.

Kru Panorama berpeluang melihat sendiri proses cetakan wajah pada 12 keping setem berharga antara 30 sen hingga 60 sen setiap satu.

Dalam pada itu, staf Pos Malaysia Kompleks Dayabumi, Ummi berkata, orang ramai boleh datang sendiri ke mana-mana cawangan pejabat pos dan menghantar gambar pilihan atau boleh juga mengirimkannya melalui laman web www.posonline.com dan pergi ke paparan Setem Ku.

Pelanggan boleh memilih daripada dua kategori sama ada peribadi atau korporat.

Foto atau gambar yang diterima akan dimasukkan ke dalam sistem Pos Malaysia untuk dicetak dan prosesnya cukup ringkas serta memakan masa kurang daripada 15 minit.

Cetakan setem

“Pertama sekali, orang ramai perlu datang ke mana-mana kaunter Pos Malaysia yang berdekatan dan menghantar apa sahaja foto yang dikehendaki untuk dicetak sebagai setem.

“Begitu pun, foto yang dijadikan setem perlulah bebas daripada unsur-unsur politik dan foto-foto peribadi dalam satu pakaian yang terlalu seksi,” jelas Ummi.

Katanya, selesai memilih gambar untuk dimasukkan ke dalam sistem, pelanggan boleh memilih corak bingkai yang mahu dipadankan dengan setem tersebut.

“Selain pilihan gambar, Pos Malaysia juga menyediakan pilihan bingkai yang terdiri daripada motif bunga-bungaan atau motif yang melambangkan negara Malaysia,” kata Ummi.

Selepas berpuas hati dengan pilihan yang dibuat, ujarnya, mesin pencetak akan mula mencetak foto pilihan untuk dijadikan setem.

“Dalam masa beberapa minit sahaja, setem peribadi tersebut sudah pun siap dicetak.

“Sudah siap, pantas bukan?” tutur Ummi sambil mencapai foto pilihan kru Panorama yang sudah siap dicetak sebagai 12 keping setem pelbagai saiz dan nilai.

 

Ada nilai

Tambah Ummi lagi, foto pilihan pelanggan Setem Ku rata-ratanya merupakan potret keluarga, foto majlis graduasi dan juga foto perkahwinan.

Ini kerana, ia merupakan hadiah peribadi yang bukan sahaja cantik, malah boleh digunakan atas tujuan mengepos surat memandangkan ia mempunyai nilai.

“Setem Ku cukup sesuai dijadikan hadiah memandangkan ia mempunyai nilai dan sentuhan peribadi kepada seseorang.

“Selain foto peribadi, ada juga syarikat yang menempah logo syarikat untuk dijadikan setem dan digunakan bagi tujuan pengeposan surat.

“Bagi setem paparan logo, ia diletakkan dalam kategori korporat,” ujarnya.

Ditanya tentang jumlah Setem Ku yang boleh ditempah, Ummi menjelaskan paling minimum adalah sekeping setem, manakala jumlah maksimum pula tidak ditetapkan.

Pelanggan yang menempah lebih daripada 700 keping setem juga akan diberikan diskaun istimewa oleh Pos Malaysia.

Mengulas lanjut tentang penggunaan setem bagi tujuan pengeposan surat, Diyana Lean pula menyatakan, ia masih lagi relevan kerana setem merupakan sesuatu yang mempunyai nilai.

“Jika dilihat, masih ramai individu yang mengumpul setem biarpun ia mungkin kedengaran agak kuno atau lapuk.

“Hal ini kerana, setem mempunyai nilai tersendiri dan lebih menarik lagi, nilainya tidak akan susut malah akan semakin berharga dan meningkat khususnya bagi sesuatu setem edisi terhad,” katanya.

Setiap set Setem Ku dijual pada harga RM19 hingga RM25.

Memandangkan kertas setem cukup lembut dan mudah terkena kesan kotoran, Pos Malaysia juga turut menjual bingkai bagi pelanggan yang mahu setem mereka dibingkaikan selepas siap dicetak.

Tambah Diyana Lean, pihaknya berharap agar lebih ramai lagi individu yang tahu tentang Setem Ku serta berminat untuk menjadikan setem ini sebagai hadiah.

Syarikat pembekal perkhidmatan logistik dan komunikasi terulung negara itu juga memperkenalkan Setem Ku khas edisi Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad sempena sambutan hari lahir beliau yang ke 93 pada 6 Julai tahun lalu.

Ia sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada ikon prolifik negara itu.

Orang ramai boleh mencetak foto peribadi atau pun memori perkahwinan sebagai setem untuk dijadikan hadiah atau pun disimpan sebagai koleksi.