Penyerang itu merupakan seorang lelaki kulit putih berusia 26 tahun yang dikenali sebagai Devin Patrick Kelley.

Pengarah di Jabatan Keselamatan Awam Texas, Freeman Martin berkata, penyerang yang berpakaian serba hitam menghujani peluru ke arah orang ramai di luar gereja sebelum masuk ke dalam bangunan itu dan terus melepaskan tembakan.

“Semasa dia meninggalkan gereja, seorang penduduk tempatan menyambar raifalnya dan bergelut dengan penyerang itu.

“Dia melepaskan raifal jenis Ruger AR itu dan melarikan diri sebelum penduduk tempatan mengejarnya,” kata Martin.

Bunuh diri

Pasukan keselamatan kemudian menemui Kelley dalam keadaan tidak bernyawa di dalam kenderaannya yang berhenti di sempadan daerah Wilson-Guadalupe.

Pihak berkuasa pada mulanya tidak pasti sama ada dia membunuh diri ataupun ditembak oleh penduduk yang cuba menangkapnya.

Laporan bedah siasat kemudian mengesahkan Kelley membunuh diri dengan menembak kepalanya sendiri.

Polis turut menemui pelbagai jenis senjata api di dalam kereta tersebut.

“Daripada 26 mangsa yang terkorban, 23 daripadanya ditemui di dalam gereja, dua lagi di luar gereja, manakala seorang mangsa mati ketika dalam perjalanan ke hospital,” kata Martin.

Mereka yang terbunuh termasuk anak perempuan Frank Pomeroy yang merupakan paderi di gereja tersebut.

Mangsa yang cedera termasuk seorang budak lelaki berumur enam tahun bernama Rylan yang terpaksa menjalani pembedahan selepas ditembak sebanyak lima kali.

Ibu tiri Rylan, Joann Ward bagaimanapun terkorban ketika cuba menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

Saman

Pada Jun lalu, sebuah keluarga yang kehilangan tiga generasinya dalam kejadian tembakan di gereja itu memfailkan satu tuntutan saman terhadap kerajaan Amerika Syarikat.

Tuntutan saman itu difailkan oleh Joe dan Claryce Holcombe yang berusia pertengahan 80-an serta kehilangan anak-anak, cucu dan cicit mereka.

Beberapa mangsa termasuk Noah Holcombe berusia satu tahun dan ibu saudaranya, Crystal Holcombe berusia 36 tahun yang sedang mengandung meninggal dunia bersama dengan tiga daripada lima anaknya.

Secara keseluruhan, sembilan orang daripada keluarga Holcombe terkorban dalam serangan tersebut.

“Kecuaian dan kegagalan yang ketara serta tidak peduli oleh pihak Pasukan Tentera Udara AS untuk memenuhi tanggungjawab penyediaan laporan mengenai kes jenayah Kelly sebelum kejadian telah mengakibatkan dia boleh membeli senjata secara sah.

“Akibatnya, pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan gagal menghalang kegiatan jenayah selanjutnya oleh Kelley,” menurut tuntutan saman berkenaan.

Kelley bertugas di sebuah pangkalan tentera udara AS di New Mexico pada tahun 2010 sebelum dihadapkan ke mahkamah tentera dua tahun kemudian kerana menyerang isteri dan anaknya.

Dia dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan sebelum dipecat kerana berkelakuan buruk pada tahun 2014.

Kelley membeli senjata secara sah walaupun bekas banduan tidak dibenarkan untuk memiliki senjata.

Namun, Kelley melepasi sistem pemeriksaan latar belakang kerana Pasukan Tentera Udara AS tidak melaporkan mengenai dua sabitan keganasan domestik yang dilakukannya.