Namun, atas dasar untuk berkongsi cerita agar menjadi iktibar kepada semua, Suhana (bukan nama sebenar), 24, berharap agar kisahnya menjadi pengajaran buat semua agar tidak menjadi sepertinya.

Memulakan bicara, Suhana yang merupakan anak ketiga daripada lima orang adik-beradik mengakui sejak daripada kecil, dia telah dilabel sebagai anak yang nakal dan keras kepala.

Berbanding dengan adik-beradiknya yang lain, Suhana paling kerap dimarahi oleh kedua-dua orang tuanya ekoran perangai yang selalu mendatangkan masalah.

Curi wang guru

Pernah suatu ketika sewaktu masih bersekolah rendah, Suhana telah mendatangkan masalah apabila ditangkap kerana mencuri wang gurunya sehingga pihak sekolah terpaksa memanggil ibu bapanya datang ke sekolah bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Bukan setakat itu sahaja, Suhana juga pernah dilaporkan beberapa kali dipanggil gurunya sewaktu di sekolah selepas didakwa mencuri barang rakan sekelasnya walaupun ketika itu dia masih kanak-kanak.

“Kenakalan saya itu sesuatu yang semula jadi dan saya tidak mahu menyalahkan sesiapa,” tutur Suhana.

Menginjak usia remaja, Suhana masih lagi dengan tabiat sama. Pantang ada sahaja barangan milik orang lain yang digemarinya, pasti gadis itu akan mencurinya dan disimpan untuk diri sendiri.

Barangan peralatan sekolah seperti pen, alatan geometri serta buku-buku telah menjadi kebiasaan bagi Suhana untuk dicuri dan ia seolah-olah sudah sebati dengan dirinya.

Suhana langsung tidak mempunyai rasa bersalah walaupun telah banyak kali dihukum seperti dirotan sama ada oleh guru disiplin mahupun oleh orang tuanya sendiri.

Tabiat buruk gadis itu juga terbawa-bawa sehingga ke luar sekolah. Pernah beberapa kali, Suhana mengakui pernah mencuri barangan di kedai serbaneka.

“Saya cuma mencuri makanan ringan seperti coklat dan langsung tidak berasa takut jika ditangkap,” kata Suhana.

Suhana bernasib baik apabila dia tidak pernah ditangkap dan jika perkara itu berlaku, pasti masalah besar akan timbul.

Gadis berasal dari sebuah negeri di selatan tanah air itu sedar tentang sifat buruk panjang tangannya. Bagaimanapun, Suhana sukar untuk menjelaskan tentang perangainya yang gemar mencuri.

Suhana mendakwa, dia tidak mempunyai masalah dengan ahli keluarga yang boleh dijadikan penyebab utama dia berperangai sebegitu.

Malah, dia juga mendapat didikan agama sempurna sama seperti rakan-rakannya yang lain, apatah lagi didikan daripada ibu bapa yang sememangnya tidak pernah mengajar anak-anak mereka untuk mencuri.

Rasa takut

Menginjak dewasa, sedikit demi sedikit timbul kegusaran dalam diri gadis tersebut tentang perangai buruknya.

“Saya tertanya-tanya adakah pengakhiran hidup saya mungkin akan ke tirai besi suatu hari nanti?” kata Suhana yang mula diselubungi rasa takut jika dia masih berperangai buruk seperti itu.

Untuk menebus kesilapan terdahulu, Suhana pernah pergi semula ke kedai yang dia pernah lakukan kecurian dan membeli barang, namun tidak mengambil semula wang baki yang dikembalikan dengan niat untuk membayar semula kerugian yang ditanggung kedai tersebut.

Suhana tidak berani untuk berterus-terang tentang kesalahan yang pernah dia lakukan suatu ketika dahulu dan berharap apa yang dilakukan itu dapat membayar semula kesilapan yang dilakukan.

Bahkan, Suhana kini sedang dalam proses untuk berubah menjadi individu yang lebih baik dan berjanji supaya tidak sekali-kali bersikap panjang tangan lagi.

Suhana akhirnya sedar tabiat buruknya yang suka mencuri sejak kecil dan menyesal selepas membayangkan hidupnya bakal berakhir di tirai besi suatu hari nanti.